Nuffnang

STRATEGIES : Annuar Dedah Plot Mahathir Menghalalkan Cara


KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, Tun Dr Mahathir Mohamad sanggup melakukan apa sahaja termasuk mempergunakan orang lain demi mencapai agenda politik peribadinya.

Annuar berkata, bekas Perdana Menteri itu merupakan seorang strategis dan sepanjang karier politiknya, matlamatnya sentiasa menghalalkan cara.

“Beliau seorang strategis. Kita perlu lihat beberapa langkah ke hadapan termasuk apa yang telah dilakukan baru-baru ini (Deklarasi Mahathir yang bertujuan menyingkirkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak).

“Bagi Dr Mahathir, (apabila bersekongkol dengan pembangkang), matlamat menghalalkan cara dan beliau sangat cekap dalam menggunakan orang lain demi merealisasikan impiannya,” kata Annuar ketika menjadi tetamu program ‘Soal Jawab’ di TV3, Sri Pentas, malam tadi.

Annuar yang juga Anggota Parlimen Ketereh berkata permainan politik itu juga dapat dilihat sepanjang beliau (Dr Mahathir) memimpin negara ini sebagai perdana menteri ke-4.

“Ada satu waktu, beliau tidak suka kepada Tengku Razaleigh Hamzah atau Ku Li kerana sebab tertentu. Bayangkan, Ku Li, orang yang bina PWTC (Pusat Dagangan Dunia Putra), urus perbelanjaan parti, juga Naib Presiden (ketika itu) tetapi Mahathir tidak suka caranya.

“Oleh kerana beliau tidak mahu mengambil Ku Li, maka atas kepintaran politiknya, jawatan itu dipertandingkan dan secara langsung dia beri sokongan kepada (Datuk Seri) Musa Hitam (kini Tun) untuk mengalahkan Ku Li,” katanya.

Annuar mendakwa, namun, selepas Dr Mahathir tidak selesa dengan pengaruh Musa, beliau mula mempergunakan Tun Ghafar Baba menyingkirkan Musa.

Selepas itu, Dr Mahathir berpaling tadah lagi dan memberi sokongan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim sehingga memenangi jawatan menjadi Timbalan presiden UMNO dengan menyingkirkan Ghafar.

“Apabila perjalanan politik Anwar menjadi kuat malah membina kekuatannya sendiri yang akhirnya menimbulkan lagi kebimbangan, maka Dr Mahathir sekali lagi menggunakan strategi dan permainan yang sama untuk menyingkirkan Anwar,” katanya.


Annuar berkata, Dr Mahathir kemudian sekali lagi mempergunakan Tun Abdullah Ahmad Badawi atau Pak Lah yang merupakan anak jati Pulau Pinang untuk menjadi Timbalan Presiden UMNO yang seterusnya menjadi Perdana Menteri.

“Usaha itu dengan harapan kuasa masih di tangan Dr Mahathir sehingga di saat beliau tidak menyukai Paklah, Datuk Seri Najib pula digunakan. Dan terkini, beliau menggunakan Tan Sri Muhyiddin Yassin pula untuk mengatur segalanya bagi memastikan usaha beliau menjatuhkan Najib berjalan lancar.

“Memandangkan usaha tersebut gagal, Dr Mahathir menjelmakan pula Deklarasi Rakyat (Jumaat lepas). Malah beliau sanggup bekerjasama dengan pembangkang setelah tidak mendapat sokongan dari UMNO sendiri termasuk dalam isu pemecatan anaknya, (Datuk Seri) Mukhriz,” dakwanya.

Annuar berkata apa yang dilakukan Mahathir itu jelas tidak melambangkan perjuangannya dalam parti tetapi lebih kepada dendam, kepentingan dan agenda peribadi.

– BERNAMA
Share this article

4 Komen:

  1. Annuar Musa, bila nak jelaskan mengenai isu RM 1.5 bilion belanja pilihanraya yang dikatakan oleh Najib itu sebagaimana yang didedahkan oleh Datuk Seri Mukhriz dan disahkan oleh Idris Haron KM Melaka tu?

    RM 1.5 bilion belanja pilihanraya 2013 adalah menyalahi undang-undang pilihanraya yang memberikan kebenaran perbelanjaan maksimum untuk sesuatu kawasan parlimen sebanyak RM 200,000.00 sahaja dan DUN RM 100,000.00 sahaja.

    Dalam PRU 13 sebanyak 222 kerusi parlimen dipertandingkan, manakala DUN pula daripada 576, hanya 505 dipertandingkan kerana 71 kerusi DUN di Sarawak tidak dipertandingkan kerana DUN Sarawak tidak dibubar bersekali dengan pembubaran parlimen.

    Maka untuk 222 kerusi parlimen dan 505 kerusi DUN, maksimum perbelanjaan adalah RM 94.9 juta sahaja.

    222 kawasan parlimen x RM 200,000.00 = RM 44.4 juta

    505 kawasan DUN x RM 100,000.00 = RM 50.5 juta sahaja

    Jumlah keseluruhan adalah RM 94.9 juta sahaja.

    Bila perbelanjaan sampai RM 1.5 bilion, itu sudah melebihi 15 kali ganda dari had maksimum perbelanjaann kempen pilihanraya, itu sudah salah berdasarkan undang-undang SPR.

    Maka silalah jawab pasal isu ini pula.

    Isu kononnya Tun Dr. Mahathir berkomplot merancang nak jatuhkan Najib tu, sudah-sudah membohong, dah tua pun Annuar Musa ni nak bohong lagi ke?

    Annuar Musa gila ke apa tuduh Tun Dr. Mahathir menyingkirkan Musa Hitam dari jawatan Timbalan Perdana Menteri, sedangkan Musa Hitam yang letak jawatan.

    Malahan dalam isu Tengku Razaliegh Hamzah, Musa Hitam yang hasut Tun Dr. Mahahir supaya hapuskan terus karier politik Tengku Razaliegh, jangan lantik Tengku Razaliegh jadi menteri, sebabnya Musa Hitam takut Tengku Razaliegh akan mengancam kedudukannya sebagai Timbalan Presiden. Sejak 1982 Musa Hitam menghasut Tun Dr. Mahathir supaya jangan lantik Tengku Razaliegh jadi Menteri.

    UMNO diharamkan pun bukannya sebab Tun Dr. Mahathir mengharamkan UMNO, itu adalah keputusan mahkamah disebabkan krisis kepimpinan parti tahun 1987.

    Krisis kepimpinan UMNO tahun 1987, dalang utamanya bukanlah Tun Dr. Mahathir atau Tengku Razaliegh, tetapi dalang utama adalah Musa Hitam.

    Musa Hitam adalah batu api yang menghasut Tengku Razaliegh supaya menentang Tun Dr. Mahathir.

    Sebelum tahun 1987, walaupun hubungan dingin antara Tun Dr. Mahathir dengan Tengku Razaliegh, tetapi tidaklah buruk sangat, Tengku Razaliegh adalah menteri kanan dalam barisan kabinet Tun Dr. Mahathir ketika itu.

    Tetapi Musa Hitam memang bermusuh dengan Tengku Razaliegh sejak Musa Hitam jadi Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden UMNO lagi, sejak dari PRU 1982 Musa Hitam telah hasut Tun Dr. Mahathir supaya singkirkan Tengku Razaliegh kerana Tengku Razaliegh punya pengaruh kuat yang boleh mengancam kedudukan Musa Hitam sebagai Timbalan Presiden UMNO.

    Tetapi Tun Dr. Mahathir tidak termakan hasutan Musa Hitam itu, Tun Dr. Mahathir terus kekalkan Tengku Razaliegh dalam barisan jemaah kabinet beliau kerana Tun Dr. Mahathir melihat perangai gelojoh Musa Hitam itu, disamping untuk mengelakkan perpecahan dalam parti, tindakan Tun Dr. Mahathir mengekalkan Tengku Razaliegh dalam jemaah kabinet dengan jawatan menteri kanan adalah untuk mengimbangi Musa Hitam itu sendiri yang kelihatan gelojoh tak tentu hala.

    Selepas PRU 1986, sekali lagi Musa Hitam hasut Tun Dr. Mahathir supaya jangan lantik Tengku Razaliegh jadi Menteri, Musa Hitam ingat Tun Dr. Mahathir akan termakan dengan hasutannya kali ini, tetapi beliau gagal lagi.

    Musa Hitam menjadi makin sakit hati, beliau telah tulis surat letak jawatan Timbalan Perdana Menteri hanya beberapa bulan selepas PRU 1986 dengan harapan supaya Tun Dr. Mahathir ikut cakap dia supaya singkirkan Tengku Razaliegh dari jawatan Menteri kanan.

    Bersambung..........

    BalasPadam
    Balasan
    1. Sambungan...........

      Tetapi Tun Dr. Mahathir pujuk Musa Hitam supaya jangan letak jawatan, disamping terus mengekalkan kedudukan Tengku Razaliegh sebagai Menteri kanan dalam kerajaan.

      Musa Hitam sakit hati dan umumkan peletakan jawatannya di lapangan terbang kerana geram dengan tindakan Tun Dr. Mahathir yang masih lagi memberikan kedudukan menteri kepada Tengku Razaliegh.

      Tun Dr. Mahathir melantik Naib Presiden UMNO yang paling kanan ketika itu iaitu Encik (Tun) Ghafar Baba sebagai Timbalan Perdana Menteri yang baharu selepas Musa Hitam berdegil tak mau terima jawatan Timbalan Perdana Menteri juga walaupun selepas dipujuk.

      Tetapi yang peliknya tu adalah entah macam mana Musa Hitam berpakat dengan Tengku Razaliegh untuk menentang Tun Dr. Mahathir dan Encik (Tun) Ghafar Baba dalam pemilihan parti 1987.

      Pada mulanya Tun Dr. Mahathir ingat Musa Hitam mahu bersara dari politik, maka beliau telah bergandingan dengan Encik (Tun) Ghafar Baba untuk bertanding sebagai Presiden dan Timbalan Presiden UMNO pada pemilihan 1987.

      Tiba-tiba Musa Hitam buat naik hantu, dia pun nak bertanding juga jawatan Timbalan Presiden UMNO, malahan berpakat dengan Tengku Razaliegh yang dimusuhinya sebelum ini.

      engku Razaliegh telah terkena dengan permainan licik Musa Hitam, beliau tidak dapat untuk berpatah balik dan terpaksa bertanding jawatan Presiden menentang Tun Dr. Mahathir.

      Dan keputusannya semua tahu bahawa Tun Dr. Mahathir dan Encik (Tun) Ghafar Baba telah menang dalam pemilihan itu.

      Kumpulan 11 telah membawa kes itu ke mahkamah dan pihak mahkamah telah mengharamkan UMNO pada tahun 1988.

      Sebab itulah jika Musa Hitam tidak khianat dengan menjadi batu api antara Tun Dr. Mahathir dengan Tengku Razaliegh, maka UMNO tidak berpecah lagi.

      Punca UMNO diharamkan pada tahun 1988 adalah disebabkan oleh pengkhianatan oleh Musa Hitam yang jadi batu api itulah, kerana dia maka Tun Dr. Mahathir dengan Tengku Razaliegh berseteru habis-habisan hingga rosak parti.

      Sila tanya Musa Hitam pasal hal ini tentu dia terkulat-kulat dia nak jawab kerana dia adalah punca UMNO diharamkan oleh mahkamah pada tahun 1988 itu.

      Bersikap jujurlah.

      Sedarlah semua.

      Salam perjuangan A Ba Ta,

      Ikhlas daripada,

      Abu Bakar

      Padam
  2. Tak payah lah nak copy paste yang sampah nie...buat penat je

    BalasPadam
    Balasan
    1. Jawab isulah, kalau isu tak dijawab, hanya tau tuduh sahaja, tak ada gunanya.

      Sedarlah semua.

      Salam perjuangan A Ba Ta,

      Ikhlas daripada,

      Abu Bakar

      Padam

APA Kata Anda?
Ada berita dan info menarik di tempat anda? Kongsikan di SINI....

Nuffnang 3

MENARIK

BB Followers

 
Copyright © 2014 Belia Bangkit • All Rights Reserved.
Distributed By Free Blogger Templates | Template Design by BTDesigner • Powered by Blogger
back to top