Nuffnang

Apa Kata Mufti : Mereka Mati Syahid Atau Mati Jahiliah

Peristiwa pencerobohan di Sabah oleh kumpulan pengganas dari Selatan Filipina membabitkan beberapa isu yang menyentuh hukum syarak. Ada dua perkara pokok yang menjadi kewajipan Muslim ketika berhadapan dengan setiap perkara yang menyentuh hukum Islam : Beriktikad dan mengamalkannya. 




1. Misalnya solat, pertama, wajib iktikad ianya fardhu dan kedua, wajib menunaikannya. Dalam hukum-hukum yang diijma’kan, tidak beriktikad membawa kepada kufur, dan tidak mengamalkannya menjadi fasik. Berikut ini huraian isu-isu yang menyentuh hukum syarak berkaitan dengan peristiwa pencerobohan ini.


2. Memerangi puak penderhaka adalah wajib seperti yang diperintahkan dalam surah Al-Hujuraat ayat 9 yang bermaksud, “maka perangilah puak penderhaka itu hingga mereka kembali mematuhi perintah Allah”. Memerangi golongan ini termasuk dalam jihad fi sabilillah. Menurut kitab Subulussalam, “memerangi kumpulan ini lebih afdal daripada memerangi orang-orang kafir”, kerana kemudaratan yang ditimbulkan oleh angkara mereka terhadap masyarakat. Keamanan dan keselamatan masyarakat adalah jaminan Allah. Oleh itu mereka yang merosakkannya dianggap sebagai “memerangi Allah dan Rasul Nya” seperti yang ditegaskan dalam ayat 33 surah Al-Maaidah.

3. Oleh kerana peperangan menentang penderhaka adalah jihad maka pasukan keselamatan yang terlibat dalam operasi menentang penceroboh adalah merupakan Mujahidin di jalan Allah. Ganjaran yang menanti mereka adalah sangat besar di sisi Allah Ta’ala, seperti yang diterang dalam hadis-hadis berikut yang bermaksud, “Umpama pahala yang akan diterima oleh seorang mujahid itu ialah seperti pahala seorang yang berpuasa, sembahyang tahajud, membaca ayat-ayat Allah dan terus mengerjakan atau sembahyang dan puasa tanpa jemu dan penat sehinggalah mujahid itu kembali dari medan perjuangan “ (riwayat Bukhari/Muslim); “Sesiapa yang berjihad di jalan Allah, maka Allah haramkan api neraka daripada membakarnya” (riwayat Bukhari) : 


“Waktu pagi ataupun petang bagi seseorang yang berjihad di jalan Allah itu adalah lebih baik daripada dunia dan segala isinya “(riwayat Bukhari/Muslim) : “Dua mata yang tidak akan disentuh sama sekali oleh api neraka, iaitu mata yang menangis kerana takut kepada Allah, dan mata yang berkawal dalam perjuangan di jalan Allah “ (riwayat Abu Yasala); “sehari berkawal dalam perjuangan di jalan Allah lebih afdal daripada beribu hari di tempat-tempat lain”.


4. Apabila para pejuang ini gugur dalam pertempuran dengan puak penderhaka mereka dikurniakan martabat syahadah, yakni mati syahid, hadis sahih riwayat Ahmad Tabarani dan Ibnu Majah menyatakan bahawa antara kelebihan orang yang mati syahid ialah diampunkan dosa mereka dari titisan pertama darah yang tumpah, diperlihatkan tempatnya di syurga, dihiasi dengan perhiasan iman, dilepaskan daripada azab kubur, dan diberi keamanan pada hari kiamat. 

Menurut hadis riwayat Abu Daud dan Tirmizi orang mati syahid mendapat kemuliaan untuk memberi syafa’at kepada tujuh puluh orang daripada kaum keluarganya.


5. Golongan penderhaka dalam Islam dikenali dengan istilah bughah dan khawarij. Rasulullah SAW dalam sebuah hadis riwayat Imam Ahmad menyifatkan golongan ini sebagai “Syirar ummati” (sejahat-jahat umat ini). Dalam Hadis riwayat Ahmad, Ibnu Majah dan Al-Hakim, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Puak penderhaka adalah anjing-anjing neraka”. Abu Umamah r.a. ketika melihat kepala-kepala puak penderhaka yang dibunuh dan diletakkan di perkarangan masjid Damsyik, beliau mengatakan : “Mereka itu adalah anjing-anjing neraka jahanam. Sejahat-jahat orang yang dibunuh di muka bumi, dan orang-orang yang mereka bunuh adalah sebaik-baik orang yang dibunuh di bawah rungkup langit “.

Tindakan penderhakaan dengan mengangkat senjata adalah perbuatan yang sangat terkutuk dalam Islam dan boleh membawa seseorang itu terkeluar dari agama. Dalam sebuah hadis riwayat Bukhari, Muslim dan Ahmad, Rasulullah SAW bersabda, “sesiapa yang mengangkat senjata terhadap kami, ia bukan daripada 
agama kami”. Dalam riwayat yang lain disebutkan bahawa “ mereka boleh keluar dari agama Islam laksana anak panah menembusi sasarannya “, yakni dengan cepat dan tanpa disedari.

Mengenai tindakan kejam mereka terhadap petugas Kerajaan, ia bukan perkara baru. Ibnu Abi Syaibah menceritakan bahawa segerombolan penderhaka di zaman Saidina Ali r.a menangkap Abdullah bin Khabab, seorang pengikut baginda serta isterinya yang hamil. Abdullah disembelih di tebing sebatang sungai. Isterinya 
pula, bukan sahaja dibunuh, tetapi juga dibelah perutnya. Setelah peristiwa ini, Saidina Ali r.a mengambil keputusan untuk memerangi mereka habis-habisan, walaupun sebelum itu, baginda berlembut dan memberi tempoh agar mereka kembali ke jalan yang benar.

Memandangkan perbuatan mereka yang sangat keji, puak penderhaka ini bukan sahaja dikecam di atas lidah Pembawa Syariat sewaktu hidup, tetapi juga ketika mereka mati. Kematian mereka disifatkan seperti “mati jahiliah” Dalam sebuah Hadis riwayat Bukhari, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud; “maka sesungguhnya sesiapa yang mengambil langkah penderhakaan terhadap pemerintah walaupun sekadar sejengkal, mati ia seperti mati jahiliah “.




Berasaskan nas-nas syarak dan melalui penelitian terhadap tindak tanduk mereka, Imam Muhammad bin Al-Husin Al-Aajuri menyatakan dalam bukunya “kitab Al-Syariah”, “Puak penderhaka adalah golongan yang meluas kejahatannya, najis lagi keji .....” Tindakan kerajaan memerangi mereka adalah mengikut hukum syarak seperti yang diperintahkan dalam surah Al-Hujuraat ayat 9, dan juga dalam sebuah hadis riwayat Muslim yang bermaksud, “ Sesiapa yang datang kepada kamu sekalian pada hal kamu berada di bawah pemerintahan seseorang daripada kalangan kamu. Ia ingin melakukan penderhakaan, maka hendaklah ia dibunuh, tanpa mengira siapakah orangnya “.


Baca Lagi DI SINI

DATUK HJ WAN ZAHIDI BIN WAN TEH
MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN

Share this article

0 Komen:

Catat Ulasan

APA Kata Anda?
Ada berita dan info menarik di tempat anda? Kongsikan di SINI....

Nuffnang 3

MENARIK

BB Followers

 
Copyright © 2014 Belia Bangkit • All Rights Reserved.
Distributed By Free Blogger Templates | Template Design by BTDesigner • Powered by Blogger
back to top