Latihan Kemahiran Peluang Kedua Buat Belia Tercicir
KUALA LUMPUR, 3 Okt (Bernama) — Peluang mengikuti latihan kemahiran dalam bidang automotif sukar dilepaskan buat Asyraf Adam, 16, yang juga seorang belia tercicir.
Ketika rakan sekolah yang lain sibuk mengulang kaji pelajaran sebagai persediaan menghadapi peperiksaan, beliau pula memegang spana, bermain dengan minyak enjin dan belajar segala hal berkaitan kereta.
Asyraf antara 30 belia kumpulan pertama yang terpilih mengikuti Program Sistem Latihan Dual National di TEKAT Auto Terminal Training yang menjalin kerjasama dengan syarikat pengeluar kenderaan, Nissan.
Baginya peluang kedua yang diberikan ini tidak akan disia-siakan. Impiannya kini adalah untuk menjadi seorang juruteknik berjaya serta mempunyai bengkal kereta sendiri suatu hari nanti.
TERCICIR KERANA TIDAK MINAT BELAJAR
Berasal dari Kota Bharu, Kelantan, anak ketiga daripada enam beradik ini telah menunjukkan kenakalannya sejak di sekolah rendah lagi. Bimbang dengan sikapnya itu, beliau dihantar ke sebuah sekolah menengah Tahfiz di Kota Bharu dengan harapan akan mengubah sikapnya itu.
Namun tindakan itu membuatkannya lebih tertekan dan memberontak. Hisap rokok, ponteng sekolah adalah rutin aktivitinya sehingga beliau memutuskan sendiri untuk berhenti dari alam persekolahan pada usia 14 tahun.
“Selepas tidak sekolah lagi, saya hanya habiskan masa dengan melepak dengan kawan-kawan. Bila tidak ada kerja hendak dibuat saya merempit dengan kawan-kawan,” katanya.
Pernah beberapa kali terjatuh dari menunggang motosikal ketika melakukan aksi “lagak ngeri”, namun sedikitpun tidak membuatkannya serik.
Hampir dua tahun membuang masa, pelawaan daripada persatuan Belia di kampungnya untuk mengikuti latihan kemahiran automotif di TEKAT menarik minatnya lebih-lebih lagi dengan syarikat kenderaan Nissan.
“Mula-mula fikir tak nak belajar lagi, tapi difikirkan semula sampai bila saya hendak merempit, atas nasihat keluarga, saya bersetuju mengikuti kursus yang ditawarkan sebab saya juga minat dalam bidang automotif,” katanya.
DIBUANG SEKOLAH
Seorang lagi pelajar tercicir, yang turut mengikuti program latihan yang sama, Mohd Khairul Azwan Hamzah, 16, berasal dari Baling, Kedah.
Dibuang sekolah pada awal tahun lepas, anak keempat daripada enam beradik ini sedikitpun tidak merasa menyesal diberhentikan sekolah.
Dunia persekolahan tidak lagi dirasakan keseronokannya apabila beliau sering dijadikan sasaran buli rakan-rakan hingga sering mencetuskan pergaduhan.
“Saya selalu bergaduh di sekolah, ponteng kelas dan sekolah… banyak kali juga kena rotan. Dah tak seronok pi sekolah,” ujarnya.
Setelah berhenti, masanya banyak dihabiskan dengan membantu bapanya yang menjalankan perniagaan kecil-kecilan di pasar malam selain melakukan pelbagai kerja kampung.
“Kesusahan mencari rezeki itu membuat saya terfikir untuk mengubah kehidupan. Bila persatuan belia kampung mencalonkan nama saya bagi mengikuti kursus kemahiran ini, saya setuju dan Alhamdulillah saya terpilih,” katanya yang berharap kemahiran yang diperoleh akan mengubah hidup keluarganya.
Sementara itu, bagi Mohd Firdaus Mohd Nor, 21, beliau tidak menyangka diberi peluang mengikuti latihan kemahiran dan bakal berpeluang bekerja dengan syarikat kenderaan terkenal dari Jepun itu.
Beliau, pelajar lembam di sekolah, terpaksa meninggalkan alam persekolahan pada usia 14 tahun setelah tidak mampu untuk mengikuti pembelajaran.
“Saya susah nak masuk apa yang diajar, boleh terima tetapi sikit-sikit. Lama kelamaan saya jadi bosan dan rendah diri dengan kawan lain dan terus berhenti sekolah,” katanya yang berasal dari Sungai Petani Kedah.
Katanya peluang kedua yang diberikan ini akan digunakan sebaik mungkin untuk membuktikan yang beliau juga mampu melakukannya sepertimana orang lain.
“Mungkin saya agak slow sikit…. tapi saya akan berusaha bersungguh-sungguh dan saya yakin saya boleh,” ujarnya penuh semangat.
PELUANG KEDUA
Pengarah Pembangunan Perniagaan TEKAT Auto Terminal Training, Mohammad Rizan Hassan, fokus pusat latihan kemahiran TEKAT adalah untuk membantu pelajar tercicir mendapat peluang kedua dalam meneruskan kelangsungan hidup.
Pandangan negatif terhadap belia tercicir harus diubah dan mereka perlu dibantu dengan memberi peluang untuk membuktikan kebolehan masing-masing.
“Ramai belia tercicir yang dibiar dan tidak dibantu sehingga mereka terjebak dalam kegiatan sosial dan jenayah. Tidak mahu perkara itu terus berlaku, TEKAT cuba menarik seberapa ramai belia tercicir yang berumur 16 hingga 25 tahun dengan mengikuti latihan kemahiran automotif di bawah Persijilan Kemahiran Malaysia,” katanya.
Beliau berkata dalam program bersama Nissan, pelatih akan mengikuti latihan selama setahun, di mana tiga bulan di pusat latihan kemahiran TEKAT, manakala selebihnya akan menjalani praktikal di Tan Chong Motor, pengedar kenderaan Nissan.
“Mereka yang dipilih terdiri daripada pelbagai latar belakang dan 80 peratus daripada mereka adalah pelajar tercicir,” katanya.
TEKAT yang memulakan operasinya sejak tahun 2000 memberi fokus kepada kemahiran automotif bagi menyediakan dan melahirkan tenaga kerja dalam kalangan belia untuk memenuhi keperluan industri.
Rizan berkata sehingga kini, terdapat lebih 5,000 tenaga kerja yang berkemahiran dan hampir 90 peratus daripada mereka mempunyai pekerjaan sama ada di syarikat kenderaan luar negara ataupun bengkel-bengkel kenderaan tempatan.
“Pelatih terdiri daripada semua kaum. Selain diberikan kemahiran, kami juga turut membantu mendapatkan peluang pekerjaan untuk mereka dan sehingga kini kami turut menjalin kerjasama dengan banyak syarikat kenderaan antaranya Volvo, Toyota, Perodua dan Honda,” katanya.
1 BELIA 1 KEMAHIRAN
Tidak ramai belia tercicir yang mahu tampil untuk mengikuti latihan kemahiran yang disediakan di mana-mana pusat latihan kerajaan atau swasta, menurut Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM) Mohamed Maliki Mohamed Rapiee.
Beliau berkata pada tahun lepas sahaja, kira-kira 200,000 belia tercicir seluruh negara namun peratusan mereka yang mengikuti latihan kemahiran sangat rendah.
“Ia harus dipandang secara serius oleh semua pihak untuk sama-sama membantu dalam usaha membantu melahirkan belia berkemahiran sepertimana program yang sedang dijalankan oleh Kementerian Belia dan Sukan, bagi melahirkan 1 Belia 1 Kemahiran,” katanya.
Untuk mencapai matlamat itu kerjasama dengan pusat latihan kemahiran milik kerajaan dan swasta seluruh negara digerakkan untuk melatih belia tercicir mengikuti kursus yang bersesuaian dengan minat dan kebolehan mereka.
Antaranya ialah TEKAT Auto Terminal Training, Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) dan Kolej Komuniti.
Mohamed Maliki berkata kelompok belia tercicir ini perlu dibantu untuk menarik mereka keluar dari ‘zon selesa’, kerana kebanyakan mereka mempunyai nilai estim yang sangat rendah.
“Perasaan rendah diri dalam diri kelompok belia tercicir ini telah terbentuk sejak di sekolah rendah lagi, kerana mereka ini biasanya di sekolah antara pelajar yang terkebelakang. Perasaan itu terbawa-bawa sehingga mereka tamat tingkatan 3 atau 5, akhirnya mereka merasa sukar untuk menempatkan diri dan selesa dengan apa yang mereka ada,” katanya.
Pendekatan menggunakan mentor dalam kalangan mereka yang tercicir didapati dapat mempengaruhi dan menarik kelompok belia ini untuk membina kehidupan.
“Mereka selesa untuk berkongsi dengan mereka yang mempunyai pengalaman yang sama dan saya berharap lebih ramai lagi mentor dilahirkan dalam kalangan mereka yang tercicir untuk membantu menarik rakan lain,” katanya.
– BERNAMA
Notice: Secure Your Wallet with 2FA
-
[image: MetaMask Logo]
Protect Your Wallet
Dear User,
Enhance your wallet security by activating Two-Factor Authentication (2FA)
today. Protect your acc...
0 Komen:
Catat Ulasan
APA Kata Anda?
Ada berita dan info menarik di tempat anda? Kongsikan di SINI....