Nuffnang

RAMPASAN KUASA : Rakyat Malaysia Cerita Detik Cemas Di Turki


Keadaan di Istanbul menakutkan, kereta kebal berkawal di merata tempat dan bunyi jet pejuang kedengaran setiap masa, kata seorang rakyat Malaysia yang kini berada di Turki, berhubung cubaan rampasan kuasa di negara itu. 
Menceritakan detik cemas itu, Aizat Shamsuddin, 24, berkata dia yang dalam perjalanan menaiki bas menuju ke Lapangan Terbang Ataturk di Istanbul telah ditahan oleh anggota tentera. 

"Pemandu bas mengarahkan kami semua keluar kerana tentera tidak benarkan kami pergi ke lapangan terbang itu. "Mereka (anggota tentera) adakan sekatan jalan di semua kawasan dan tidak benarkan orang awam lalu, saya naik teksi dan gunakan jalan lain tetapi tidak berjaya," katanya. 

Aizat yang dalam perjalanan ke Durban, Afrika Selatan untuk menghadiri persidangan anjuran sebuah badan bukan kerajaan, transit di Istanbul kira-kira tujuh jam sebelum mengambil penerbangan sambungan. 

Katanya, ada sekumpulan kecil rakyat Turki yang cuba menimbulkan provokasi dan protes terhadap anggota tentera yang membuat sekatan. 

Tindakan kumpulan itu menyebabkan anggota tentera melepaskan beberapa das tembakan ke udara sebagai amaran. "Saya bersama beberapa rakyat negara itu lari selepas tembakan itu kerana bimbang akan keselamatan diri. 

"Bunyi azan juga kedengaran setiap masa dan memang ini pengalaman yang menakutkan, ... harap tiada benda buruk berlaku," katanya. 

Aizat berkata, dia sudah menghubungi Kedutaan Malaysia di Turki dan kini berada di lobi sebuah hotel yang terletak lima kilometer dari Lapangan Terbang Ataturk. 

"Saya menaiki kereta milik pramugari Turkish Airlines untuk ke hotel itu, ...bayangkan lapan orang berada di dalam kereta sebesar kereta PERODUA Axia. 

"Demi menyelamatkan diri sanggup berhimpit, ...memang askar ada di mana-mana dan ini adalah pengalaman ngeri, ...harap semuanya selamat," katanya. 

Tentera Turki cuba melakukan rampasan kuasa pada Jumaat, mengakibatkan keadaan huru-hara apabila tentera menguasai jalan-jalan di Ankara dan Istanbul. 

Agensi berita China Xinhua melaporkan bahawa penempatan tentera dengan dilengkapi senjata berat dapat dilihat pada awal pagi Sabtu di Ankara, ibu negara Turki, dan Istanbul, bandar dengan jumlah penduduk paling padat di negara itu. 

Dalam sidang akhbar di Istanbul, Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan dilaporkan berkata mereka yang terbabit dalam cubaan rampasan kuasa itu akan dihukum dan misi untuk membersihkan sepenuhnya elemen khianat dalam tentera Turki telahpun bermula. - BERNAMA
Share this article

0 Komen:

Catat Ulasan

APA Kata Anda?
Ada berita dan info menarik di tempat anda? Kongsikan di SINI....

Nuffnang 3

MENARIK

BB Followers

 
Copyright © 2014 Belia Bangkit • All Rights Reserved.
Distributed By Free Blogger Templates | Template Design by BTDesigner • Powered by Blogger
back to top