Nuffnang

Wajarkah Mahathir Disokong? - Nasrudin Hassan


Gelombang Tun Dr Mahathir tidak sangat menarik minat awam justeru reputasinya sangat dipertikai. Apakah ia insaf dan sedar bahawa UMNO kini rosak? atau sekadar beliau tidak berpuas hati dengan individu? Pada 1969 beliau dipecat dari UMNO kerana menentang Tunku Abdul Rahman malah pada waktu itu beliau menggunakan pentas PAS untuk sambung hayat politiknya. Kemudiannya beliau kembali kepada UMNO apabila berakhir era Tunku.
Pada 2008 beliau umum keluar UMNO kerana tidak berpuas hati dengan Tun Abdullah Badawi. Kemudiannya beliau kembali semula kepada UMNO apabila Pak Lah berundur.

Manakala 2016 beliau keluar lagi UMNO dan kali ini kerana tidak berpuas hati dengan Dato’ Seri Najib Razak orang pilihannya sendiri sewaktu menggantikan Pak Lah.

Berasaskan rekod ini, saya boleh andaikan bahawa Tun Dr Mahathir akan kembali kepada UMNO buat kesekian kalinya jika Dato Seri Najib berundur dan diganti dengan orang pilihannya seperti Tan Sri Muhyidin Yasin atau lainnya.

Persoalannya ialah, jika ini asas tindakan Tun Mahathir maka apakah gerakannya wajar disokong? Ya , saya lihat orang yang anti Najib mungkin akan sokong dengan harapan Najib berundur dan mereka pastinya akan kembali kepada UMNO selepas Najib berundur.

Katakanlah naik Tan Sri Muhyidin, apakah Tun Mahathir akan kekal menentang UMNO? Apakah penyokong Tun Mahathir akan terus menentang UMNO? atau Tun Mahathir akan kembali kepangkuan UMNO? Berapa lama pula Tun Mahathir akan menyokong Tan Sri Muhyidin ?

Saya sendiri tidak yakin Tun Mahahtir akan bertahan lama untuk sokong Tan Sri Muhyidin, sebab Tun Mahathir mempunyai rekod menentang orang pilihannya sendiri.

Itu pun kalau naik Tan Sri Muhyidin. Kalau naik Dato Seri Zahid Hamidi ? Bukan sahaja Tun Mahathir melopong sebaliknya semua kerja buat Tun Mahathir dan penyokong akan temui jalan buntu. Dalam masa yang sama tidak ada jaminan Dato Seri Zahid Hamidi lebih baik dari Dato Seri Najib.

Itu pun kalau Dato Seri Najib berundur dan akur desakan Tun Mahathir. Ia bergantung kepada berapa kuat desakan dan sokongan awam kepada perjuangan peribadi Tun Mahathir untuk menolak Dato Seri Najib.

Namun saya sorang tidak berminat untuk menyertai perjuangan peribadi. Dia marah Dato Seri Najib mengukuhkan peribadinya dalam UMNO sedang dia sendiri jelas kelihatan berjuang untuk peribadi. Bukan menentang UMNO tapi mahu mengukuhkan UMNO dengan menolak individu tertentu.

Apakah anda mahu bantu Tun Mahathir berjuang jatuhkan Dato Seri Najib supaya selepas ini UMNO kembali kukuh dan Tun Mahathir kembali kepangkuan UMNO, terpulanglah. Itu selera politik masing – masing.

Kesempatan ini, saya nak sebut juga sikit untuk tatapan orang yang marahkan PAS kononnya PAS berbaik dengan UMNO, sebab itu PAS tidak mahu menyertai perjuangan peribadi Tun Dr Mahathir.

Mereka marah PAS kononnya PAS berbaik dengan UMNO, PAS sudah lupakah peristiwa memali? Suka saya sebut, Tun Mahathir lah bertanggungjawab kerana waktu itu beliau adalah Perdana Menteri. Sehingga hari ini belum kedengaran beliau mohon maaf.

Mereka marah PAS kononnya PAS berbaik dengan UMNO, PAS sudah lupakah pimpinan PAS terdahulu disumbat dalam ISA, dipenjara, dibelasah oleh FRU. Suka saya nyatakan bahawa Tun Dr Mahathir lah bertanggungjawab kerana waktu itu beliau adalah Perdana Menteri

Mereka marah PAS kononnya PAS berbaik dengan UMNO, PAS lupakah kezaliman UMNO kepada rakyat marhain selama ini? Suka saya ingatkan di sini bahawa Tun Dr Mahathirlah bertanggungjawab kerana Beliau memimpin UMNO 22 tahun sebagai Perdana Menteri dan Presiden UMNO. Pemerintahan Pak Lah tak sempat mencengkam. Pemerintahan Dato Seri Najib masih baru.

Akhirnya, suka saya sarankan kepada semua pihak, agar tidak menjadikan agenda peribadi sebagai propaganda perjuangan dan mengorbankan kepentingan awam. Jika ada sebuah keinsafan untuk berjuang, ayuh sertailah PAS untuk kita perbaiki diri, masyarakat dan negara dengan Islam yang diwahyukan oleh Allah swt. Justeru perjuangan kita bukan hanya untuk dunia kita bahkan kita perlu merancang untuk akhirat kita yang selamat dan bebas dari murka Allah swt.

Nasrudin Hassan
Penulis adalah Ketua Penerangan PA Pusat dan Ahli Parlimen Temerloh
(SUMBER)
Share this article

0 Komen:

Catat Ulasan

APA Kata Anda?
Ada berita dan info menarik di tempat anda? Kongsikan di SINI....

Nuffnang 3

MENARIK

BB Followers

 
Copyright © 2014 Belia Bangkit • All Rights Reserved.
Distributed By Free Blogger Templates | Template Design by BTDesigner • Powered by Blogger
back to top