Nuffnang

MENARIK !! Menteri Mana Di Panggil "ebot-ebot"?


SEMPORNA - 'Ebot-ebot' antara ungkapan paling popular yang sentiasa meniti di bibir Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal setiap kali beliau turun padang menemui penduduk di seluruh pelusuk Semporna.

'Ebot-ebot' yang bermaksud ingat-ingat, berasal daripada bahasa suku kaum Bajau asli di Semporna, kini menjadi ikutan penduduk tempatan sekaligus berjaya menambat hati pengundi mendengar ucapan di setiap majlis dihadiri Mohd Shafie.




Naib Presiden Umno yang suka merendah diri dan kerap membahasakan dirinya sebagai 'menteri kampung' itu, merupakan penyandang kerusi Parlimen Semporna, Sabah sejak pilihan raya umum 1995, berdepan dengan pertandingan tiga penjuru pada pilihan raya umum kali ini.

Beliau berhadapan dengan calon PKR, seorang doktor perubatan, Dr Zamree @ Mohd Suffian Abdul Habi dan bekas ahli Umno, Datu Badaruddin Tun Datu Mustapha yang bertanding sebagai calon bebas.

Pada pilihan raya umum 2008, Mohd Shafie, 56, menang dengan majoriti 17,462 undi mengalahkan calon PKR Ab Azis Ab Hamid.

Tinjauan Bernama mendapati sifat merendah diri Mohd Shafie membuatkan penduduk yang ditemui melahirkan rasa senang dengan beliau, serta dekat dengan hati mereka, baik bagi penduduk di tanah besar mahupun di kawasan pulau.

Jamdi Kulambal, 58, dari Kampung Belimbang Berjasa, Pulau Bum-Bum, berkata perkataan 'ebot-ebot' itu merupakan peringatan Mohd Shafie kepada rakyat supaya tidak melupakan jasa kerajaan yang telah membawa kemajuan pembangunan serta menabur bakti kepada masyarakat Semporna.

"Ebot-ebot itu juga bererti ingat-ingatlah kamu semua, bahawa jangan sesekali kau lupa orang yang telah berjasa kepada kau setelah beroleh nikmat hasil pemberian kerajaan," katanya kepada Bernama.

Jamdi, seorang nelayan berkata biarlah Mohd Shafie dilabel menteri kampung sekalipun, kerana di sini beliaulah kebanggaan penduduk tempatan malah perwatakan dan cara hidupnya amat dekat dengan masyarakat di sini, dan lambang bahawa anak kampung dari Semporna juga boleh berjaya malah balik ke sini membawa kemajuan.

"Dan kali ini saya yakin apabila beliau menang pilihan raya umum ke-13 ini, lebih banyak kemajuan akan dibawanya ke sini seperti mana kemudahan air, jalan raya, wifi yang beliau telah bawa ke sini pada penggal pemerintahan kerajaan BN yang lepas," katanya yang mengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sulabayan.

Bagi usahawan rumpai laut, Abdullah Kuara, 45, pula beliau berharap jika BN diberi mandat menubuhkan kerajaan, projek pembangunan seperti pembinaan jambatan dari Pulau Bum-Bum ke pekan Semporna dapat disiapkan segera.

"Tidak jauh pun kalau ada jambatan itu sekitar lima kilometer sahaja, jadi saya harap projek itu dapat dimulakan segera supaya masalah pengangkutan bagi mengeluarkan hasil rumpai laut dapat diselesaikan sekaligus menambah pendapatan penduduk di pulau ini," katanya.

Suri rumah, Fatimah Saedah Ahad, 27, yang menetap di Kampung Hampalan Darat, Pulau Bum-Bum, sebuah perkampungan di atas air, berkata sejak Mohd Shafie menjadi wakil rakyat mereka, banyak kemudahan asas seperti bekalan air bersih, balai polis baharu dan kemudahan kampung tanpa wayar diwujudkan di pulau itu.

"Cuma kalau boleh ditambah klinik desa atau Klinik 1Malaysia di pulau ini bagi memudahkan anak-anak ke sekolah dan ibu yang mempunyai anak kecil mudah ke klinik itu," katanya.

Semporna, yang terletak di timur Sabah mempunyai 49 pulau dan dihuni kira-kira 133,164 penduduk, terdiri dari 75,889 kaum Bajau, 2,521 Melayu, 1,060 Cina, 842 Kadazan, 74 India dan 11,338 Bumiputera lain dengan kebanyakan mereka bekerja sebagai nelayan, pekerja ladang kelapa sawit dan juga di sektor pelancongan.

Parlimen Semporna pula mempunyai tiga DUN iaitu Sulabayan, Senallang dan Bugaya serta mempunyai kira-kira 41,000 pengundi dan hampir 19,000 daripada jumlah itu adalah pengundi muda dan kali pertama mengundi.


-- BERNAMA
Share this article

0 Komen:

Catat Ulasan

APA Kata Anda?
Ada berita dan info menarik di tempat anda? Kongsikan di SINI....

Nuffnang 3

MENARIK

BB Followers

 
Copyright © 2014 Belia Bangkit • All Rights Reserved.
Distributed By Free Blogger Templates | Template Design by BTDesigner • Powered by Blogger
back to top