Nuffnang

RETAK MENANTI BELAH : Majlis Penasihat "Mula Ditolak" Pemimpin PH?


Apabila kronisme melangkaui kepentingan umum, maka berlakulah konflik dalam pembuatan keputusan. Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) dilaporkan bercanggah pendapat dengan beberapa pemimpin Pakatan Harapan (HARAPAN) berhubung keputusan kerajaan, kata akhbar Straits Times Singapura.

Laporan itu, yang memetik pegawai kerajaan, berkata campur tangan CEP menyaksikan perubahan beberapa kakitangan utama dalam kerajaan, termasuk peletakan jawatan gabenor Bank Negara, dua hakim kanan dan speaker Dewan Rakyat.

Untuk jawatan speaker PKR dan DAP dilaporkan mahu calon yang berbeza.

Akhbar itu juga melaporkan tahap campur tangan oleh anggota CEP, Tun Daim Zainuddin cukup meresahkan pemimpin HARAPAN.

Timbalan Ketua Dasar dan Strategi, BERSATU, Wan Saiful Wan Jan dipetik sebagai mengakui terdapat perbincangan mengenai peranan CEP bukan hanya di kalangan menteri dan pemimpin parti tetapi juga di pegawai kanan kerajaan.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, sebelum ini, berkata CEP hanya akan berfungsi selama 100 hari tetapi laporan itu berkata terdapat kebimbangan bahawa hayat majlis tersebut kini mungkin dilanjutkan.

"Mahathir perlu berhati-hati untuk tidak terlalu bergantung kepada Daim sebagai penyelesaisegala masalah, tetapi mampukah Mahathir menghentikan seseorang seperti Daim?" soal felo kanan, Sekolah Pengajian Antarabangsa S Rajaratnam Johan Saravanamuttu, seperti dipetik oleh Straits Times.

Laporan itu juga mendedahkan mengenai kebimbangan komuniti perniagaan, dengan memetik Pengarah Asia, Kumpulan Eurasia, Peter Mumford sebagai berkata:

"CEP mengurangkan peranan kabinet dalam beberapa segi, meningkatkan risiko kekeliruan dasar dan keprihatinan mengenai pentadbiran selari.

“Para pelabur mahu mengelakkan diri daripada mempunyai dua menteri kewangan dan penjelasan mengenai siapa yang berkuasa."

Straits Times menambah, terdapat spekulasi CEP juga mahu pengurusan tertinggi Khazanah meletakkan jawatan susulan cadangan memindahkan entiti itu ke Jabatan Perdana Menteri.

Ia menambah, Daim juga tidak bersetuju dengan rundingan semula projek LRT3 dan MRT2, sebaliknya dilaporkan memihak kepada tender semula secara terbuka.

Bagaimanapun, Menteri Kewangan Lim Guan Eng telah mengumumkan perjanjian rundingan semula LRT3 bakal menyaksikan pengurangan kos dari RM31.45 bilion kepada RM16.63 bilion.

Laporan itu memetik seorang pemimpin HARAPAN sebagai berkata, keputusan kabinet yang meluluskan cadangan Lim berbanding Daim, menunjukkan Mahathir tidak seratus-peratus memihak Daim.

KJ Bimbang Pengaruh CEP Yang Tidak Dipilih Rakyat

Khairy Jamaluddin (BN-Rembau) hari ini menimbulkan kebimbangan tentang pengaruh Majlis Penasihat Kerajaan (CEP), yang digambarkannya sebagai majlis yang "tidak dipilih dan tidak dipertanggungjawabkan".


Bercakap semasa sesi soal jawab di Parlimen pagi ini, Khairy memberi contoh bagaimana Pengerusi CEP, Tun Daim Zainuddin memanggil hakim-hakim kanan dan mengarahkan mereka untuk meletakkan jawatan.

“Itu bukan nasihat. Itu adalah arahan serta-merta letak jawatan dan ini direkodkan,” katanya.

Khairy juga merujuk pelantikan Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, seorang lagi anggota CEP, yang menerajui dua syarikat berkaitan kerajaan (GLC), iaitu Perbadanan Nasional Berhad (PNB) dan Sime Darby Properties.

“Adakah ini percanggahan kepentingan, conflict of interest? Bila kerajaan nak bubarkan CEP yang unaccountable dan juga unelectedini?” soalnya.

Menjawab soalan itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab terhadap undang-undang, Datuk Liew Vui Keong mengulangi bahawa peranan CEP adalah sebagai majlis penasihat.

“Kerajaan sebelum ini juga telah melantik banyak badan penasihat, seperti badan penasihat mengenai 1MDB, special advisory on many other bodies.

“Tetapi soal accountability ataupun locus standi bagi CEP ini tidak wujud bagi locus standi kerana mereka ini hanya abertindak sebagai badan penasihat dan tidak terikat kepada apa-apa perundangan.

“Jadi keputusan mereka ini tidak semestinya binding (mengikat) kepada kerajaan. Kerajaan mengambil pandangan daripada mereka...,” katanya.

Tidak puas hati dengan jawapan berkenaan, Khairy kemudian mempersoalkan mengapa Daim minggu lalu ke Beijing untuk berunding dengan kerajaan China.

“Apa yang berlaku di China, rundingan dari Daim, adakah itu advisory? Adakah itu hanya memberi nasihat?” soalnya.

Bagaimanapun, Liew berkata kunjungan Daim itu adalah atas arahan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Sekiranya diarahkan, bolehlah pergi melawat. Jadi untuk mendapat pandangan dan juga isu-isu yang berkenaan negara ini,” katanya.

Mahathir dijadualkan membuat lawatan rasmi ke China bulan depan.

Liew juga mengulangi bahawa majlis itu akan dibubarkan selepas 100 hari HARAPAN berkuasa.

- Malaysiakini
Share this article

0 Komen:

Catat Ulasan

APA Kata Anda?
Ada berita dan info menarik di tempat anda? Kongsikan di SINI....

Nuffnang 3

MENARIK

BB Followers

 
Copyright © 2014 Belia Bangkit • All Rights Reserved.
Distributed By Free Blogger Templates | Template Design by BTDesigner • Powered by Blogger
back to top