Nuffnang

KISAH RAKYAT : Di Sebalik Kisah Pengayuh Basikal Bawa Tiga Murid


Terselit 1001 kisah di sebalik gambar tiga pelajar sekolah yang 'diangkut' seorang lelaki warga tua dengan sebuah basikal yang tular di media sosial baru-baru ini.

Bapa kepada tiga pelajar berkenaan, Rasuludin Jamal Mohammed, 40, berkata, disebabkan gambar yang dirakamkan orang awam di Alor Setar, Kedah itu juga, kehidupan mereka sekeluarga menjadi lebih baik.

Bercerita tentang gambar berkenaan, bapa kepada empat anak ini berkata, beliau terpaksa meminta bantuan bapa saudaranya yang dipanggil Ali untuk menjemput tiga anaknya dari sekolah menggunakan basikalnya pada Ahad lalu kerana keretanya rosak.

Beliau yang tinggal di Jalan Seberang Perak, Alor Setar, berkata, beliau telah meminjam motosikal rakannya pada sebelah pagi untuk menghantar tiga anak itu yang bersekolah di Mergong, kira-kira tujuh kilometer dari rumah mereka.

"Pada hari itu juga saya putuskan untuk berhenti kerja kerana saya lambat sampai di tempat kerja.

"Saya buat keputusan ini selepas memikirkan tentang persekolahan anak-anak, saya tak mahu mereka ponteng hanya kerana masalah pengangkutan dan dalam masa sama tidak mahu menyusahkan majikan," 

Rasaludin berkata, dengan bekerja di sebuah restoran dan gaji harian RM40 sebelum ini, beliau tidak mampu membayar sewa pengangkutan untuk memudahkan anak-anaknya berulang-alik ke sekolah.

Jelasnya, apa yang berlaku pada Ahad bukanlah pertama kali kerana sebelum ini juga beliau pernah meminta bantuan Ali walaupun usianya sudah mencecah 60 tahun.

Menurut Rasaludin, beliau tidak membenarkan anak-anaknya yang berusia 10, 11 dan 13 tahun itu pergi dan pulang dari sekolah tanpa ditemani sesiapa kerana jarak rumahnya dengan sekolah jauh.

"Biasanya kalau naik basikal berempat (termasuk pengayuh) ambil masa lebih dari satu jam.

"Saya sedar ia bahaya, tapi saya tiada pilihan. Saya bekerja dan isteri saya terpaksa menjaga anak saya yang berusia sembilan bulan di rumah," katanya.

Bagaimanapun, beliau bersyukur kerana apa yang berlaku ini telah 'membuka matanya' untuk melakukan sesuatu demi kebaikan dan keselamatan tiga anaknya.

Katanya, selepas gambar itu tersebar di internet, beberapa pegawai Kementerian Pendidikan negeri telah menghubunginya.

"Mereka nasihat dan cadang dua anak saya yang sekolah rendah berpindah ke sekolah yang lebih dekat dengan rumah dan anak saya yang sekolah menengah masuk asrama.

"Alhamdulillah, urusan tukar sekolah hampir selesai dan anak saya yang berada di Tingkatan 1 akan masuk ke asrama Ahad ini," katanya.

Tambahnya, rumah sewa yang diduduki mereka sekeluarga juga dikunjungi beberapa individu yang mahu menghulurkan beberapa bantuan.

Mengenai bantuan kewangan, Rasaludin berkata keluarganya menerima bantuan zakat dan tiga anaknya adalah penerima bantuan daripada Tabung Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM) di sekolahnya.

Rasaludin berkata selepas ini beliau hanya mahu berfikir untuk mencari kerja demi kehidupan dan masa depan keluarga yang lebih baik.

Share this article

3 Komen:

  1. Tengok hebatnya kementerian pelajaran..dapat selesaikan masalah keluarga ni..mcm tu pun ada yang taknpuas hati dgn kerajawpimpinan Umno dan BN.. Tak fahamlah

    BalasPadam
  2. itu mmg tanggungjawab kerajaan, kalau tidak sape lagi..?

    BalasPadam
  3. Reaksi kerajaan yg bertanggungjawab

    BalasPadam

APA Kata Anda?
Ada berita dan info menarik di tempat anda? Kongsikan di SINI....

Nuffnang 3

MENARIK

BB Followers

 
Copyright © 2014 Belia Bangkit • All Rights Reserved.
Distributed By Free Blogger Templates | Template Design by BTDesigner • Powered by Blogger
back to top