Nuffnang

DALAM KENANGAN : CHEF WAN PULA KONGSI RAHSIA DENGAN ALMARHUM


SELAIN Datuk Siti Nurhaliza, cef No.1 negara, Datuk Redzuawan Ismail atau Chef Wan turut berkongsi pengalaman beliau ketika pertama kali disapa Tunku Laksamana Johor, Tunku Abdul Jalil Sultan Ibrahim Ismail.

Menulis pengalaman peribadi menerusi laman Instagram beliau, Chef Wan berkata, kisah pertemuan mereka berdua bermula ketika berada dalam satu penerbangan yang secara kebetulan adalah sama beberapa tahun lalu.

Tanpa mengenali itu adalah Tunku Abdul Jalil, Chef Wan menceritakan kembali bila mana Almarhum bersalam dengannya dan berkata,

“Hi, boleh saya bersalam dengan Chef Wan dan saya merupakan peminat setia Chef Wan.

“Saya dan kakak selalu bermain masak-masak depan televisyen ketika menyaksikan program masakan oleh Chef Wan. Anda sentiasa buat saya ketawa.”

Kemudiannya, Tunku Abdul Jalil mengajak Chef Wan bertukar kerusi dan duduk di sebelahnya bagi membolehkan mereka berborak dengan lebih selesa sepanjang penerbangan dari Johor Bahru ke Kuala Lumpur itu.

Ketika itu, Chef Wan bertanya putera berjiwa rakyat tersebut bekerja sebagai apa tanpa sekalipun beliau langsung menyedari yang berada di sebelahnya pada masa itu sebenarnya ialah Tunku Abdul Jalil.

Jawab Almarhum, baginda sedang menjalani latihan kepolisan dan lantas mendengar jawapan itu, Chef Wan menasihatkan Tunku Abdul Jalil agar makan lebih lagi memandangkan keadaan baginda sangat kurus waktu itu.

Hanya ketika Tunku Abdul Jalil menghadiahkan Chef Wan senaskhah buku mengenai sejarah diraja Johor, baharulah chef itu sedar anak muda yang sangat merendah diri dan baik hati itu adalah anakanda kepada Sultan dan Permaisuri Johor.

Menitipkan ucapan salam takziah buat kerabat diraja Johor, Chef Wan mendoakan agar roh baginda dicucuri rahmat serta ditempatkan dalam kalangan hamba-Nya yang soleh dan beriman.
Share this article

0 Komen:

Catat Ulasan

APA Kata Anda?
Ada berita dan info menarik di tempat anda? Kongsikan di SINI....

Nuffnang 3

MENARIK

BB Followers

 
Copyright © 2014 Belia Bangkit • All Rights Reserved.
Distributed By Free Blogger Templates | Template Design by BTDesigner • Powered by Blogger
back to top