Sidang media Ketua Polis Negara hari ini di sini bertukar ‘sedikit tegang’ apabila Tan Sri Khalid Abu Bakar bertikam lidah dengan seorang wartawan Al-Jazeera berhubung penyiaran dokumentari eksklusif baru-baru ini mengenai kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu.
Keadaan bermula apabila Khalid ditanya mengenai dokumentari tersebut dan tindakan yang bakal dikenakan ke atas wartawan yang menghasilkan dokumentari itu.
Khalid berkata, dokumentari itu dihasilkan bukan atas fakta sebenar dan hanya berdasarkan dengar cakap sahaja.
"Kami akan menyiasat wartawan Al Jazeera," katanya sebelum bertanya jika terdapat wakil wartawan dari agensi antarabangsa itu yang hadir pada sidang media itu.
Seorang wartawan telah memperkenalkan diri dari Al Jazeera dan Khalid menegurnya bahawa dokumentari berdasarkan penilaian sendiri boleh mengelirukan orang ramai.
"Rakan anda cuba mewujudkan bukti baru dalam kes itu. Apa yang dia cuba lakukan?" katanya kepada wartawan dikenali Florence Looi itu yang cuba mempertahankan rakan sekerjanya sambil berkata mereka tidak mempunyai agenda tersembunyi dalam penghasilan dokumentari video yang disiarkan pada Rabu lalu.
"Kami tidak mempunyai apa-apa agenda tersembunyi dan video itu dihasilkan berdasar apa yang rakannya telah bongkar melalui orang yang ditemuinya," jawab Florence.
Khalid kemudian mengulangi kenyataan bahawa video itu berdasarkan dengar cakap namun Florence tetap mempertahankan lagi bahawa laporan yang dibuat tanpa sebarang motif tersembunyi.
"Ini bukan etika kewartawanan yang baik. Rakan anda cuba untuk mengelirukan rakyat. Polis akan siasat wartawan Al Jazeera," kata Khalid tegas.
Adegan bertikam lidah itu berlangsung selama kira-kira satu minit dan hanya berakhir selepas Khalid mengulangi bahawa Mahkamah Persekutuan telah membuat keputusan dalam kes Altantuya.
"Kes ini sudah selesai hingga Mahkamah Persekutuan dan kenapa video tidak dihasilkan sebelum ini. Rakan anda cuba mewujudkan bukti baru,?" katanya serius.
Khalid memberitahu, polis telah mengenal pasti beberapa individu yang didakwa memberikan maklumat kepada Jolley dan memberi amaran bahawa polis sedang memantau mereka.
"Kami tahu siapa mereka telah memberi maklumat beliau dan kami sedang memantau," katanya.
Bagaimanapun, selepas sidang media itu selesai, Khalid sempat menemui wartawan Al Jazeera itu yang masih cuba menerangkan sesuatu sebelum mereka bersalaman.
Pada Rabu lalu, dalam program berdurasi selama 25 minit, wartawan Australia, Mary Ann Jolley memaparkan kisah kontroversi Altantuya, seorang warganegara Mongolia yang telah dibunuh pada Oktober 2006 dengan badannya diletupkan dengan bahan letupan tentera, C4. - MalaysiaGazette
0 Komen:
Catat Ulasan
APA Kata Anda?
Ada berita dan info menarik di tempat anda? Kongsikan di SINI....