Nuffnang

VAT 69 : Saya Buat Yang Terbaik Dan Berserah Kepada Allah!!


“Saya buat yang terbaik dan hanya berserah kepada Allah” kata seorang anggota komando VAT69 dalam perbicaraan di sini ketika menceritakan detik berdepan dengan sekumpulan enam atau tujuh penceroboh bersenjata semasa menjalankan tinjauan rapat di Kampung Tanduo tahun lepas.

Komando VAT69 Insp Rosmadi Rosli berkata, pada ketika itu beliau mempunyai keyakinan yang rendah bahawa sekumpulan penceroboh itu tidak akan melepaskan tembakan ke arahnya semasa mereka melihatnya di kawasan surau, di Kampung Tanduo pada 1 Mac 2013, pukul 7 pagi.





Semasa pemeriksaan balas oleh peguam Datuk N.Sivananthan, bagaimana beliau yakin penceroboh bersenjata itu tidak akan menembaknya, Rosmadi berkata “Saya buat yang terbaik dan buat apa yang termampu. Pada ketika itu saya hanya berserah kepada Allah.”

Ditanya lagi sama ada ada cubaan daripada penceroboh itu untuk menyerang beliau dan pasukannya, Rosmadi berkata mereka tidak cuba untuk menyerang pasukannya tetapi mereka tidak berganjak dari tempat mereka berdiri.

Rosmadi yang mengetuai Sektor E, semasa melakukan tinjauan rapat itu juga bersetuju dengan cadangan Sivananthan bahawa semasa beliau berkata “You go, I go”, tidak ada cubaan daripada penceroboh yang ketika itu berada di hadapan pasukannya untuk menyerang mereka.

Saksi pendakwa ke sembilan itu berkata empat atau lima anggota kumpulan penceroboh itu memakai pakaian celoreng dan dua antara mereka memegang senjata api.

Rosmadi berkata, penceroboh itu berdiri di hadapan pasukannya pada jarak 10 hingga 15 meter.

Kepada soalan lain Rosmadi juga tidak bersetuju dengan cadangan peguam itu bahawa pasukannya tidak membuat sebarang justifikasi semasa menembak mati dua orang penceroboh semasa operasi pembersihan dilakukan di Kampung Tanjung Batu pada 7 Mac tahun lepas.

“Sekiranya pasukan kami terserempak dengan penceroboh ini, arahan yang diberi oleh ketua kami ialah kami mesti lihat keadaan pada waktu itu dan cara musuh datang kepada kami,” katanya pada perbicaraan 30 individu yang didakwa terhadap pelbagai pertuduhan berkaitan kegiatan pengganas di Sabah tahun lepas.

Saksi itu juga tidak bersetuju dengan cadangan peguam itu bahawa semasa mereka menjalankan operasi di kawasan itu sekiranya ada orang datang ke situ, orang akan dianggap musuh dan mereka akan menembak orang berkenaan.

Sebanyak 30 tertuduh terdiri daripada 27 warga Filipina dan tiga penduduk tempatan dibicarakan dalam kes ini. Mereka berdepan pelbagai tuduhan iaitu menjadi anggota kumpulan pengganas atau melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong, merekrut anggota untuk kumpulan pengganas atau melindungi individu yang mereka tahu adalah anggota kumpulan pengganas.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu antara 12 Februari dan 10 April 2013.

Perbicaran di hadapan Hakim Stephen Chung yang diadakan di Jabatan Penjara Sabah bersambung esok. – Bernama
Share this article

0 Komen:

Catat Ulasan

APA Kata Anda?
Ada berita dan info menarik di tempat anda? Kongsikan di SINI....

Nuffnang 3

MENARIK

BB Followers

 
Copyright © 2014 Belia Bangkit • All Rights Reserved.
Distributed By Free Blogger Templates | Template Design by BTDesigner • Powered by Blogger
back to top