Nuffnang

ANAK MUDA PENERAJU KEBANGKITAN NEGARA ISLAM

Negara-negara Islam perlu memahami dengan baik kehendak golongan muda dengan cara mengambil tahu dan mengerti perubahan demografi dan teknologi yang menyelubungi dan menjejaskan kehidupan mereka, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
 
Beliau berkata dunia Islam sedang mengalami “kebanjiran golongan muda”. Pada 2010, golongan di bawah umur 30 adalah kira-kira 60 peratus populasi di negara-negara yang majoriti penduduknya Islam.
 
“Populasi lebih muda bermakna tenaga kerja lebih banyak. Pelaburan dan modal lebih besar diperlukan untuk memenuhi keperluan kapasiti ini.
 
“Perubahan demografik yang besar boleh memberi impak kepada dasar fiscal untuk beberapa dekad, sepertimana dialami negara-negara “yang mencatatkan kadar kelahiran bayi tinggi”. Daripada segi sosial, impak jangka pendeknya boleh menjadi lebih besar.
 
“Kebanjiran golongan belia telah memperkenalkan tenaga pendam kepada ekonomi dan masyarakat sesebuah negara. Jika dibiarkan, ia boleh menjadi tenaga penyahstabilan,” kata Najib dalam artikel beliau bertajuk ‘The Challenge of Muslim Youth’ (Cabaran Belia Islam) yang diterbitkan dalam New York Times/International Herald Tribune pada Sabtu.
 
Najib berkata perubahan besar sedang berlaku di Timur Tengah dan Afrika Utara.
 
“Masih terlalu awal untuk memuktamadkan puncanya, tetapi saya percaya faktornya adalah serupa: golongan muda dalam masyarakat Islam berdepan masalah kekurangan peluang.
 
Beliau berkata kebangkitan di negara Arab diterajui oleh golongan muda, dipacu teknologi dan disemarakkan oleh keinginan terhadap perubahan politik.
 
Dalam mendambakan sebuah masyarakat terbuka dan kerajaan yang lebih reponsif, beliau berkata golongan muda Arab mempamerkan keinginan terhadap demokrasi. Tetapi mereka juga memperlihatkan rasa kehilangan yang amat ketara – bukan sahaja daripada segi kebebasan peribadi atau politik tetapi juga peluang.
 
Najib berkata pemberontakan yang berlaku adalah disebabkan pengagihan sumber-sumber secara tidak sekata. Bukannya sumber asli atau modal tetapi rakyat.
 
Kurangnya penyertaan golongan muda dalam ekonomi telah mewujudkan keadaan di mana ketegangan boleh memuncak – ketegangan yang disemarakkan oleh kurangnya pembaharuan politik. Dengan pelucutan hak secara politik dan ekonomi, golongan muda mencari kepuasan kengan cara protes,” katanya.
 
Najib juga berkata tekanan-tekanan sebegini bukannya hanya unik di negara-negara Arab; ianya turut dirasai di seluruh denia.
 
“Ramai golongan muda Islam melihat tiada peluang untuk diri mereka dan tidak merasa yang mereka mempunyai kawalan ke atas kehidupan mereka atau peranan untuk masa depan negara mereka.
 
“Sikap pesimis seperti itu membawa kepada enggan melibatkan diri. Kita berisiko kehilangan generasi muda Islam kepada sikap tidak peduli dan ekstremisme,” kata NajiB.
 
Perdana Menteri berkata pada 2010, kadar pengangguran golongan belia di Timur Tengah ialah 25 peratus; di Afrika Utara ialah 24 peratus. Tahap itu amat bahaya. Apabila golongan muda kekurangan peluang, mereka akan menjadi bosan dan tidak keruan.
 
“Kebergantungan merampas maruah mereka; tanpa pegangan ekonomi dalam masyarakat, mereka boleh hilang rasa kekitaan mereka. Ia boleh mendorong mereka bertindak ganas terhadap negara.
 
 
 
 
 
 
“Dari 1970 hingga 2000, lapan daripada 10 negara yang mengalami konflik baharu sivil ialah 60 peratus populasinya adalah berumur bawah 30 tahun,” katanya.
 
Mengenai perubahan besar teknologi, Najib berkata 21 tahun dahulu, tidak wujud laman web; hari ini, terdapat lebih setengah bilion. Dalam tempoh singkat, Internet telah membuka banyak peluang yang sebelum ini tidak wujud.
 
Beliau berkata era maklumat mempunyai generasinya sendiri, golongan pengguna digital – mereka yang hanya bergantung kepada dunia siber untuk berhubung.
 
“Mereka mengharapkan maklumat adalah bebas, demokrasi menjadi responsif, komunikasi menjadi global. Mereka mahukan peranan aktif dalam ekonomi digital.
 
Diperkasakan oleh teknologi, golongan muda boleh melahirkan kekecewaan mereka kepada audien global. Ini mempunyai implikasi besar: kemunculan kesedaran baharu mengenai politik antarabangsa,” katanya.
 
Najib berkata dua kuasa ini – demografi dan teknologi – mencorakkan aspirasi golongan muda.
“Dalam peringkat usia menentukan nasib sendiri, mereka mahukan peluang kebebasan. Mereka mahukan pendidikan bertaraf dunia. Dan mereka mahukan kerajaan yang terbuka dan boleh dipercayai.
 
“Cabaran kita ialah menyediakan kebebasan-kebebasan itu tanpa mengorbankan tradisi kita. Tetapi ini hanya boleh berlaku jika kita mempamerkan kepimpinan berwibawa dan komited untuk melakukan perubahan.
 
“Akses kepada pendidikan semakin baik, tetapi ramai golongan belia masih mendapati kelayakan mereka tidak sepadan dengan peluang-peluang yang ada, jadi kita perlu beri tumpuan pada latihan vokasional dan teknikal.
 
“Kita juga perlu terus membuka ekonomi-ekonomi kita: 23 peratus daripada penduduk dunia ialah umat Islam, tetapi 57 anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) hanya menguasai 8.3 peratus perdagangan global,” katanya.
 
 
 
 
 
Najib juga berkata pembaharuan struktur perlu dilakukan supaya sektor-sektor swasta menjadi lebih dinamik.
 
“Kita mesti melakukan pembaharuan terhadap perkhidmatan awam dan bersemuka dengan institusi-institusi yang mengekang peluang, meneruskan usaha membanteras rasuah.
 
“Kita juga perlu mengikuti perkembangan perubahan teknologi. Titik permulaan kita ialah dengan memberi perhatian terhadap prinsip asas – autonominya. Ini perlu diberi keutamaan.
 
“Ini bukan bermakna tingkah laku tanpa kawalan, tetapi berdikari. Kita mesti melengkapi golongan belia kita dengan kemahiran untuk berfikir secara kritikal mengenai sumber-sumber, untuk memahami bahawa walaupun maklumat adalah bebas, ia tidak bermakna adalah betul. Tetapi ruang online perlu kekal sebagai wadah di mana pertukaran pandangan secara bebas adalah digalakkan, dalam tradisi wacana terbaik,” katanya.
 
Najib berkata sebagai sebuah negara Islam, Malaysia berdepan banyak cabaran sedemikian.
“Saya percaya kita harus melihat belia kita bukan sebagai satu liability tetapi sebagai aset.
 
“Mereka merupakan sumber yang belum diterokai yang boleh menjadi landasan kepada kejayaan besar. Pembaharuan ekonomi dan politik boleh memberikan golongan muda apa yang mereka harapkan: masa depan dicorakkan oleh peluang, bukan kebergantungan.
 
“Kini tiba masanya untuk merealisasikan kekayaan tersembunyi di negara-negara Islam,” kata Najib.
 
Sumber - Umno Online
Share this article

0 Komen:

Catat Ulasan

APA Kata Anda?
Ada berita dan info menarik di tempat anda? Kongsikan di SINI....

Nuffnang 3

MENARIK

BB Followers

 
Copyright © 2014 Belia Bangkit • All Rights Reserved.
Distributed By Free Blogger Templates | Template Design by BTDesigner • Powered by Blogger
back to top