Nuffnang

Mahfuz Berang Anak Muda Pas Sertai Program Kerajaan Secara Beramai-ramai.


Nampaknya semenjak dua menjak ni "Mr Bean" acuan PAS kurang diberi publisiti. Sama ada itu sebahagian percaturan "senyap" beliau dalam menggapai impian untuk menjadi MB Kedah selepas PRU ke 13 atau disebabkan "kebangkitan" anak muda di sekitar kawasannya sendiri, parlimen Pokok Sena.

 

Terbaru, tanpa segan silu dan sembunyi, majoriti anak muda yang sebelum ini kerap dilihat memenuhi program PAS anjuran beliau telah menghadiri satu program Kerajaan BN. Pelancaran program Bantuan Lesen 1Malaysia (BL1M) peringkat Parlimen Pokok Sena hari ini mendapat sambutan di luar dugaan apabila lebih 1,000 belia hadir untuk menyertai program itu.





Mereka tiba di Dataran Bunga Sena di sini sejak awal pagi untuk mendaftar di 10 kaunter yang disediakan Pemuda UMNO Pokok Sena bagi mendapat lesen motosikal Kelas B2 pada harga rendah RM199.

Ketua Pemuda UMNO Pokok Sena Harris Che Mat berkata berdasarkan sambutan hari ini pihaknya menjangka program itu akan disertai lebih 3,000 orang dari daerah berkenaan.
“Bagi memberi peluang lebih ramai mendapat kemudahan ini, saya akan membuka kaunter pendaftaran dari 9 pagi hingga 5 petang di rumah saya di Nombor 47, Taman Bunga Sena di sini, bermula esok sehingga 14 Feb ini,” katanya.
Harris yang juga Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan Bukit Lada turut meminta pemohon membeli Wang Pos bernilai RM199 atas nama MyEasy Service Sdn Bhd bagi memudahkan pemprosesan permohonan mereka.
Katanya pemohon akan dihubungi syarikat itu dalam tempoh dua minggu bagi menduduki ujian statik dan komputer.
Perdana Menteri  Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak melancarkan BL1M pada Himpunan Orang Muda Kedah di Stadium Sultan Abdul Halim, Suka Menanti di Alor Setar pada 31 Jan lepas.
Di bawah program itu pemohon hanya perlu membayar RM199 bagi mendapatkan lesen B2, iaitu pengurangan separuh harga yang biasa dikenakan oleh pengusaha sekolah memandu.
read more...

Tuding Jari Kepada BN Politik Khalid Ibrahim Yang Semakin Terpinggir


Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim sebelum ini telah membuat pengumuman untuk membina Jambatan ketiga di Klang pada awal tahun ini. Malahan, dengan nada berpolitik, Menteri Besar menuduh projek ini akan dilaksanakan kerana ianya gagal dibuat oleh Barisan Nasional (BN) dahulu.
Koordinator BN Selangor, Datuk Seri Mohd Zin Mohamed berkata, difahamkan juga sejumlah RM 300 juta akan diperuntukkan bagi tujuan pembinaan jambatan tersebut.
“Hakikatnya, ini merupakan gula-gula politik bagi tujuan memancing undi semata-mata. Kerajaan Negeri sengaja mengaitkan Barisan Nasional dengan hal ini hanya kerana Kerajaan Barisan Nasional memulakan upacara pecah tanah. Namun setelah mereka mengambil alih pemerintahan, tanggungjawab membina jambatan memang sepatutnya di bawah Kerajaan Negeri.
“Strategi ini juga sebenarnya dilihat sebagai sengaja untuk mengalihkan isu-isu setempat yang lebih penting di Klang terutamanya Projek Tebatan Banjir yang dikatakan akan dibina. Malah difahamkan juga, peruntukan untuk projek ini sebanyak RM5 juta telahpun diluluskan oleh pihak Kerajaan Negeri,” ujarnya dalam sidang media di sini, hari ini.
Tambahnya, selain itu, Kerajaan Negeri juga pernah berjanji akan membina Pusat Kebudayaan di Klang namun sehingga kini tiada sebarang kemajuan berhubung projek tersebut.
Pada tahun 2010 pula, Kerajaan Negeri telah mengumumkan peruntukan sebanyak RM50 bilion untuk projek Pemulihan Sungai Klang. Namun sehingga hari ini masih tiada sebarang tanda-tanda projek tersebut akan dijalankan.
“Nampaknya, janji untuk membina Jambatan Ke-tiga ini juga bakal menerima nasib yang sama. Kerajaan Negeri hanya berjanji untuk mengalihkan isu-isu yang membelengu mereka yang tidak mampu ditunaikan.
“Rakyat sudah mulai sedar bahawa janji-janji yang ditaburkan oleh pemimpin Pas, DAP PKR hanyalah janji populis untuk memenangi pilihanraya. Sebagai Kerajaan yang memerintah Selangor ini, Pas, PKR dan DAP sepatutnya tidak terus mengelirukan rakyat dengan janji-janji politik mereka sebaliknya bertindak menunaikan janji tersebut lebih-lebih lagi apabila Janji Manifesto 2008 masih banyak yang belum tertunai,” tambahnya yang juga Setiausaha UMNO Negeri Selangor. -MediaUMNO
read more...

Pakej Komunikasi Belia, Tempoh Tebus Rebat RM200.00 Dilanjutkan

CYBERJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah memutuskan untuk melanjutkan tempoh untuk penebusan rebat RM200 Pakej Komunikasi Belia (PKB) dari 1 bulan kepada 3 bulan bermula Rabu.

“Mereka yang telah berjaya mendaftar dan telah menerima pengesahan yang berjaya pada awal Januari lalu tidak perlu mendaftar semula kerana tempoh sah telah dilanjutkan ke 3 bulan dari tarikh pendaftaran asal dan bukannya lagi 1 bulan.

“Kami dalam proses menghantar emel kepada semua yang telah mendaftar bagi memaklumkan mengenai perkembangan terbaharu ini,” kata Pengerusi SKMM, Datuk Mohamed Sharil Tarmizi.
Menurut beliau, syarikat-syarikat telekomunikasi dan wakil-wakil penjual yang dilantik juga telah dimaklumkan mengenai lanjutan tempoh tersebut.

Sehingga hari ini, lebih 440,000 belia yang berumur 21 hingga 30 tahun berjaya mendaftar untuk mendapatkan rebat RM200 dan daripada jumlah tersebut, hampir 60,000 telah membeli telefon pintar baharu.

Setakat ini, terdapat lebih 4,500 wakil penjual seluruh negara yang menawarkan hampir 70 model telefon pintar.

Skim Pakej Komunikasi Belia ini telah dilancarkan pada 1 Januari lalu.

-Mstar Online

read more...

Hard Rock Cafe Bakal Beroperasi di Melaka


KUALA LUMPUR - Hard Rock International telah membuka Hard Rock Cafe ketiganya di Malaysia, di Melaka, selepas Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.
Cafe baharu ini terletak di jalan masuk Jonker Walk dan di dalam Tapak Warisan Dunia UNESCO.
Kafe seluas 1,372 meter persegi itu termasuk tempat duduk untuk 200 pengunjung, ruang makan di luar yang luas, ruang persembahan langsung yang akan menampilkan bakat-bakat tempatan Melaka, dan sebuah Rock Shop.
Pengarah Francais Kanan Hard Rock, Asia Pasifik, Matthew Putna berkata dalam satu kenyataan bahawa, memorabilia unik telah dipilih untuk menghiasi dinding Hard Rock Cafe Melaka.
Dengan sejumlah 177 lokasi di 58 negara, termasuk 141 kafe, 18 hotel dan lapan kasino, Hard Rock International adalah salah satu syarikat yang dikenali di seluruh dunia. - BERNAMA
 
read more...

Jengka Bakal Miliki Stadium - FELDA


SEREMBAN – Pembinaan stadium milik Felda di Jengka, Pahang dijangka bermula awal bulan depan dan siap dalam tempoh dua tahun, kata Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad.
Beliau berkata, kontraktor untuk pembinaan stadium itu dilantik minggu lepas.
Stadium baharu ini dianggar menelan belanja sekurang-kurangnya RM80 juta dan boleh menampung 30,000 penonton, katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Menurut Mohd Isa, pembinaan stadium itu adalah fasa pertama dalam pembinaan kompleks sukan bersepadu yang meliputi pembinaan beberapa kemudahan sukan lain.
"Bagaimanapun ini bergantung kepada pemaju kita yang juga mempunyai tanah.
“Ini mengikut perbincangan kita untuk fasa kedua. Fasa pertama dikhususkan untuk pembinaan stadium baharu ini,” katanya. – BERNA
read more...

Ku Nan : Saringan SPRM Membuktikan UMNO dan BN Telus

Langkah Umno menghantar senarai nama calon kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bukan kerana tekanan persepsi yang dihadapi oleh parti tersebut, kata Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor (gambar) sebaliknya menegaskan ia adalah demi memastikan parti tersebut telus. 

Menurut Tengku Adnan lagi, langkah yang diambil oleh Umno itu bukan sesuatu yang baru malahan menegaskan setiap pilihan raya umum saringan akan dilakukan keatas semua senarai calon  dikemukakan setiap negeri.




“Saringan ini bukan kerana desakan atau tekanan persepsi keatas Umno. Ia tiada kaitan langsung.

“Umno sudah lakukan saringan ini sejak dahulu lagi, setiap pilihan raya kami akan buat saringan ke atas semua calon,” kata pemimpin Umno veteran tersebut.

Apabila ditanya sama ada langkah tersebut bertujuan untuk menangkis skandal-skandal yang dihadapi Umno sehinggakan menjejaskan imej parti utama dalam komponen Barisan Nasional tersebut, Tengku Adnan menjawab: “Mana ada skandal, tiada langsung kena mengena dengan skandal-skandal yang dihadapi oleh calon Umno.”

Walaubagaimanapun, Tengku Adnan mengecam pembangkang yang lantang mengkritik Umno tetapi tidak mengikuti langkah yang diambil dengan menghantar senarai calon ke SPRM.

“Pembangkang yang tidak hantar untuk saringan kepada SPRM, mengapa mereka tidak buat?” tambah beliau lagi.

Pada November tahun lalu, Tengku Adnan mendedahkan persepsi merupakan cabaran utama dalam mengukuhkan imej parti itu di persada politik tanah air.

Beliau berkata selepas pilihan raya 2004, Umno bukan sahaja berhadapan dengan tohmahan pembangkang yang melabelkannya sebagai parti kronisme, elitis dan korup.

Malah Umno terpaksa berhadapan dengan bekas anggota parti yang kecewa apabila gagal meraih kedudukan politik semasa bersama Umno hingga menjadi manusia  “angkuh hati” dan sanggup menyebarkan persepsi buruk mengenai parti.

Sebelum ini, Pengerusi Badan Perhubungan Umno dan Barisan Nasional (BN) Terengganu Datuk Seri Ahmad Said juga bertindak membidas pembangkang dan menyifatkan mereka sebagai takut dengan bayang-bayang  sendiri apabila tidak bersedia menyerahkan senarai nama calon kepada SPRM untuk saringan.

Menjelang PRU yang akan diadakan tahun ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak merayu agar pengundi memberikan mandat baru kepadanya untuk meneruskan dasar transformasi yang boleh merangsang Malaysia ke hadapan dan lebih baik.

Najib berkata mandat besar diperlukannya jika Malaysia mahu meningkat dalam ekonomi global untuk menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi.

Hampir 13 juta pengundi layak untuk membuang undi mereka jika pilihan raya umum dipanggil melibatkan semua 222 kerusi persekutuan dan 505 kerusi di 12 negeri.
read more...

SPR - Senarai Daftar Pemilh Bersih, PRU Terbaik!


KOTA KINABALU, 6 Feb (Bernama) -- Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof memberi jaminan senarai daftar pemilih adalah bersih dan proses pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) akan menjadi yang terbaik.

Beliau berkata SPR membersihkan senarai daftar pemilih dengan bantuan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) kerana JPN mempunyai bidang kuasa untuk menentukan sama ada seseorang itu adalah warganegara atau bukan warganegara.

"Daftar pemilih yang kita ada sekarang iaitu sekitar 13.3 juta pengundi (termasuk di Sabah) sehingga Disember tahun lepas, adalah bersih. Pilihan raya umum ke-13 mungkin panas, mungkin mencabar tetapi tidak terkotor," katanya.

Beliau berkata meskipun timbul pelbagai persepsi ekoran pendedahan baru-baru ini dalam siasatan Suruhanjaya Diraja (RCI) mengenai pendatang tanpa izin di Sabah, namun SPR yakin proses PRU-13, terutama di Sabah akan menjadi yang terbaik.

Persepsi itu tidak seharusnya wujuh hanya semata-mata berdasarkan kenyataan satu atau dua orang saksi kerana terdapat lebih 100 orang yang akan memberikan keterangan kepada RCI, katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan surat pelantikan kepada tiga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sebagai pemerhati tempatan pilihan raya umum ke-13 bagi negeri Sabah dan Labuan di sini Rabu.

Tiga NGO itu ialah Persatuan Sejarah Malaysia cawangan Sabah, Majlis Belia Sabah dan Gabungan Persatuan Cina Sabah.

Abdul Aziz berkata empat pegawai SPR akan dipanggil menjadi saksi dalam sesi pendengaran RCI itu termasuk daripada bahagian komputer, pengurusan, pendaftaran dan pengarah SPR Sabah.

Sehubungan itu, Abdul Aziz meminta semua pihak supaya mengelak daripada membuat sebarang kesimpulan tentang perkara yang disebut dalam prosiding RCI itu.

Katanya SPR telah memperkenalkan pembaharuan dalam usaha mengemaskini serta memperbaiki proses pilihan raya, termasuk penggunaan dakwat kekal, undi awal, wujudnya akses media bagi parti-parti politik, pemerhati antarabangsa dan pemerhati tempatan.

Katanya SPR akan membelanjakan kira-kira RM52 juta bagi mengurus pilihan raya umum di Sabah yang mempunyai pengundi berdaftar seramai 969,497, dan menurutnya RM400 juta diperuntukkan bagi mengurus pilihan raya umum di seluruh negara.

Terdahulu, dalam ucapannya, beliau berharap NGO yang dilantik sebagai pemerhati pilihan raya dapat menjalankan tugas dengan jujur dan profesional, sekali gus menjadikan pilihan raya tersebut terbaik daripada segi sistem, proses dan pembaharuan pilihan raya.

Katanya sebanyak 16 NGO dilantik sebagai pemerhati pilihan raya di seluruh negara iaitu lima di Semenanjung, lapan di Sarawak dan tiga di Sabah.

- BERNAMA
read more...

Nuffnang 3

MENARIK

BB Followers

 
Copyright © 2014 Belia Bangkit • All Rights Reserved.
Distributed By Free Blogger Templates | Template Design by BTDesigner • Powered by Blogger
back to top