Kerana pulut santan binasa..... Jurugambar profesional, Saiful Nang membuat permohonan maaf berhubung kritikannya terhadap laungan azan semasa tragedi kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah yang mengorbankan 23 nyawa.
Saiful berkata, pertikaian itu mungkin disebabkan dirinya terbawa-bawa dengan perasaan kesal dan sedih dengan kematian begitu ramai pelajar tahfiz.
“Saya dengan rendah hati ingin memohon maaf atas kenyataan saya yang mempertikaikan laungan azan yang mendayu dilaungkan semasa tragedi kebakaran di pondok tahfiz di Keramat baru-baru ini.
“Kenyataan itu menyebabkan ramai netizen yang tersinggung dan mengecam saya. Saya terima kritikan itu kerana itu memang pandangan peribadi saya sendiri.
“Mungkin saya terlalu terbawa-bawa dengan perasaan kesal dan sedih dengan kematian begitu ramai anak-anak tahfiz yang saya rasa sama seperti anak-anak yang sedang saya jaga,” katanya dalam satu kenyataan di halaman Facebooknya.
Sabtu lalu, Saiful berkongsi pandangan di grup di Facebook mengenai dia mempertikaikan laungan azan semasa kejadian berlaku di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Jalan Keramat Hujung, Kuala Lumpur.
Kenyataan tersebut mendapat kecaman netizen yang menyifatkan Saiful tidak sensitif terhadap tragedi itu selain dianggap mempersendakan azan.
Antara kenyataan Saiful yang dikecam netizen: “Juga terkilan dengan keadaan genting begitu semasa mangsa boleh meminta tolong, speaker (pembesar suara) masjid tidak digunakan untuk membuat gerakan kecemasan dan sempat lagi azan mendayu semasa mereka meminta bantuan sedangkan boleh sahaja tenaga yang ada termasuk yang azan itu lakukan sesuatu yang lebih mampu menyelamat.”
Bagaimanapun kenyataan berhubung pertikaian laungan azan tersebut telah dipadamkan dan diedit semula.
Dalam pada itu, Saiful meminta supaya tidak mengaitkan kritikan tersebut sebagai pandangan seluruh kumpulan di Facebook itu termasuk institut kebajikan anak yatim dan sebuah rumah kebajikan untuk golongan asnaf.
Malah katanya, kumpulan tersebut turut mengkritik pandangan peribadinya.
“InsyaAllah, saya akan lebih berhati-hati pada kemudian hari untuk tidak mengeluarkan kenyataan yang menyinggung para netizen.
“Terima kasih kepada semua yang telah menegur. Allah sahaja membalas niat baik kalian,” ujar Saiful sambil memuat naik kenyataan asalnya yang mempertikaikan laungan azan dan kritikan seorang individu mengenai kenyataannya itu.
Seramai 21 pelajar dan dua guru yang bertugas sebagai warden pusat tahfiz itu terkorban apabila asrama yang terletak di tingkat paling atas bangunan tiga tingkat terbakar pada pukul 5.15 pagi, Khamis lalu.
Susulan itu kejadian itu, polis menahan tujuh remaja berusia antara 11 tahun hingga 18 tahun.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh pada sidang media Sabtu lalu berkata, motif tindakan berpunca daripada ejek-mengejek antara tujuh suspek yang ditahan dan sekumpulan pelajar pusat tahfiz itu. (SUMBER)
0 Komen:
Catat Ulasan
APA Kata Anda?
Ada berita dan info menarik di tempat anda? Kongsikan di SINI....