Nuffnang

Dalam Tempoh Kurang 20 Hari Sebanyak 40 Juta Minyak Masak Bersubsidi Telah Dikeluarkan



KUALA LUMPUR: Selepas lebih dua minggu penstrukturan semula Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (COSS) dilaksanakan bermula 1 November lalu, Kementerian Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) telah membuktikan bahawa pihaknya begitu konsisten membela hak golongan sasar untuk memastikan mereka terus menikmati subsidi kerajaan.

Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainudin sebelum ini memberi tempoh seminggu untuk kementeriannya secara beransur-ansur memulihkan bekalan minyak masak terutamanya bagi paket 1 kilogram (kg) berikutan kekurangan bahan asas tersebut dalam pasaran yang berpunca daripada pembelian panik dan kegiatan menyorok minyak masak.

Usaha tersebut nyata membuahkan hasil apabila kemelut isu minyak masak dilihat semakin pulih di mana dalam tempoh kurang 20 hari sebanyak 40 juta minyak masak bersubsidi telah dikeluarkan pada November.

Memetik kenyataan Hamzah seperti dilapor Bernama semalam, kementeriannya memberi jaminan sebanyak 60 juta paket minyak masak satu kilogram dikeluarkan sepanjang bulan ini, yang mana baki 20 juta paket minyak masak lagi adalah pada 10 hari terakhir November.

“Isu kekurangan minyak masak di pasaran sudah mulai reda berbanding minggu pertama November. Aduan yang diterima KPDNKK (mengenai isu minyak masak) juga sudah berkurangan iaitu 400 aduan sekarang berbanding hampir 1,000 aduan pada minggu pertama,” katanya kepada pemberita selepas majlis perhimpunan bulanan KPDNKK, pada Rabu.

Selain bekalan minyak masak, apa lagi yang pengguna perlu tahu sepanjang dua minggu pelaksanaan rasionalisasi?

Mengikut laporan media, sejak 21 Oktober sehingga 14 November lalu, KPDNKK telah merampas 81,000kg minyak masak bernilai RM550,000 melibatkan 38 premis di seluruh negara.

Ini bermaksud, angka rampasan itu sendiri telah melebihi permintaan untuk menampung keperluan pengguna yang mana berdasarkan kajian KPDNKK dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), rakyat negara ini hanya menggunakan 45,000 tan metrik minyak masak sahaja sebulan.

Malah, dalam usaha untuk memastikan bekalan minyak masak mencukupi dan kegiatan penyelewengan bahan asas itu diatasi, KPDNKK telah menjalankan pemeriksaan terhadap 39,544 premis di seluruh negara sejak 21 Oktober, kata Timbalan Pengarah Penguatkuasa Datuk Iskandar Halim Sulaiman dipetik Bernama.

Sementara Ketua Setiausaha KPDNKK Datuk Seri Jamil Salleh pula memaklumkan, sehingga kini 44 kes melibatkan minyak masak disiasat sejak operasi COSS dilancarkan.

Bahkan, kesungguhan KPDNKK dalam mengekang kegiatan penyeludupan minyak masak nyata tidak boleh dipertikaikan apabila kementerian berkenaan bakal melaksanakan kerjasama Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) dengan semua agensi penguat kuasa termasuk Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM).

Amaran kepada syarikat pembungkus yang ingkar terhadap arahan KPDNKK untuk memastikan bekalan minyak masak berada di pasaran juga telah dikeluarkan.

Menurut Jamil, pembungkus minyak masak berdepan tindakan ditarik lesen sekiranya mereka gagal membekalkan minyak masak bersubsidi.

Terdahulu, Hamzah menegaskan tindakan menyorok minyak masak yang merupakan barang kawalan boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 15 Akta Kawalan Bekalan 1961 yang jika sabit kesalahan berdepan denda RM1 juta, penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya.

Tidak cukup dengan itu, KPDNKK juga telah menjelaskan kekeliruan orang ramai melibat isu minyak masak kitar semula dan dakwaan bahawa minyak masak paket bersubsidi adalah berkualiti rendah.

Antara langkah tersebut Hamzah menjelaskan bahawa kementeriannya akan mengkaji kaedah pelabelan minyak masak kitar semula.

Malah Hamzah turut memberi jaminan bahawa kualiti minyak masak paket 1kg adalah sama dengan minyak masak tidak bersubsidi.

Bagi memberi pilihan kepada pengguna, Hamzah memaklumkan pihaknya akan memperkenalkan minyak masak bersubsidi di dalam botol berisi padu satu liter dalam tempoh terdekat. Namun katanya, harga bagi minyak masak dalam botol ini sedikit berbeza dengan paket 1kg.

Isu kenaikan harga minyak masak dalam botol antara yang paling mendapat perhatian sepanjang pelaksanaan COSS. Ramai yang mempertikaikan kenaikan harga minyak masak botol yang didakwa terlalu tinggi.

Berkuat kuasa 1 Nov, harga minyak masak paket 1kg kekal RM2.50 manakala harga minyak masak di dalam botol akan dijual mengikut harga pasaran.

Menjelaskan perkara itu, Hamzah memaklumkan kenaikan harga minyak masak dalam botol masih lagi berada pada tahap yang ditetapkan iaitu antara RM3.80 hingga RM4.00 sekilogram.

Dalam pada itu, KPDNKK turut menawarkan ganjaran kepada pemberi maklumat yang dapat membuktikan bahawa wujud ketirisan minyak masak dalam negara.

Justeru, dengan pelbagai usaha yang dilakukan oleh KPDNKK dalam tempoh kurang sebulan pelaksanaan COSS, ia sudah cukup menunjukkan kementerian itu bersungguh-sungguh untuk menyelesaikan isu ketirisan minyak masak yang telah mengakibatkan kerajaan kerugian lebih RM540 juta.

Sehubungan itu, orang ramai disaran supaya terus membantu KPDNKK dengan menyalurkan maklumat jika mendapati wujud kegiatan tidak beretika membabitkan minyak masak
Share this article

4 Komen:

  1. Rampas 80,000kg. Keperluan sebulan 45,000MT. Kenyataan hasil rampasan melebihi permintaan pengguna sebulan? 80,000kg hanya bersamaan 80MT. Sifir apa yang diguna nie. Kg dengan MT tidak boleh bezakan.

    BalasPadam
  2. Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.

    BalasPadam
  3. Apa yang tidak dimahukan ialah lebih banyak bekalan (yang ditolak ke pasaran) maka akan ujud lebih peluang untuk sorokan dan pihak tertentu dapat lebih banyak duit terpijak!

    BalasPadam

APA Kata Anda?
Ada berita dan info menarik di tempat anda? Kongsikan di SINI....

Nuffnang 3

MENARIK

BB Followers

 
Copyright © 2014 Belia Bangkit • All Rights Reserved.
Distributed By Free Blogger Templates | Template Design by BTDesigner • Powered by Blogger
back to top