Langkah Umno menghantar senarai nama calon kepada
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bukan kerana tekanan
persepsi yang dihadapi oleh parti tersebut, kata Setiausaha Agung Umno
Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor (gambar) sebaliknya menegaskan ia adalah demi memastikan parti tersebut telus.
Menurut
Tengku Adnan lagi, langkah yang diambil oleh Umno itu bukan sesuatu
yang baru malahan menegaskan setiap pilihan raya umum saringan akan
dilakukan keatas semua senarai calon dikemukakan setiap negeri.
“Saringan ini bukan kerana desakan atau tekanan persepsi keatas Umno. Ia tiada kaitan langsung.
“Umno sudah lakukan saringan ini sejak dahulu lagi, setiap pilihan
raya kami akan buat saringan ke atas semua calon,” kata pemimpin Umno
veteran tersebut.
Apabila ditanya sama ada langkah tersebut bertujuan untuk menangkis
skandal-skandal yang dihadapi Umno sehinggakan menjejaskan imej parti
utama dalam komponen Barisan Nasional tersebut, Tengku Adnan menjawab:
“Mana ada skandal, tiada langsung kena mengena dengan skandal-skandal
yang dihadapi oleh calon Umno.”
Walaubagaimanapun, Tengku Adnan mengecam pembangkang yang lantang
mengkritik Umno tetapi tidak mengikuti langkah yang diambil dengan
menghantar senarai calon ke SPRM.
“Pembangkang yang tidak hantar untuk saringan kepada SPRM, mengapa mereka tidak buat?” tambah beliau lagi.
Pada November tahun lalu, Tengku Adnan mendedahkan persepsi merupakan
cabaran utama dalam mengukuhkan imej parti itu di persada politik tanah
air.
Beliau berkata selepas pilihan raya 2004, Umno bukan sahaja
berhadapan dengan tohmahan pembangkang yang melabelkannya sebagai parti
kronisme, elitis dan korup.
Malah Umno terpaksa berhadapan dengan bekas anggota parti yang kecewa
apabila gagal meraih kedudukan politik semasa bersama Umno hingga
menjadi manusia “angkuh hati” dan sanggup menyebarkan persepsi buruk
mengenai parti.
Sebelum ini, Pengerusi Badan Perhubungan Umno dan Barisan Nasional
(BN) Terengganu Datuk Seri Ahmad Said juga bertindak membidas
pembangkang dan menyifatkan mereka sebagai takut dengan bayang-bayang
sendiri apabila tidak bersedia menyerahkan senarai nama calon kepada
SPRM untuk saringan.
Menjelang PRU yang akan diadakan tahun ini, Perdana Menteri Datuk
Seri Najib Razak merayu agar pengundi memberikan mandat baru kepadanya
untuk meneruskan dasar transformasi yang boleh merangsang Malaysia ke
hadapan dan lebih baik.
Najib berkata mandat besar diperlukannya jika Malaysia mahu meningkat
dalam ekonomi global untuk menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi.
Hampir 13 juta pengundi layak untuk membuang undi mereka jika pilihan
raya umum dipanggil melibatkan semua 222 kerusi persekutuan dan 505
kerusi di 12 negeri.
0 Komen:
Catat Ulasan
APA Kata Anda?
Ada berita dan info menarik di tempat anda? Kongsikan di SINI....