Nuffnang

TU DIA!!! TIADA LAGI LELAKI LEMBUT, PONDAN ATAU DARAI DI KACA TV

Abu Nu’aim dalam “Al Hilyah” meriwayatkan daripada Huzaifah bahawa nabi saw bersabda:

“Antara tanda-tanda kiamat ialah golongan lelaki menyerupai wanita dan golongan wanita menyerupai lelaki.”






Berkuatkuasa serta merta, stesen radio dan televisyen diminta menghentikan rancangan yang menyiarkan watak pondan, lelaki lembut yang bercanggah dengan norma masyarakat beragama.


Arahan tersebut dikeluarkan oleh Jabatan Penerangan yang disiarkan di halaman Facebooknya.

Arahan itu berbunyi: "Berkuatkuasa serta merta, stesen radio dan televisyen diminta menghentikan rancangan yang menyiarkan watak pondan, lelaki lembut yang bercanggah dengan norma masyarakat beragama kerana dikatakan menyokong dan meningkatkan gejala Lesbian, Gay, Biseksual dan Transeksual (LGBT) ketika ini."

Pada 3 November, pihak berkuasa mengharamkan program Seksualiti Merdeka walaupun ia telah diadakan sejak beberapa tahun sebelumnya tanpa sebarang masalah.

Seksualiti Merdeka adalah festival tahunan yang meraikan hak asasi manusia rakyat pelbagai orientasi seksual dan identiti jantina, yang dianjurkan oleh gabungan NGO, artis, aktivis dan individu sejak 2008.

Bagaimana pula dengan watak yang sengaja dibuat-buat @ dilakonkan? Begitu juga penonjolan ciri-ciri lelaki yang keterlaluan pada seorang wanita seperti tomboi @ pengkid?

Apa pun keputusan atau pelaksanaan yang diambil, yang pasti perkara paling penting adalah pelaksanaan dan penguatkuasaan. Adakah ia merupakan arahan menyeluruh melibatkan semua ageni penyiaran (berbayar dan percuma)?.


BB : Sedang memikirkan rasional kepada arahan ini....
read more...

3 SKIM JANA PENDAPATAN ANAK MUDA DI PERAK

Kerajaan Perak memperkenalkan tiga program baru bagi menjana ekonomi golongan belia di negeri berkenaan, tahun ini.






Pengerusi Jawatankuasa Kesenian, kebudayaan, Belia dan Sukan negeri, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin, berkata program pertama yang diwujudkan ialah skim pinjaman mikro-kredit Aman Jaya yang membabitkan peruntukan RM1 juta.

Selain itu, program kluster ekonomi keluarga turut diperkenalkan bagi membolehkan anak meneruskan perniagaan keluarga.

“Program ketiga yang diperkenalkan untuk menjana ekonomi belia tahun ialah usahawan tani di bawah seliaan Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri (SADC) yang membabitkan tempoh latihan selama 12 bulan,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Datuk Dr Wan Norashikin Wan Nordin berkaitan usaha dilaksanakan kerajaan bagi membantu golongan belia menjana pendapatan.

Sumber : Perak Today
read more...

TU DIA!!! BANGI BANDAR "UBAT KUAT"

KAJANG: Iklan haram menjual alat seks dan ubat ‘kuat’ lelaki yang digantung pada lampu isyarat di sekitar Bandar Baru Bangi, di sini, bukan saja menyakitkan mata, tetapi turut menimbulkan rasa kurang selesa orang ramai.






Bagi menarik perhatian orang ramai membeli produk mereka, pengiklan berkenaan menggantung iklan tidak senonoh itu yang dicetak menggunakan bunting kecil pada lampu isyarat.


Taktik itu digunakan pihak terbabit supaya iklan mereka jelas dilihat pengguna jalan raya ketika berhenti di lampu isyarat dan orang yang berminat boleh segera menghubungi nombor dipaparkan.

Tinjauan Metroplus di Bandar Baru Bangi mendapati iklan itu digantung di hampir semua lampu isyarat dan menggunakan nombor telefon bimbit berlainan pada setiap bunting.


Iklan terbabit memaparkan ayat ‘adult toy’ dan ‘ubat kuat lelaki’ turut diterjemahkan dalam bahasa Cina menyebabkan orang ramai terutama wanita berasa jijik membacanya.


Penduduk, Siti Hasmah Othman, 30, berkata dia bimbang remaja dan kanak-kanak cuba membeli peralatan seks dan ubat kuat selepas melihat iklan itu.

“Iklan seperti ini tidak sepatutnya disiarkan lebih-lebih lagi di tempat awam kerana boleh dilihat semua orang termasuk kanak-kanak. Saya dan penduduk lain rimas dan geli setiap kali terbaca ayat pada iklan itu ketika berhenti di lampu isyarat,” katanya.


Katanya, dia berharap pihak berkuasa mencari langkah untuk menyelesaikan masalah iklan haram kerana ia bukan saja merosakkan pandangan, tetapi mengotorkan kawasan.

Sementara itu, Ketua Unit Perancangan Korporat dan Perhubungan Awam, Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), Shariman Mohd Nor berkata, menggantung iklan di lampu isyarat taktik terbaru pengiklan haram untuk mendapatkan pelanggan.


“Apa MPKj buat sekarang adalah menyerahkan nombor telefon iklan haram ini kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk menamatkan perkhidmatan.


“Tindakan ini menghalang perbuatan itu berulang dan pada masa sama, majlis menurunkan semua iklan terbabit bagi mengekalkan kebersihan persekitaran,” katanya.


Beliau berkata, sebaik mengetahui pihak majlis mengambil tindakan, pengiklan haram mencetak iklan baru dengan menggunakan nombor berlainan - Harian Metro
read more...

ASEAN : PM GESA MBM MAIN PERANAN DALAM PEMBANGUNAN BELIA

KUALA LUMPUR  — Majlis Belia Malaysia (MBM) menyokong penuh saranan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung fungsi dan pergerakan ASEAN yang seharusnya perlu lebih dekat serta mampu mengupayakan peranan dan pembangunan belia di rantau ini.




Presiden MBM Mohamed Maliki Mohamed Rapiee berkata saranan itu perlu menjadi landasan kepada setiap sektor dalam masyarakat terutama agensi kerajaan dalam merealisasikannya. Beliau berkata pernyataan itu lahir daripada pengamatan Perdana Menteri terhadap peningkatan penglibatan belia di seluruh dunia dalam menentukan masa depan sesebuah negara serantau dan dunia.

“Pengalaman belia dalam program pembangunan serta penglibatan mereka dalam menentukan dasar dan hala tuju negara merupakan pengalaman berguna yang perlu ditingkatkan.

“Golongan belia hari ini mahukan suara, pandangan dan aspirasi mereka diambil kira di dalam pembentukan dasar sesebuah negara, program pembangunan, penyertaan di peringkat antarabangsa dan kepercayaan terhadap tanggungjawab yang diberikan, selain ia juga merupakan satu praktis masyarakat untuk mendekati golongan itu,” katanya.

Sumber : Suara Generasi Baru
read more...

RAYUAN IBU NUR FARRAHIN KEPADA FACEBOOKER





Allahyarhamah baru sahaja meninggal dunia baru-baru ini. Tidak lama selepas itu, ibunya bermimpi allahyarhamah merayu-rayu supaya agar tutup account facebooknya kerana auratnya terdedah kepada umum. Rohnya tidak tenteram kerana kebanyakan gambarnya seksi dan tidak menutup aurat. 


Kepada mereka yang pandai hack(hacker) facebook, TOLONG HACK FACEBOOK ARWAH NUR FARRAHIN. Arwah sedang terseksa dalam alam sana. Kepada hacker yang bijak pandai, tolong ! tolong ! tolong ! Hack facebook arwah, padamkan semua gambar-gambar arwah dan tutup account facebooknya. 

Kepada semua, elakkan melihat album-album gambar arwah. 

Bersama-samalah kita mendoakan arwah. Semoga ALLAH mengampuni segala dosa-dosanya. Al-Fatihah. 

Sumber : Nadiku Blogspot


BB : Sambil membantu, dapat menjadi ikhtibar dan pengajaran kepada kita yang masih hidup ini.
read more...

KOLEKSI GAMBAR MODEL TERBARU PROTON "PREVE"



PUTRAJAYA 4 April – Model baru kereta nasional, Proton Preve berenjin 1.6 liter akan ditawarkan dalam tiga varian berharga antara RM62,000 dan RM75,000 mulai 16 April ini. Pengarah Urusan Proton, Datuk Seri Syed Zainal Syed Mohd. Tahir berkata, nama Proton Preve dipilih adalah dari perkataan Inggeris “proof” (bukti) dan “to prove” (untuk membuktikan).

Katanya, Preve yang disebut “prey-vey” adalah seiring dengan hasrat Proton untuk mencapai pasaran global dengan nama antarabangsa tersebut. Menurutnya, tiga varian itu terdiri daripada model menggunakan transmisi manual lima kelajuan dan automatik tujuh kelajuan.



 
“Proton Preve akan dilancarkan pada 16 April ini oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak,” katanya kepada pemberita pada acara pandu-uji kereta tersebut, di sini hari ini. - UTUSAN
 








read more...

ANAK SAPA LA NI.....SENIOR BELASAH JUNIOR GARA-GARA TEMAN LELAKI

CHANGLUN: Gara-gara cemburukan seorang junior lebih rapat dengan seorang pelajar lelaki tingkatan empat, pelajar perempuan tingkatan lima di sebuah sekolah di sini membelasah pelajar perempuan tingkatan dua dalam tandas sekolah hingga pengsan.
 


Gambar Hiasan

Kejadian berlaku jam 1.45 tengah hari, kelmarin apabila Noor Azwa Sabri, 14, dipanggil pelajar itu yang dipercayai mengesyakinya mempunyai hubungan dengan pelajar lelaki itu.

Menurut Noor Azwa, dia serta rakannya menunggu dijemput ahli keluarga selepas tamat sesi persekolagan untuk pulang ke rumah di Kampung Batu 13, Jalan Sintok, tiba-tiba didatangi beberapa pelajar perempuan, termasuk pelajar senior itu.

“Saya dipanggil masuk ke dalam tandas, dia terus melepaskan geram dengan memukul badan dengan fail berkali-kali dan mengetuk kepala dengan tangan hingga pandangan kelam dan kabur.

“Saya tidak melawan kerana bimbang dia akan memukul lebih teruk kerana dia banyak pengaruh di sekolah, selepas itu saya tidak ingat kerana pengsan dan apabila tersedar sudah berada di bilik guru,” katanya.
Menurutnya, dia tiada hubungan dengan pelajar lelaki berkenaan yang hanya dianggap kawan biasa serta hanya bertegur sapa di sekolah. Beliau berkata, dia tidak tahu niat sebenar pelajar senior itu yang bakal duduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini kerana tidak pernah buat salah atau menyakiti hatinya.

“Sejak saya di tingkatan satu, dia ada memberi amaran supaya tidak mendekati pelajar lelaki itu, tetapi saya hanya mendiamkan diri tidak memberitahu sesiapa termasuk keluarga.
 
“Kali ini, saya terpaksa membuat laporan kerana bimbang kejadian lebih buruk lagi,” katanya.

Menurutnya, itu bukan kali pertama dia dikasari pelajar terbabit sehingga takut untuk ke sekolah.

Dia mendakwa pelajar senior itu pernah menyerang beberapa lagi pelajar perempuan lain tetapi mereka mendiamkan diri kerana bimbang diketahui pihak sekolah atau keluarga.

Difahamkan, pergaduhan itu hanya berlaku antara dua pelajar terbabit kerana pelajar senior itu tidak mahu rakan mangsa dan rakannya sendiri mencampuri urusannya dengan meminta mereka menunggu di luar tandas.

Selepas pelajar itu beredar, rakan mangsa, Norashikin Amran, 14, masuk untuk melihat apa yang berlaku dan terkejut mendapati mangsa pengsan lalu berlari ke bilik guru untuk memaklumkan kejadian.

Norashikin berkata, dia cuba masuk ke dalam tandas tetapi pelajar senior berkenaan menghalangnya berbuat demikian.

“Saya takut ke sekolah kerana bimbang dia (pelajar senior) tidak berpuas hati dan akan mengganggu kami,” katanya.

Sementara itu, ibu mangsa, Noor Shahida Abu Bakar, 40, berkata, dia hanya menyedari kejadian itu pagi semalam, selepas anak keempat daripada tujuh beradik enggan ke sekolah walaupun abang sulungnya yang berusia 18 tahun, menyuruhnya bersiap. Sejak bersekolah di situ, katanya, Noor Azwa seperti takut hendak ke sekolah dan sebelum ini pernah mengadu dibuli pelajar senior tetapi tidak ambil kisah kerana menganggap mungkin hanya salah faham.

“Tapi apabila pelajar senior itu mengasari Noor Azwa, saya tak boleh berdiam diri lalu membuat laporan polis. Saya harap pihak berkuasa, termasuk pengurusan sekolah mengambil tindakan terhadap pelajar berkenaan.

“Saya juga bercadang mengambil tindakan undang-undang kerana anak saya kini tertekan dan trauma,” katanya yang turut menerima kunjungan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Kayu Hitam, Datuk Zaini Japar, semalam.

Pengarah Jabatan Pelajaran Kedah, Mansor Lat ketika dihubungi enggan mengulas sehingga laporan diterimanya.
Manakala jurucakap polis mengesahkan sudah menerima laporan berhubung kejadian terbabit. - Harian Metro
 
 
BB : Bangkit tak bertempat beb...
read more...

TU DIA!!! VIDEO SEBAB ANAK MUDA MALAYSIA LARI KE LUAR NEGARA


Ikhsan dari hmmetro.my


Dengar dan hayatilah....... kita perlukan 'energi' dan 'energi' ini datang dari anak muda. Bukan menidakkan orang 'senior' tetapi telah sampai masanya orang muda diberi ruang dan peluang untuk bersama-sama kerajaan menggerakkan pembangunan negara.

Jangan sekadar digunakan dengan himpunan, konsert, demonstrasi dan sebagainya. Pendek kata, bukan sekadar 'meramaikan' program atau program yang tiada kesinambungannya. Berilah kami peluang walau di mana jua, dalam pentadbiran, pengurusan, ekonomi dan sebagainya baik di sektor kerajaan, korporat mahupun swasta.
read more...

ANAK MUDA VS MAT REMPIT

Istilah Mat Rempit atau Samseng Jalanan sememangnya sudah diketahui ramai. Mereka yang terlibat dalam gejala tidak sihat ini biasanya dalam lingkungan umur 13 tahun ke atas. Sedari kecil mereka tidak sepatutnya mudah terpengaruh dengan anasir-anasir negatif yang menjurus ke arah keruntuhan moral, kerana mereka ibarat rebung yang masih lembut.





Dari kecil lagi harus, dilenturkan. Tiada gunanya apabila sudah bertukar menjadi buluh, kerana pasti akan patah jika berkeras untuk dilenturkan. Jadi Di Mana Silapnya ? Ibu atau bapakah ? Guru-gurukah ? atau Rakan-rakankah ?

Tidak dinafikan pengaruh rakan-rakan adalah yang paling besar. Jiwa remaja yang amat rapuh dan ingin memuaskan keseronokan diri sendiri sudah pasti amat mudah untuk dipengaruhi dengan ajakan rakan yang belum tentu baiknya. Mereka ini seolah-olah kebal untuk berhadapan dengan maut. Mat Rempit sangat terkenal kerana mereka adalah raja jalanan. Merekalah yang menguasai jalan.
Jerit pekik sumpah seranah dari orang ramai langsung tidak diendahkan, ibarat mencurah air ke daun keladi. Di Terengganu, lebih dari 300 buah motosikal berkonvoi tanpa arah tujuan. Lebih hebat lagi, di tangan masing-masing, tergenggam kemas telefon bimbit. Agaknya mereka saling memberikan info tentang keberadaan polis kerana mereka sering terlepas dari polis. Persoalannya, mengapa mereka mencari publisiti murahan sebegini ? Apakah kerana mereka malas untuk bekerja atau sekadar melempiaskan nafsu untuk berlumba. Tidakkah mereka berasa takut dan gerun melihat dan mendengar pengalaman mereka yang sudah insaf. Mereka yang hilang anggota badan, atau mereka yang mati semasa berlumba. Mati Katak !

Baca lagi di Suara Generasi Baru



Awas!!! Aksi oleh Profesional, Jangan tiru aksi ini. MERBAHAYA Beb


Berikut pula adalah paparan kisah benar...........

Sebagai MAT REMPIT berjaya. Aktiviti malam aku sering dipenuhi dengan aktiviti berlumba motor dan menghuru harakan bandar kuala terengganu sambil bawak awek (minah rempit). Bagi aku itu adalah satu bentuk hiburan yang amat menyeronokkan dan kene dengan jiwa remaja. Siang malam. HIDUPKU hanyalah pada motor 125Z merah, no plat BGH 12**. Awek ku DENGAN free hair dan pakaian DOP cukup kain akan selalu menjadi pembonceng tetap aku setiap malam.

Namun aku bersyukur kerana tidak terjebak dengan DOSA ZINA (hampir TERJEBAK) di mana terlalu ramai saeng2 seangkatan ku tewas dengan NAFSU serakah. Mungkin Allah S.W.T masih sayangkan aku.
SERIUS aku mengaku 24 tahun hidup, aku memang dop kenal tikor sembahyang. Apatah lagi nok gi surau bala atau majlis ilmu. JAUH. Ayoh ngan MOK aku dop tahu nok buat mende (buntu). Bebelan MOK dan penampor singgang AYOH jadi rutin harian aku. BUKAN niat aku untuk membuka AIB aku ATAU sesiapa, tapi hanya sekadar BERKONGSI dengan saeng2.

Aku mula KENAL dengan Ustaz Azhar pada awal 2008. CERITANYE.. Aku secara DOP SENGAJA terdengar kuliah Ustaz yang dipasang di VCD Player oleh AYOH. Mase tu aku dup dalam bilik. Ayoh aku sengeleng (sengaja) pasang kuat. Nok psyco aku. NOK SUH AKU DENGOR. Aku masih ingat lagi AYAT Ustaz Azhar yang MENARIK perhatian aku untuk terus mendengar kuliah beliau (padahal selama ni, dop pernah seumur hidup aku minat kuliah agama yang mengantuk dan bosan. Jiwa rempit la SANGAT)

KATA USTAZ AZHAR.
'' Mung nok jadi mat rempit, jadi artis ker, jadi mende2 pown dop SALOH.. Tapi dengan syarat kene ikut syariat Islam..Doh nok uat guane memang mung wahi bawok mutor laju...Islam dop sekat...asalkan time semayang,,mung sembahyang. time gi surau, mung gi surau. NABI pown suh ayah2 ajar anok2 nek kuda. KUDA zaman lening mutorsikal r......"



BB : Sekadar perkongsian
read more...

HIMPUNAN JUTAAN BELIA JANA EKONOMI ANAK MUDA

Menteri Belia dan Sukan Malaysia, Dato' Sri Ahmad Shabery Cheek menyatakan bahawa golongan belia merupakan golongan yang berpengaruh dalam sistem ekonomi negara bagi menjelaskan terjemahan kementerian terhadap keberkesanan Program Himpunan Sejuta Belia 2011 yang lalu. Beliau menjelaskan perkara berkenaan dalam menjawab pertanyaan Dewan Rakyat yang dikemukakan oleh YB Batang Sadong, Puan Hajah Nancy Haji Shukri.




Tambah beliau lagi, kajian impak ekonomi oleh pihak Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) menyatakan bahawa program himpunan tersebut telah memberi kesan berganda ekonomi sebanyak RM 110 juta melalui jumlah perbelanjaan pengunjung, sektor kerajaan, sektor swasta dan NGO sekaligus menyumbang kepada nilai ditambah ekonomi sebanyak 0.014% daripada nilai KDNK pada tahun 2010.

Dianggarkan seramai 1.1 juta pengunjung hadir di Putrajaya sepanjang 3 hari himpunan tersebut diadakan dengan purata perbelanjaan sebanyak RM100 seorang.
Sejurus selesai menjawab pertanyaan Dewan Rakyat, satu sidang media diadakan di lobi Dewan Rakyat bagi mempromosikan Himpunan Jutaan Belia di Putrajaya 2012 yang akan diadakan pada 23 hingga 27 Mei 2012.

Himpunan 5 hari ini akan melibatkan 6km back to back events, memuatkan 500 aktiviti, dengan 38 segmen, dihiburkan dengan 1000 artis di 22 buah pentas sekitar Putrajaya.

Sumber - KBS
read more...

TU DIA!!! IKHTIBAR DARI SEORANG ANAK MUDA

Di dalam dunia yang fana ini, pelbagai dugaan dan rintangan telah dijanjikan Allah kepada hamba-hambanya yang bernama manusia. Hanya keimanan dan ketaqwaan yang mampu menjadi perisai kepada kita yang serba kekurangan ini.




Serba ringkas disertakan terjemahan pengakuan ikhlas pemuda ini sebagai ikhtibar dan pedoman kepada kita. Insya Allah.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~


“Saya mengaku bahawa saya telah banyak melakukan dosa!”
“Sekarang saya berada di sini. Dan saya suka jika tuan dapat melakukan beberapa doa. Saya telah melakukan dosa-dosa yang tuan tidak akan berani untuk fikir mengenainya.”
“Saya adalah seorang pemuda dari Boujdour. Saya adalah anak kalian semua. Saya telah pun meninggalkan dosa-dosa itu. Sampai bila para pendakwah hendak berselindung di sebalik tabir??!”
“Sampai bila kita mahu hidup dalam keadaan tidak dilindungi dari godaan-godaan, yang mana itu semua akan menimbul keinginan kita semua?! Saya pernah duduk di dalam kelas yang mana di dalamnya terdapat gadis yang secara terbuka menayangkan sebahagian besar bahagian tubuhnya.”
“Apabila saya keluar (dari kelas itu) pula, saya cuma dapat melihat perkara-perkara yang membuatkan syaitan senang untuk mempermainkan saya. Tiada dosa yang saya tidak pernah lakukan.”
“Saya tidak katakan tiada orang yang membimbing saya. Saya tidak salahkan para pendakwah... Saya salahkan diri saya! Saya salahkan diri saya! Saya salahkan diri saya sendiri!”
“Sekarang saya melihat tuan-tuan semua di sini. Apa yang perlu saya buat? Apa yang saya boleh buat? Saya ke sini secara kebetulan sahaja. Seorang rakan sekerja saya memberitahu saya bahawa pada hari ini akan ada seorang ulama di sini.”
“Sebenarnya saya berasa berat hendak meluahkan dengan kata-kata yang betul. Rakan sekerja saya itu telah menunjukkan beberapa filem dari ulama tersebut di dalam internet. Saya tak pernah melihatnya sebelum ini…”
Sebabnya bukan saya tidak tahu menggunakan internet. Masalahnya ialah pada setiap laman web kita akan melihat banyak (wanita-wanita) yang bertelanjangan. Tidak ada tempat yang boleh saya lihat/baca walau satu ayat al-Quran.”
“Bagaimana tuan mahukan saya hidup dalam keadaan terbimbing dalam keadaan dunia ini penuh dengan perkara-perkara tidak bermoral?! Semuanya menjurus kepada yang haram!!! Tiada pun yang dapat membimbing kita kepada perkara yang baik!”
“Semalam, saya baru sahaja mulai solat dan umur saya sekarang sudah pun 25 tahun!!! Saya dah tak tahan dengan keadaan ini! Dan saya bukanlah hanya seorang sahaja begini. Ini adalah situasi saya yang saya ceritakan pada tuan…”
“(Dan) inilah adalah situasi ribuan lagi pemuda-pemuda di Morocco!! Tuan bercakap tentang dosanya seorang pendakwah jika pendakwah itu mendiamkan diri dan tidak berdakwah kepada orang lain! Apa pula akan jadi pada saya?? Apa yang akan saya bawa bersama saya pada Hari Akhirat nanti??”
“Apakah destinasi terakhir saya wahai tuan-tuan sekalian??



~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~



Allahu Akhbar!!!!

Mudah-mudahan video ini dapat memberikan kita pengajaran dan ikhtibar dalam menjalani kehidupan kita sebagai umat Islam dan HambaNYA dengan lebih sempurna.

read more...

TEKS UCAPAN PM MENGENAI LAPORAN TAHUNAN GTP DAN ETP 2011

Hari ini DS Najib selaku Perdana Menteri kita telah membentangkan Laporan Tahunan Program Transformasi Kerajaan (GTP) & Program Transformasi Ekonomi (ETP) Bagi Tahun 2011.

Berikut adalah teks ucapan penuh beliau :


Rakyat Malaysia sekalian,
 
1.           Ceritera kejayaan Malaysia merupakan ceritera yang telah di tinta emas. Ia telah dilakar oleh sumbangan semua rakyat Malaysia dari Negeri Perlis hinggalah ke Sabah. Hakikatnya, ia hasil sumbangan warga tiga belas buah negeri dan tiga Wilayah Persekutuan yang walaupun dipisahkan secara fizikalnya oleh Laut Cina Selatan, namun disatukan roh dan semangatnya oleh kehendak untuk hari ini yang lebih baik daripada hari semalam dan hari esok yang penuh dengan harapan di bawah lembayung kibaran jalur gemilang.
 
2.           Kejayaan ini hasil sumbangan usahawan kecil, sederhana dan besar yang berani mengambil risiko, ia hasil sumbangan petani, pesawah, pekebun, peladang, penternak dan nelayan yang gigih menggunakan kudrat, ia hasil sumbangan para guru, pensyarah, wartawan, karyawan dan cendekiawan yang mendidik serta memberi kesedaran, ia hasil pengorbanan anggota tentera dan polis yang setia mempertaruhkan jiwa dan raga demi keselamatan negara tercinta, ia hasil sumbangan penjawat awam, pekerja swasta, pekerja kolar putih, biru dan buruh yang merupakan roda yang menggerakkan pembangunan negara, pendek kata kejayaan nasional adalah kejayaan yang dibina semua warga Malaysia.
 
3.           Tugas kita hari ini sebagai generasi baru Malaysia yang mewarisi watan daripada generasi terdahulu teramat berat, kita dipanggil semboyan pertiwi bagi meneruskan tugas mulia membina negara bangsa Malaysia. Kita berdiri di atas bahu para patriot negara, bahu-bahu gergasi para bapa pengasas Malaysia. Kita berhadapan dengan amanah dan cabaran bagaimana membina di atas kejayaan sedia ada di samping meneruskan proses perubahan dan pembaharuan nasional.
 
Rakyat Malaysia yang dikasihi,
 
4.           Tiga tahun lalu, saya berdiri di hadapan tuan-tuan, puan-puan, saudara dan saudari bagi menyampaikan ucapan sulung saya selaku Perdana Menteri Malaysia ke-6.
 
5.           Di dalam ucapan sulung tersebut, saya telah menggariskan prinsip yang akan memandu hala tuju kerajaan pimpinan saya dalam bergerak ke hadapan, prinsip yang dimaksudkan ialah 1Malaysia Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.
 
6.           Falsafah asas yang telah saya dan rakan-rakan pilih menjadi teras kerajaan ini, ialah falsafah yang merai dan menuil kemajmukan Masyarakat Malaysia yang sedia ada. Ia menjunjung harapan mereka untuk membentuk masa hadapan yang lebih baik. Falsafah ini terbentuk hasil daripada proses merasai denyut nadi rakyat, menggarap aspirasi serta mendengar keluh kesah mereka.
 
7.           Ia dibentuk bagi menangani tiga cabaran utama era globalisasi dan era dunia tanpa sempadan, iaitu pertama, dalam mengukuhkan perpaduan masyarakat majmuk Malaysia. Kedua, bagi membentuk sistem penyampaian kerajaan yang lebih mendakap aspirasi rakyat dan ketiga, mengeluarkan Malaysia dari perangkap gejala negara berpendapatan sederhana yang telah melanda banyak negara-negara lain di dunia, di mana kadar pertumbuhan semakin perlahan dan pembangunan menjadi statik malahan dalam kes yang ekstrem ia mula menjadi regresif.
Rakyat Malaysia yang dihormati
 
8.           Sebarang perubahan dan pembaharuan yang ingin kita bawa, wajib berasaskan premis bahawa sebagai negara yang majmuk survival kita bergantung kepada keberterusan keutuhan perpaduan nasional yang didasarkan kepada keyakinan bahawa kepelbagaian yang kita miliki merupakan sumber kekuatan bukannya kelemahan.
 
9.           Kita perlu memanfaatkan bakat yang terbaik dari kolam bakat kebangsaan bagi membangunkan negara serta menambah kekayaan nasional tanpa mengira ras dan kepercayaan penyumbang tersebut. Perkiraan pertama dan terakhir seharusnya adakah mereka warganegara yang mampu menyumbang. Sepanjang lipatan sejarah pembangunan negara Malaysia, dari sebuah negara pertanian berpendapatan rendah kepada negara perindustrian berpendapatan sederhana tinggi, ia telah menyaksikan sumbangan mereka yang datang dari semua kaum dan semua kepercayaan.
 
10.        Menjadi keyakinan yang telah saya nyatakan secara terbuka bahawa era kerajaan mengetahui segala-galanya, era kerajaan memiliki monopoli terhadap kebijaksanaan sudah berakhir. Menginsafi hakikat ini, dalam menggubal komponen pertama Dasar Transformasi Nasional, iaitu Program Transformasi Kerajaan atau GTP, kita telah mewujudkan makmal-makmal khusus bagi mendapat maklum balas daripada rakyat, tentang apakah yang sebenarnya menjadi urutan keutamaan mereka.
 
11.        Hasil daripada merundingi rakyat, sebanyak 7 bidang keberhasilan utama atau NKRA telah dikenal pasti untuk dilaksanakan. Bagi memastikan pencapaian KPI di bawah NKRA ini akan mampu dicapai mengikut jadual atau lebih pantas, maka kerajaan telah mengambil keputusan untuk menggunakan strategi lautan biru kebangsaan atau “national blue ocean strategy” di dalam beberapa NKRA.
 
Rakyat Malaysia yang dikasihi,
 
12.        Pada malam ini, genaplah 3 tahun pentadbiran saya. Saya berdiri pada malam ini bagi melaporkan pada tuan-tuan dan puan-puan apa yang telah kita capai setelah perencanaan yang rapi dan pelaksanaan yang berstrategi.
 
13.        NKRA yang diberi keutamaan, adalah untuk menangani kos sara hidup. Kerajaan prihatin bahawa rakyat terhimpit akibat tekanan kos sara hidup yang semakin hari semakin meningkat. Ia melanda bukan sahaja penduduk bandar, tetapi juga penduduk luar bandar. Hakikatnya, semua segmen warganegara terkesan olehnya. Bagi meringankan bebanan ini, kerajaan telah merangka pelan jangka pendek, sederhana dan panjang bagi menanganinya.
 
14.        Antara langkah jangka pendek bersifat “one off” yang telah dilaksanakan bagi tahun 2012 ialah Bantuan Rakyat 1Malaysia atau BR1M, sebanyak RM 500 yang memanfaatkan hampir 4 juta isi rumah negara yang berpendapatan di bawah RM3 000.
 
15.        Tidak cukup dengan bantuan BR1M, kerajaan juga memberikan bantuan persekolahan RM 100 untuk setiap pelajar sekolah rendah dan menengah. Bantuan ini telah memanfaatkan 5.3 juta orang pelajar sekolah seluruh negara. Bagi pelajar Institut Pengajian Tinggi dan Tingkatan 6 pula, mereka tidak dilupakan. Baucar buku bernilai RM200 telah disediakan yang telah memanfaatkan 1.3 juta orang pelajar. Semua bantuan ini melibatkan peruntukan hampir RM 3 bilion.
 
16.        Kerajaan juga baru-baru ini telah mengumumkan kenaikan gaji 7 hingga 13 peratus bagi 1.4 juta orang kakitangan sektor awam yang telah memanfaatkan hampir 4 juta orang rakyat Malaysia. Manakala bagi sektor swasta, saya akan mengumumkan pelaksanaan gaji minimum pada akhir bulan ini.
 
17.        Untuk langkah jangka sederhana, kerajaan telah memperkenalkan beberapa prakarsa bagi mengurangkan tekanan kos hidup antaranya Kedai Rakyat 1Malaysia, Klinik 1Malaysia, Menu Rakyat 1Malaysia serta pembekuan kenaikan untuk tempoh 5 tahun harga tol di Lebuh Raya Utara-Selatan dan Lebuh Raya Pantai Timur serta penghapusan tol di beberapa laluan seperti di Lebuh Raya Cheras- Kajang dan Lebuh Raya Connaught.
 
18.        Untuk tempoh jangka panjang, menyedari bahawa perumahan merupakan komponen terbesar kos sara hidup, maka kerajaan telah memperkenalkan Skim Perumahan 1Malaysia atau PR1MA untuk membina perumahan mampu milik di kawasan Bandar bagi golongan pertengahan, manakala untuk golongan berpendapatan rendah skim seperti Projek Perumahan Rakyat di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan akan di tingkat giatkan lagi. Bagi perumahan kawasan luar bandar, pembinaan rumah yang mencukupi akan diterajui oleh Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB). Kerajaan juga tidak melupakan perumahan bagi golongan nelayan. Bagi tahun 2012 sebanyak RM300 juta telah diperuntukkan di bawah Tabung Khas Perumahan Nelayan untuk membina dan membaik pulih rumah.
 
19.        Selain daripada semua inisiatif di atas, Kerajaan juga komited untuk meneruskan dasar subsidi yang terpilih melibatkan makanan seperti beras, gula, minyak masak dan tepung gandum, hasil petroleum termasuk minyak kereta, diesel dan gas memasak. Kerajaan juga memberikan subsidi bil elektrik bagi 1 juta isi rumah yang melibatkan bil bernilai RM20 ke bawah. Segala subsidi ini membabitkan peruntukkan sebanyak lebih RM30 bilion setahun.
 
20.        Kerajaan yang sedia ada ialah kerajaan yang berkebajikan dan bertanggungjawab. Pengurusan ekonomi serta hasil secara berhemah telah memungkinkan lebih RM 30 bilion diperuntukkan setiap tahun untuk subsidi secara langsung bagi mengurangkan bebanan hidup rakyat serta hampir RM 3 bilion untuk berian terus bagi tahun 2012.
 
Rakyat Malaysia sekalian,
 
Keduanya, NKRA yang bermatlamat mengurangkan kadar jenayah.
 
21.        Kerajaan telah mengambil langkah inovatif dan kreatif melalui strategi lautan biru (national blue ocean strategy) untuk meningkatkan jumlah anggota polis terutamanya di kawasan-kawasan panas. Strategi ini nyata berkesan di mana kadar jenayah jalanan telah berjaya dikurangkan sebanyak 39%, manakala jenayah keseluruhan telah berkurang sebanyak 11% semenjak tahun 2009.
 
22.        Usaha mengurangkan kadar jenayah jalanan telah menyaksikan era baru kerjasama antara Angkatan Tentera Malaysia dan Polis Di Raja Malaysia, di mana pusat-pusat latihan tentera sedia ada telah dimanfaatkan untuk melatih juga anggota-anggota polis. Kesannya, dengan kos yang minimum lebih banyak anggota polis boleh dilatih dengan kadar lebih pantas, seterusnya diatur gerak ke kawasan-kawasan yang memerlukannya. Di bawah strategi lautan biru ini juga rondaan bersama anggota polis dan tentera serta anggota RELA dan Jabatan Pertahanan Awam yang dilatih khusus serta dikawal selia oleh pihak PDRM di laksanakan bagi tujuan pencegahan jenayah. Sebagai sebahagian daripada langkah mengurangkan kadar jenayah ini juga, teknologi inovatif dan moden seperti pemasangan CCTV akan di tingkat luaskan.
 
Ketiga, NKRA yang bermatlamat meningkatkan pencapaian pelajar.
 
23.        Buat pertama kalinya dalam sejarah Negara, pendidikan peringkat rendah dan menengah adalah percuma. Kerajaan memperuntukkan perbelanjaan yang besar setiap tahun untuk bidang pendidikan. Hasilnya, 77% daripada anak-anak kita telah mendapat peluang mengikuti pembelajaran peringkat pra-sekolah berbanding 67%, 2 tahun yang lalu. Kerajaan menyedari anak-anak ialah permata Negara. Pendidikan seawal mungkin akan menjamin mereka mendapat kelebihan persaingan dalam kehidupan masa depan.
 
24.        Kerajaan juga menyedari peri pentingnya peranan guru dalam memastikan sistem pendidikan yang berkualiti. Menyedari hakikat itu, saya telah pun mengumumkan laluan karier perguruan yang lebih baik berasaskan sistem kenaikan pangkat “time based” dalam Bajet 2012 dan mengumumkan jaminan penerusan komitmen tersebut dalam ucapan saya kepada anggota perkhidmatan awam baru-baru ini.
 
Keempat, NKRA yang bermatlamat mempertingkatkan infrastruktur asas luar bandar.
 
25.        Kerajaan tidak pernah melupakan penduduk luar Bandar. Keprihatinan kerajaan ini terbukti apabila pada Tahun 1959 Kementerian Pembangunan Negara dan Luar Bandar telah ditubuhkan. Semenjak 3 tahun yang lalu, usaha untuk mempertingkatkan kemudahan asas luar bandar telah diberikan nafas baru dengan penekanan ke Negeri Sabah dan Sarawak.
 
26.        Setakat ini, hampir 1000 kilometer jalan luar Bandar telah dibina. Dalam sejarah negara, ini merupakan jumlah kilometer jalan terpanjang yang pernah dibina dalam tempoh 2 tahun. Sebagai perbandingan, panjangnya melebihi Lebuh Raya Utara-Selatan sedia ada. Menggunakan strategi lautan biru, Angkatan Tentera Malaysia melalui Projek Jiwa Murni telah membantu dalam pembinaan jalan-jalan luar Bandar ini. Contohnya, Long Lopeng ke Ba’kelalan, Kuala Medalam ke Medamit, Limbang dan Kampung Saeh, Bekenu, Miri.
 
27.        Semenjak pelaksanaan NKRA ini tiga tahun yang lalu, sebanyak 27 ribu lagi isi rumah luar bandar mendapat nikmat bekalan elektrik dan lebih 70 ribu lagi isi rumah pula mendapat bekalan air yang bersih. Hasil langkah-langkah ini telah meningkatkan akses rakyat Malaysia kepada air bersih. Bagi negeri Sabah peningkatan melibatkan 8% membabitkan lebih 150 ribu penduduk. Bagi negeri Sarawak, peningkatan ialah sebanyak 5.3% yang membabitkan lebih 100 ribu penduduk. Manakala bagi negeri-negeri di Semenanjung, peningkatan ialah sebanyak 3.6% yang membabitkan lebih 250 ribu penduduk. Bagi bekalan elektrik pula, negeri Sabah dan Sarawak menunjukkan peningkatan sebanyak 6.8% dan 6.2%,  yang memanfaatkan lebih daripada 230 ribu penduduk.
 
28.        Bagi merancakkan lagi pembangunan luar Bandar, Kerajaan telah melancarkan Program Transformasi Luar Bandar sebagai sebahagian daripada Dasar Transformasi Nasional. Di bawah program ini, Pusat- Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) telah dan bakal didirikan. Pusat RTC pertama telah dilancarkan di Gopeng, Perak. Manakala RTC yang berikutnya akan dilancarkan di Kota Bharu dan beberapa buah lokasi yang telah dikenal pasti.

Rakyat Malaysia yang dihormati,
 
Kelima, NKRA yang bermatlamat mempertingkatkan pengangkutan awam bandar.
 
29.        Bagi meningkat kualiti kehidupan rakyat terutama di kawasan bandar, kerajaan akan melaksanakan beberapa projek besar pengangkutan awam. Projek paling utama ialah projek MRT yang merupakan projek pengangkutan awam bandar jangka panjang yang paling komprehensif dalam sejarah pengangkutan awam negara. Fasa pertama projek ini dijangka siap dalam tempoh 5 tahun akan datang.
 
30.        Sementara itu, kerajaan telah pun mengambil tindakan untuk meningkatkan sistem pengangkutan LRT dengan penambahan dari gerabak 2 koc kepada gerabak 4 koc, dan pemanjangan kedua-dua laluan Kelana Jaya dan Ampang Jaya. Pemanjangan kedua-dua laluan ini dijangka akan memanfaatkan lebih 500 ribu pengguna sehari semasa waktu puncak.
 
31.        Bagi perkhidmatan komuter KTM pula, koc-koc baru telah pun dibeli dan akan diperoleh secara berperingkat. Ini akan meningkatkan mutu dan keselesaan perkhidmatan komuter. Langkah-langkah ini dijangka akan meningkatkan keselesaan kepada hampir 100 ribu pengguna harian. KTM juga kini dalam proses mempersiapkan laluan berkembar dan proses elektrifikasi laluan Ipoh-Padang Besar.
 
32.        Di bawah NKRA ini juga, Kerajaan telah memperkenalkan Bas Ekspresway Transit (BET) yang telah memanfaatkan 370 ribu orang pengguna setiap hari.
 
Keenam, NKRA yang bermatlamat mempertingkatkan taraf kehidupan isi rumah berpendapatan rendah.
 
33.        Perang terhadap kemiskinan telah dilancarkan secara sistematik dan berterusan semenjak kemerdekaan lagi. Ia dilaksanakan secara lebih saintifik bermula dengan Dasar Ekonomi Baru (1971-1990). Matlamat kedua DEB adalah untuk mengurangkan dan seterusnya membasmi kemiskinan. Alhamdulillah, kita telah berjaya membasmi kemiskinan tegar apabila kita telah mengeluarkan lebih 44 ribu isi rumah daripada kategori tersebut. Namun, kita tetap waspada terhadap kes-kes baru yang mungkin berlaku.
 
34.        Kerajaan juga telah melaksanakan pelbagai inisiatif, seumpama akhiri zaman miskin atau 1AZAM yang telah memberi nikmat kepada lebih 47 ribu isi rumah yang melibatkan perbelanjaan lebih RM 500 juta. Manakala di bawah program Kebajikan Rakyat 1 Malaysia atau KAR1SMA pula sebanyak RM 1.4 Bilion diperuntukkan setiap tahun kepada 500 ribu penerima bantuan kebajikan masyarakat seluruh negara.
 
Ketujuh, NKRA yang bermatlamat membanteras rasuah.
 
35.        Kerajaan komited bagi membanteras gejala rasuah. Jenayah rasuah adalah ibarat barah kepada kelangsungan dan pembangunan negara. Ia mampu memusnahkan keharmonian rakyat. Kerajaan tidak pernah pilih kasih dalam usaha memerangi rasuah. Tidak timbul soal bahawa tindakan hanya akan diambil terhadap “ikan bilis” manakala “ikan jerung” akan dibiarkan terlepas bebas. Sehingga akhir 2011, sebanyak 900 pesalah rasuah telah disabitkan kesalahan. Kerajaan telah pun menubuhkan mahkamah khas bagi mempercepatkan perbicaraan kes-kes rasuah. Manakala badan penguatkuasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah ditingkat upaya dengan secukupnya.
 
Rakyat Malaysia yang dikasihi,
 
36.        Selain GTP yang telah diperkenalkan pada Tahun 2009, kerajaan juga pada Tahun 2010 telah memperkenalkan Program Transformasi Ekonomi (ETP) bersama-sama 12 Bidang Keberhasilan Utama Ekonomi (NKEA) serta 131 Projek Permulaan Ekonomi (EPP). Melengkapinya ialah Model Baru Ekonomi (NEM) serta 6 Inisiatif Pembaharuan Strategik (SRI).
 
37.        Matlamat utama ETP dan NEM adalah untuk mengeluarkan Malaysia dari perangkap negara berpendapatan sederhana dan meletakkan negara di landasan yang betul, bagi mencapai Wawasan 2020 untuk menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi.
 
38.        Untuk analogi, NEM dan SRI bolehlah diibaratkan sebagai lebuhraya. Manakala ETP merupakan kenderaan yang akan menggunakan lebuhraya membawa kita ke destinasi akhir, iaitu sebuah negara maju berpendapatan tinggi. 12 NKEA di bawah ETP ialah bahagian-bahagian enjin kepada kenderaan tersebut. Manakala EPP ialah bahan api atau “fuel” yang akan menggerakkan kenderaan ini. Untuk Malaysia menjadi sebuah negara maju, kesemua komponen termasuk kenderaan, enjin, bahan api dan lebuhraya hendaklah berada dalam keadaan yang terbaik.
 
39.        Perubahan dan pembaharuan yang kita lakukan melalui inisiatif ETP dan NEM sepanjang 2 tahun yang lalu telah menunjukkan hasil yang amat memberangsangkan. Contohnya, laporan World Economic Forum bagi Tahun 2012 telah menyaksikan Malaysia naik 5 anak tangga dalam senarai daya saing ekonomi dunia berbanding tahun sebelumnya. Malaysia hari ini adalah antara 21 buah negara paling kompetitif ekonominya di dunia. Manakala, Bank Dunia di dalam laporannya “Doing Business 2012” pula telah mengiktiraf Malaysia sebagai negara yang ke-18 paling mudah memulakan atau menjalankan urus niaga. Kita telah memintas negara-negara yang maju seperti Jerman, Jepun, Taiwan dan Perancis. Syarikat perunding A.T Kearney juga telah mengiktiraf Malaysia sebagai negara yang 10 teratas dalam Indeks Keyakinan Pelaburan Langsung Asing bagi Tahun 2012.
 
40.        Semasa ETP dilancarkan 2 tahun lalu, pendapatan perkapita negara adalah USD 6 700. Hari ini, ia telah meningkat kepada USD 9 700. Manakala data 2011 menunjukkan pencapaian tertinggi KDNK atau GDP serta PNK atau GNI negara semenjak merdeka. Angka KDNK telah mencecah RM 852. 7 bilion manakala PNK pula RM830.7 bilion. Pencapaian ini telah membolehkan kerajaan mengutip jumlah hasil tertinggi dalam sejarah pasca merdeka iaitu RM 185.54 bilion membolehkan pelbagai inisiatif dilaksanakan demi kesejahteraan rakyat di samping langkah-langkah di ambil bagi membaiki kedudukan fiskal kerajaan. Terbukti apa yang telah dicapai dalam kerangka waktu ini, menunjukkan kita berada di trajektori yang betul untuk mencapai pendapatan perkapita USD 15 000 pada tahun 2020.
 
41.        Sejak pelancaran ETP pada 2010, sehingga akhir 2011, pelaburan langsung asing telah meningkat sebanyak 12.3% kepada RM33 bilion. Manakala pelaburan swasta pula telah menunjukkan peningkatan sebanyak 19% kepada RM94 bilion. Sebanyak 313 ribu peluang pekerjaan baru dijangka dapat dicipta daripada keseluruhan RM179 bilion nilai pelaburan yang telah diumumkan di bawah ETP. Sebanyak RM129 bilion pendapatan negara kasar pula dijangka dapat dijana menjelang Tahun 2020.
 
42.        Bagi menambah kukuh kewibawaan dan keutuhan perancangan hasil pelaksanaan program-program transformasi kerajaan khususnya GTP dan ETP, satu prosedur dijalankan oleh firma antarabangsa Price Waterhouse Coopers, dengan disemak oleh sebuah Panel Antarabangsa yang dianggotai oleh pakar-pakar berwibawa antaranya dari United Kingdom, Amerika Syarikat, Australia, serta Korea Selatan.
 
Rakyat Malaysia Sekalian,
 
43.        Segala yang saya telah bentangkan sebentar tadi adalah bukti jelas sikap keterbukaan, ketelusan dan akauntabiliti kerajaan yang ada. Kerajaan ini telah berterus terang dengan rakyat Malaysia tentang apakah masalah dan cabaran yang sedang di hadapi negara, dan kita telah merangka pelan menyeluruh bagi menangani segala cabaran yang dikenalpasti.
 
44.        Segala prakarsa di bawah payung Dasar Transformasi Nasional telah dirangka dengan bersebab dan bermatlamat. Pucuk pangkalnya, Kerajaan hari ini jelas tentang ke arah mana hala tuju yang ingin di bawa negara, iaitu menuju sebuah negara maju berpendapatan tinggi.
 
45.        Kita dambakan sebuah negara yang memiliki prasarana asas yang moden yang dapat dinikmati semua warga Malaysia sama ada di pedalaman, luar bandar, pinggir bandar mahupun di bandar. Kita impikan sebuah negara di mana persekitarannya sejahtera dari jenayah, alam sekitarnya bersih dan sistem pengangkutan awamnya cekap. Kita menginginkan sebuah negara di mana jalan rayanya selamat, bekalan airnya bersih, bekalan elektrik, akses kepada internet jalur lebar, perkhidmatan kesihatan dan pendidikannya adalah yang terbaik. Kita mahukan sebuah negara di mana pekerjanya terutamanya generasi muda mendapat peluang pekerjaan yang upahnya setimpal, di mana gaji minimum akan berada di atas paras kemiskinan, serta semakin tinggi kemahiran yang dimiliki maka semakin tinggi pula ganjarannya.
 
46.        Kerajaan hari ini tidak takut untuk bersaing dalam gelanggang yang demokratik. Bukankah kerajaan ini yang memansuhkan I.S.A., Akta Kediaman Terhad, Akta Buang Negeri, membatalkan 3 perisytiharan darurat, menggubal Akta Perhimpunan Aman bagi melindungi hak rakyat untuk berhimpun dan bersuara seperti yang dijamin Perlembagaan Persekutuan. Selanjutnya meminda Akta Universiti dan Kolej Universiti bagi mengiktiraf hak perlembagaan pelajar untuk menganggotai parti politik, serta meminda Akta Pelesenan dan Mesin Cetak bagi menghapuskan keperluan pembaharuan lesen tahunan penerbitan.
 
47.        Hakikatnya, kerajaan hari ini dipilih secara demokratik di dalam pilihanraya umum yang bebas dan adil. Oleh itu, kita tidak sekali-kali takut mahupun gentar bersaing dalam pasaran idea yang bebas dan kompetitif. Kita mempunyai penuh keyakinan terhadap kebijaksanaan rakyat Malaysia memilih dan meneraca. Mereka tahu menilai yang mana intan yang mana kaca. Kita percaya rakyat akan memilih kerajaan yang mempunyai “track record” yang meletakkan kepentingan rakyat di atas segala-galanya.
 
48.        Kerajaan yang saya pimpin bukan kerajaan populis semberono yang tidak bertanggungjawab. Kerajaan ini di dalam merangka sebarang dasar, di dalam membelanjakan wang negara tidak akan sekali-kali meranap mahu membangkrapkan negara. Kita telah dan akan sentiasa berterus terang dengan rakyat tentang apa yang kita mampu dan apa yang kita tidak mampu lakukan, sebaliknya amat mudah bagi sesetengah pihak untuk menjanjikan bulan, bintang dan cakerawala tanpa memikirkan kesannya.
 
49.        Perjalanan nasional ke arah cita-cita kebangsaan sebuah negara maju hanya tinggal 8 tahun lagi untuk dicapai. Seperti yang saya analogikan sebentar tadi, untuk menuju matlamat nasional kita memerlukan kenderaan yang berprestasi tinggi, komponen enjin yang berkualiti, bahan api mencukupi, destinasi yang jelas dan lebuh raya terbaik. Namun, saya ingin mengingatkan, kita juga memerlukan kepada pemandu yang cekap supaya dapat menggabung jalinkan segala faktor yang ada bagi memastikan kenderaan tiba ke destinasinya pada masa yang ditentukan dengan selamat. Oleh itu, janganlah kita bereksperimen untuk menukar pemandu yang telah terbukti kebolehannya, di tengah-tengah jalan, untuk digantikan dengan pemandu yang diragui dan berbahaya.
 
50.        Oleh yang demikian, jangan sesekali kita salah membuat pilihan. Berhati-hatilah dengan tukang karut yang melipur lara. Mereka ini hanya pandai berjanji tapi tidak pernah mengotainya. Mereka tidak pernah konsisten antara amalan dan retorik yang dilaungkan. Makanya, berwaspadalah dengan alunan muzik oleh peniup seruling yang tampak indah tapi penuh dengan persona dan perdaya.
 
Rakyat yang dikasihi
 
51.        Sesungguhnya, masa depan kita dan anak-anak kita bergantung kepada keputusan hari ini. Kesimpulannya, kerajaan hari ini adalah kerajaan yang bertanggungjawab, kerajaan yang beramanah dan paling penting kerajaan ini sentiasa menepati janji.
read more...

SAH! SAFEE SALI LAFAZ CERAI TALAK SATU

SINAR HARIAN sebentar tadi melaporkan Pemain bola sepak terkenal negara, Safee Sali menceraikan isterinya Sabrina Yusof dengan talak satu, hari ini.





Selasa lalu, Safee membuat keputusan mahu menyelesaikan tuntutan perintah kembali taat ke atas Sabrina di luar mahkamah.

Safee atau nama sebenarnya Mohd Safee Mohd Sali, 28 memfailkan permohonan terhadap isterinya agar kembali taat pada November lalu.

Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan Nur Syaza Syaqina, 3, dan  Nursyasya Safirna, 1.


BB : mood sedih :(
read more...

TU DIA!!! ORANG MUDA TIDAK PERCAYA PADA PILIHAN RAYA

Sekurang-kurangnya separuh daripada bilangan golongan muda yang layak untuk mendaftar sebagai pemilih tidak berminat berbuat demikian, menurut kaji selidik firma tinjauan pendapat, Merdeka Centre dan Institut Kebangsaan Integriti Pilihan Raya (NIEI).




Pengarah Merdeka Centre, Ibrahim Suffian, berkata kajian yang dijalankan tahun lalu itu mendapati mereka yang berumur antara 21 dan 30 tahun tidak berminat kerana mereka merasakan ia tidak penting atau memerlukan tindakan segera.

Ia membabitkan 2,400 responden berusia 21 tahun ke atas yang dipilih secara rawak daripada 240 daerah mengundi di 60 kawasan Parlimen seluruh negara.

"Responden juga menegaskan bahawa mendaftar sebagai pemilih, atau mengundi, tidak membawa apa-apa perubahan," katanya kepada pemberita pada majlis pelancaran Laporan Audit Daftar Pemilih Kebangsaan 2011, di sini.

Ibrahim berkata, walaupun satu juta pemilih baru mendaftar dalam tempoh lebih setahun, bilangan golongan muda yang tidak menyedari hak mereka untuk mengundi, adalah masih tinggi.





"Kajian itu menunjukkan bilangan mereka yang tidak berdaftar adalah tinggi di kalangan Bumiputera Islam dan Bumiputera bukan Islam di Sabah dan Sarawak, dan golongan yang berusia antara 21 dan 30 tahun yang tinggal di kawasan bandar," katanya.

Dalam perkembangan lain, pemangku Pengerusi NIEI, K Shan, berkata NIEI sudah menyerahkan laporan cadangan penambahbaikan pilihan raya kepada Jawatankuasa Khas Parlimen Berhubung Pilihan Raya pada Januari lalu - Bernama

Tu dia!!! Siapa yang salah?

Keengganan anak muda untuk mendaftar sebagai pengundi secara jelas menunjukkan penolakan mereka ini terhadap sistem politik negara. Mengapa dan kenapa? Adakah sistem demokrasi ini tidak memenuhi tuntutan naluri anak muda kita? Atau keyakinan mereka terhadap pengamal politik ini baik daripada parti yang memerintah mahupun parti pembangkang mulai pudar?

Atau memang beginilah sikap sebenar anak muda yang lahir selepas kemerdekaan yang tidak mempedulikan kestabilan negara akibat limpahan subsidi dan kemudahan yang telah disediakan semenjak dalam kandungan.





Banyak persoalan yang perlu dirungkai sebenarnya oleh para cerdik pandai terhadap persoalan-persoalan ini. Apakah trend ini sama di negara-negara maju atau anak muda di dunia ketiga? Pelbagai aspek mempunyai perkaitan atau angkubah samada secara langsung atau tidak langsung dalam menentukan penerimaan serta pemahaman politik di kalangan generasi muda kini.
read more...

Nuffnang 3

MENARIK

BB Followers

 
Copyright © 2014 Belia Bangkit • All Rights Reserved.
Distributed By Free Blogger Templates | Template Design by BTDesigner • Powered by Blogger
back to top