Jika tidak kerana disokong oleh ramai pendokong-pendokongnya yang 'dipaksa' mendokong beliau selama lebih 22 tahun, penulis berpandangan bahawa mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir akan dilihat tidaklah sehebat mana.
Malah sekiranya ditahun 1985, kira-kira 4 tahun selepas beliau dilantik menjadi Perdana Menteri, mungkin pada tahun 1987 dulu kariernya di jawatan nombor satu negara itu tidak bertahan lama. Mungkin Tengku Razaliegh Hamzah, mungkin pemimpin lain yang gantikan tempatnya...
Sekiranya dirujuk pada tindakan-tindakan beliau dulu, beliau tidaklah sehebat mana. Untungnya Dr Mahathir ketika itu ialah beliau menjalankan dasar kawalan 'kuku besi' terhadap pemimpin politik kerajaan yang terpaksa menjadi 'pak turut' dan mempromosikan beliau sebagai 'tokoh ulung negara' di depan rakyat.
Banyak sekali tindak-tanduknya yang menjadi kontrovsersi dan 'dipeti sejukkan' sebegitu sahaja termasuk tindakannya memilih serta mengangkat Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai 'anak emas'nya hingga menyebabkan UMNO mengalami 'kerosakan' teruk.
Setelah memecat Anwar dan menyumbat 'kaki liwat' itu ke penjara Sungai Buloh, kita semua maklum bahawa Dr Mahathir walaupun sudah berumur 90 tahun merupakan musuh ketat kepada Ketua Umum PKR itu. Khabarnya, kalau Anwar jadi Perdana Menteri, memang nahaslah Dr Mahathir...
Pelik bin ajaib, tiba-tiba Anwar di dalam penjara marah-marah bila pihak polis mengambil keterangan dari Dr Mahathir. Katanya, jangan ganggu bekas Perdana Menteri itu. Malah Anwar mengecam pihak PDRM yang menyiasat individu yang memecat dan memenjarakannya itu.
Apa agenda Anwar sebenarnya apabila bersungguh-sungguh benar mempertahan insan yang pernah menhancurkan impiannya untuk menjadi Perdana Menteri itu? Tiba-tiba banduan itu sayang sungguh kepada Dr Mahathir?
Rata-rata pemimpin dan aktivis politik mungkin bersetuju bahawa di dalam politik, segalanya berkemungkinan berlaku. Kawan boleh jadi lawan, dan seteru utama boleh pula berpeluk menjadi rakan karib untuk tujuan tertentu, itulah 'politik' di mata mereka.
Pada pandangan penulis, semua itu adalah sandiwara semata-mata. Dalam bahasa kasarnya, ialah 'wayang opera' atau 'wayang kulit', sekadar hiburan semata-mata. Tiada yang lebih tersirat melainkan hanya kepurap-puraan di sebalik muslihat tersembunyi...
Apa motif Anwar membela musuhnya itu? Paa penulis, satu-satunya motif utama Anwar ialah menjatuhkan Dato' Seri Najib Tun Razak dari kerusi Perdana Menteri atau sekurang-kurangnya dia mahu Dr Mahathir meneruskan tohmahan-tohmahan propaganda dari Sarawak Report untuk mencemar reputasi Najib di mata rakyat.
Anwar tahu Dr Mahathir masih punya pengaruh walau usianya bagaikan 'kubur kata mari, rumah kata pergi'. Anwar tahu bahawa Dr Mahathir masih boleh diperguna untuk menjatuhkan kerajaan sedia ada. Anwar juga tahu bahawa Dr Mahathir mampu membuat sesuatu yang tidak benar supaya kelihatan benar. Bukankah Dr Mahathir itu 'guru' Anwar?
Lebih utama, Anwar tahu bahawa sumber serangan Dr Mahathir terhadap Najib ialah beberapa 'dokumen' dan 'fakta' dari Sarawak Report. Dia juga tahu bahawa dokumen-dokumen asli yang sebenarnya hanyalah dokumen biasa yang diperoleh dari Xavier Justo telah diedit oleh pihak tertentu di Sarawak Report.
Malah, Anwar juga tahu berdasarkan 'dokumen-dokumen' palsu yang telah diedit itu, sekiranya dibawa ketengah oleh insan seperti Dr Mahathir, maka orang ramai akan percaya bahawa ia adalah asli dan tidak diubahsuai. Ramai yang percaya pada Dr Mahathir, bukan?
Lagipun, jika 'dikantoikan' sebagai dokumen palsu sekalipun, bukan reputasi Anwar yang tercemar sebaliknya nama Dr Mahathirlah yang busuk, bukan? Maka sudah tentu Anwar mahu Dr Mahathir terus berbunyi-bunyi menjatuhkan Najib sebelum beliau 'masuk ke kubur'...
Lebih selesa bagi Anwar, dia hanya perlu duduk di dalam penjara Sungai Buloh dan terus menerus mendapat layanan istimewa berbanding banduan-banduan lain di negara ini. Makan, tidur, makan, tidur saja kerjanya dan bila keluar nanti, mungkin Najib sudah jatuh. Kalau tidak jatuh pun, reputasi Najib akan tercemar dan mudahlah dia merampas kerusi Perdana Menteri, bukan?
Begitulah yang penulis jangka berlaku apabila 'mentor' dan 'menti' beraksi di pentas politik. Kedua-duanya licik lebih dari belut. Rakyat pula terbuai-buai dipermainkan seni retorik politik mereka sehingga berpecah belah.
Bila ramai yang bosan dan marah dengan keadaan itu, mereka dengan mudah akan menuding jari menyalahkan pihak kerajaan. Mereka 'cuci tangan' bagaikan malaikat yang tidak berdosa, sedangkan tangan mereka penuh dengan najis yang tidak tercuci sehingga ke liang lahad... -AmirHamzah/Utaranews.com
0 Komen:
Catat Ulasan
APA Kata Anda?
Ada berita dan info menarik di tempat anda? Kongsikan di SINI....