Nuffnang

SUMPAH BAI'AH YANG ORANG MUDA PERLU TAHU

Kepimpinan dalam Islam yang disebut sebagai imam merupakan suatu amanah yang amat besar dan perlu dilaksanakan secara berhemah.Hal ini dijelaskan oleh Rasulullah SAW melalui sabdanya yang bermaksud “Imam (Khalifah) itu adalah pemelihara dan dia bertanggungjawab di atas apa yang dipeliharanya (rakyatnya)…..” (Riwayat Bukhari dan Muslim).






Islam juga menjelaskan bahawa “Imam itu adalah perisai, yang mana dibelakangnya umat berperang.” (Riwayat Muslim). Hadis-hadis ini dan yang senada dengannya telah menjelaskan tentang tanggungjawab pemimpin terhadap rakyatnya.

Dalam satu peristiwa, Rasulullah pernah menasihati Abdul Rahman bin Samarah RA. Sabda Baginda Rasulullah SAW yang bermaksud “Wahai Abdul Rahman! Janganlah kau meminta jawatan kepimpinan. Sesungguhnya jika kau diberi jawatan itu atas permintaan, nescaya kau akan dibiarkan dengannya. Jika kau diberi jawatan pemimpin bukan atas permintaan, kau akan dibantu untuk melakukannya. Jika kau bersumpah dengan satu sumpah, lalu kau lihat yang lain lebih baik, maka datangilah yang lebih baik dan kaffarahlah ke atas sumpah kau.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari)

Adalah menjadi tanggungjawab kepada kita untuk memberi baiah kepada pemimpin negara. Dalam Islam Bai`ah bermaksud berjanji untuk taat kepada pemimpin. Bai`ah sememangnya wujud dalam amalan Islam. ALLAH SWT berfirman yang bermaksud “Bahawasanya mereka yang memberi bai`ah kepada kamu, sesungguhnya mereka memberi bai`ah kepada Allah. Tangan Allah di atas tangan-tangan mereka. Maka barangsiapa yang melanggar (bai`ah), sesungguhnya (akibat) melanggar bai`ah akan menimpa dirinya sendiri. Dan barangsiapa yang menunaikan apa yang dia janjikan kepada Allah, maka Dia akan memberinya ganjaran yang besar.” (Surah Al-Fath, ayat 10)

Sikap setia dan patuh yang tidak berbelah bagi perlu diamalkan, sama ada dalam perkara yang disukai atau tidak, susah atau senang, selagi ketaatan tersebut tidak bertentangan dengan ajaran agama dan peraturan yang mendasari dasar sesebuah negara.

Berkaitan dengan perkara tersersebut, Rasulullah SAW ada bersabda yang bermaksud “Diwajibkan ke atas orang Islam itu dengar dan taat (kepada pemimpin) dalam perkara yang disukainya dan dalam perkara yang dibencinya, kecuali ia diperintah melakukan maksiat.” ( Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Sejarah Islam telah menceritakan bagaimana sebelum berhijrah ke Yathrib, baginda Rasulullah SAW telah dikunjungi oleh penduduk Yathrib sebanyak dua kali dan kedua-duanya melibatkan ikrar taat mereka yang disebut sebagai bai’ah. Bai’ah al-Aqabah yang pertama dikenali sebagai Bai’at-an Nisa’.

Bai’ah ini lebih menjuruskan kepada persetujuan dan janji untuk menjaga dan mempertahankan keamanan di Yathrib. Seramai 12 orang penduduk Yathrib yang terdiri dari 10 orang suku kaum Khazraj dan 2 orang suku kaum Aus terlibat dengan ikrar ini didepan Rasulullah SAW. Mereka berjanji untuk tidak menyekutukan Allah, tidak mencuri, tidak membunuh anak, tidak berbohong, tidak memfitnah dan lain-lain.

Bai’ah Aqabah kedua yang diadakan pada tahun 13 selepas kerasulan Nabi disebut sebagai Bai’at-al-Haub yang mana penduduk Yathrib berjanji dan berikrar akan melindungi dan mempertahankan Nabi serta umat Islam sepertimana mereka melindungi keluarga mereka sendiri.

Sementara bai’ah khas terhadap Saidina Abu Bakar As-Siddiq di Thaqifah Bani Saadah berlaku selepas kewafatan Rasulullah. Kewafatan Rasulullah SAW pada bulan Rabiulawal tahun 11 Hijrah amat dirasai oleh umat Islam dan mereka merasakan betapa besarnya musibah yang sedang menimpa mereka. Walau bagaimanapun Sayidina Abu Bakar terus keluar dan berkata kepada umat Islam di dalam kata-katanya yang masyhur “ Wahai manusia sesiapa yang menyembah Muhammad, maka sesungguhnya Muhammad telah mati dan sesiapa yang menyembah Allah “ .

Seterusnya beliau membaca firman Allah s.w.t yang bermaksud “Dan Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang Rasul yang sudah pun didahului oleh beberapa orang Rasul (yang telah mati atau terbunuh). Jika demikian, kalau dia pula mati atau terbunuh, (patutkah) kamu berbalik (berpaling tadah menjadi kafir)? Dan (ingatlah), sesiapa yang berbalik (menjadi kafir) maka dia tidak akan mendatangkan mudarat kepada Allah sedikit pun dan (sebaliknya) Allah akan memberi balasan pahala kepada orang-orang yang bersyukur (akan nikmat Islam yang tidak ada bandingannya itu). Lalu umat Islam kembali kepada kewarasan mereka yang asal dan melihat siapakah yang bakal mengganti Nabi SAW dengan menuju ke serambi Bani Saadah bagi memilih Abu Bakar as-Siddiq RA sebagai Khalifah. Bai’ah ini di namakan sebagai Bai’ah Khas.

Bai’ah am bagi pelantikan Abu Bakar As-Siddiq r.a menjadi khalifah di masjid Nabi s.a.w: Adapun bai’ah umum berlaku ketika umat Islam berhimpun di Masjid Nabawi di Madinah. Sayidina Umar bin al-Khattab RA bangun serta menggesa orang ramai agar melakukan bai’ah terhadap Abu Bakar as-Siddiq atas kedudukan Abu Bakar salah seorang yang paling hampir dengan Baginda Rasulullah SAW dan merupakan salah seorang pelopor dari kalangan para sahabat dan amat erat dengan Rasulullah SAW.

Lantaran itu umat Islam menyokong cadangan Umar mereka telah melakukan bai’ah terhadap Abu Bakar sebagai khalifah dan bermula dari masa dan ketika itulah Saidina Abu Bakar As-Siddiq secara rasmi menjadi Khalifah bagi umat islam yang pertama.

Sebenarnya, bai`ah diamalkan dalam pelbagai bentuk dalam kumpulan masyarakat Islam. Ia bukan hanya diamalkan oleh oleh kumpulan berorientasi politik tetapi juga amalan biasa dalam perkumpulan sufi. Isu bai`ah ini amat relevan dalam usaha menangkis ideologi pelampau kerana ia adalah satu amalan yang juga digunapakai oleh kumpulan tersebut.

Amalan bai’ah pada asalnya bukanlah suatu yang melampau didalam agama, namun ia seringkali disalah gunakan oleh mereka yang mengaku atas nama Islam untuk melemahkan psikologi para pengikut dalam menjaga ketaatan mereka kepada organisasi.

Bai`ah dalam Islam boleh dibahagikan kepada dua bentuk iaitu Bai`ah Kubra (besar) . Bai`ah seperti ini biasanya dilafazkan kepada pemimpin negara Islam yang dilantik secara sah. Sementara Bai’ah yang kedua dikenali sebagai Bai`ah Sughra (kecil) iaitu bai`ah untuk bersepakat dan berjanji bersama-sama melakukan sesuatu kewajiban atau amalan.

Bai`ah Sughra ini diharuskan berdasarkan hadis yang bermaksud “Berkata Maimunah binte Raqiqah ‘Aku mendatangi Rasulullah SAW bersama kaum wanita. Kami membai`ahnya atas Islam. Lalu kami berkata ‘Wahai Rasulullah! Kami membai`ah kamu untuk tidak mensyirikkan Allah dengan sesuatu, kami tidak akan mencuri, kami tidak akan berzina, kami tidak akan membunuh anak-anak kami dan kami tidak akan mendatangi cerita bohong yang kami reka di antara dua tangan dan kaki kami, kami tidak akan melakukan maksiat terhadap kau dalam perkara yang makruf’ Berkata Rasulullah s.a.w, ‘Pada kadar yang kamu mampu dan berupaya’.....” ( Hadis Riwayat Imam Malik dan At-Termizi)

Hukum Bai`ah Sughra adalah sunat sahaja sebagai menguatkan azam untuk melakukan kebaikan secara bersama dan menghayati sunnah Nabi SAW. Namun bagi mereka yang telah memberi Bai`ah Sughra, wajiblah ke atasnya untuk memenuhi janji yang dibuat dalam bai`ah itu selama mana ia tidak bercanggah dengan syara’ dan syarat-syarat yang dinyatakan di atas. Hal ini adalah kerana Allah taala berfirman yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Tunaikanlah janji-janji kamu.” ( Surah Al-Maidah, ayat 1)

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud “Orang-orang Islam (diikat) bersama syarat-syarat mereka kecuali syarat-syarat yang mengharamkan yang halal atau menghalalkan yang haram.” (Riwayat At-Termizi, Ibn Majah & Abu Daud. Melanggar janji sedemikian bukan atas alasan yang syar`ii adalah berdosa. Oleh yang demikian, wajiblah bagi sesiapa yang ingin memberi bai`ah dalam apa jua perkara memberi pertimbangan yang berat terhadapnya dan tidak melakukannya secara mudah sahaja.

Begitu pula, sekiranya sebuah bai’ah itu diberi kepada sesuatu perkumpulan Islam asalnya,namun pengikut kumpulan tersebut merasakan tidak mampu kekal di dalam bai’ah berlaku ketidakselarian syara’.

Namun tidak boleh sesiapa pun mewajibkan orang lain untuk mengikut jejaknya dalam memberi bai`ah dan menyalahkan orang lain yang tidak melakukannya dengan tuduhan bahawa matinya akan seperti mati jahiliyah.

Adapun orang yang telah memberi bai`ah kemudian melanggar bai`ahnya secara tidak syar`ii, walaupun dia berdosa kerana melanggar janji tetapi tidak dikatakan sebagai terkeluar dari agama dan masuk ke neraka. Dia tidak pula dituduh sebagai telah keluar dari jemaah kaum Muslimin. Seseorang yang meninggalkan bai`ah yang mengandungi lafaz sumpah (wallahi, billahi, tallahi) hendaklah ia melakukan kaffarah sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud “Allah tidak menghukum kamu disebabkan sumpah-sumpahmu yang tidak dimaksud (untuk bersumpah), tetapi Dia menghukum kamu disebabkan sumpah-sumpah yang kamu sengaja, maka kafarat (melanggar) sumpah itu, ialah memberi makan sepuluh orang miskin, yaitu dari makanan yang biasa kamu berikan kepada keluargamu, atau memberi pakaian kepada mereka atau memerdekakan seorang budak.

Barang siapa tidak sanggup melakukan yang demikian, maka kafaratnya puasa selama tiga hari. Yang demikian itu adalah kafarat sumpah-sumpahmu bila kamu bersumpah (dan kamu langgar). Dan jagalah sumpahmu. Demikianlah Allah menerangkan kepadamu hukum-hukum-Nya agar kamu bersyukur (kepada-Nya).”


BB : Fikir masak-masak. Bai'ah bukan untuk dipermain-mainkan
Share this article

0 Komen:

Catat Ulasan

APA Kata Anda?
Ada berita dan info menarik di tempat anda? Kongsikan di SINI....

Nuffnang 3

MENARIK

BB Followers

 
Copyright © 2014 Belia Bangkit • All Rights Reserved.
Distributed By Free Blogger Templates | Template Design by BTDesigner • Powered by Blogger
back to top