Penumpang pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH128 dari Melbourne, Australia ke Kuala Lumpur, yang terpaksa berpatah balik ke Melbourne pada Rabu selepas seorang lelaki cuba menceroboh kokpit dan mendakwa mempunyai bom, memuji kru kabin pesawat itu dalam menangani detik cemas ketika di udara.
Susulan insiden mencemaskan itu, lebih 100 penumpang yang menaiki pesawat dengan kod penerbangan MH128D, selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 1.43 pagi Jumaat.
Rabu lepas, pesawat MH128 yang berlepas dari Lapangan Terbang Tullamarine, Melbourne pada jam 1.11 malam waktu Australia dan dijadual tiba di KLIA pada jam 5.28 pagi waktu Malaysia, terpaksa berpatah balik 30 minit kemudian selepas seorang penumpang mendakwa memilik bom dan cuba menceroboh kokpit.
Lelaki warga Sri Lanka, yang dipercayai menghadapi masalah kesihatan mental, bagaimanapun berjaya ditumpaskan oleh beberapa penumpang serta merebahkannya ke lantai dan mengikat tangan suspek.
Ketibaan penumpang itu ''disambut'' lebih 50 wartawan dan jurugambar di balai ketibaan KLIA untuk mendengar pengalaman dan detik cemas yang dilalui oleh mereka sebelum petugas MAS mengiringi mereka untuk menaiki bas sebelum dibawa ke sebuah hotel berdekatan.
Salah seorang penumpang, Oliver Speed, 25, memuji kru kabin MAS yang disifatkan telah bertindak dengan cukup pantas dalam insiden itu yang berlaku beberapa minit selepas pesawat itu berlepas.
"Saya duduk di barisan depan dan cemas apabila melihat kekecohan tersebut. Tetapi saya tahu semuanya akan berakhir dengan baik. Kru kabin berindak dengan cemerlang," kata pelajar itu kepada pemberita sejurus tiba di sini.
Berkongsi pendapat sama, seorang lagi penumpang, Emerson Tan, 41, dari London, yang sering menggunakan Malaysia Airlines, berkata syarikat penerbangan itu telah melakukan tugas yang baik dalam keadaan sedemikian.
"Saya tidak fikir kejadian itu benar-benar menjadi tanggungjawab syarikat penerbangan itu atau kesalahan pihak berkuasa Australia,"katanya.
Dalam pada itu, Ang Teck Huat, 56, menyifatkan drama itu berlaku ''di tempat dan waktu yang silap'' dan menjejaskan kira-kira 300 penumpang dalam pesawat.
Ang, yang berkunjung ke Melbourne untuk melawat anak-anaknya, berkata beliau tidak percaya dengan dakwaan ancaman bom kerana tahap pemeriksaan keselamatan di lapangan itu adalah sangat ketat.
"Anda tidak sama sekali dapat membawa masuk pisau yang kecil...malah ini pulak bom," katanya.
Selepas pesawat itu berpatah balik ke Melbourne, semua penumpang diberikan penginapan di hotel untuk bermalam sebelum penerbangan itu dijadual semula selepas 17 jam manakala penumpang dengan perjalanan sambungan seterusnya diberi keutamaan meninggalkan negara itu dengan pilihan menggunakan syarikat lain.
Media melaporkan suspek berusia 25 tahun, yang merupakan seorang penuntut jurusan sajian makanan itu baru sahaja keluar daripada sebuah pusat psikiatri di Clayton, Melbourne beberapa jam sebelum menaiki penerbangan tersebut. - BERNAMA
0 Komen:
Catat Ulasan
APA Kata Anda?
Ada berita dan info menarik di tempat anda? Kongsikan di SINI....