PETALING JAYA: Selepas mendakwa bertanggungjawab dalam insiden letupan bom di sebuah pusat hiburan di Puchong semalam, seorang rakyat Malaysia yang mengakui dirinya anggota IS sekali lagi menasihatkan umat Islam menjauhi tempat maksiat kerana akan ada serangan lain menyusul.
Muhamad Wanndy Mohamad Jedi berkata serangan awal pagi semalam sekadar amaran dan peringatan kepada kerajaan, khasnya Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Wanndy turut memberi amaran kepada Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayub Khan Mydin Pitchay.
Letupan yang dipercayai berpunca daripada bom tangan itu berlaku kira-kira jam 2.15 pagi ketika pengunjung menyaksikan perlawanan bola sepak Euro 2016.
Empat lelaki dan tiga wanita tempatan serta seorang wanita warga China cedera.
Bagaimanapun, Roger Hew, pemilik pub Movida di IOI Boulevard, Puchong, berkata serangan itu mungkin disasarkan terhadap pasangan suami isteri India yang mengunjung premis itu, dan berkisar soal peribadi.
Wanndy berkata serangan akan ditingkatkan dan memberi amaran kepada Khalid dan Ayub yang menurutnya “menzalimi kaum Muslimin”.
“Kami junud (tentera) khilafah daulah islamiyyah menasihati orang Islam agar menjauhi tempat maksiat, kesyirikan dan maqar-maqar ansar thoghut keldai tunggangan kafir laknatullah.
“Insyallah akan ada serangan lain akan menyusul. Ini bukanlah permulaan dan pengakhiran,” tulisnya dalam Facebook.
Wanndy pernah muncul dalam rakaman video dimuat naik ke laman Facebook Abu Hamzah Al-Fateh pada 22 Februari 2015, di mana seorang rakyat Syria disembelih di kem tahanan Raqqa, kerana dituduh menjadi pengintip rejim Presiden Bashar al Assad.
Bulan lalu, seramai 14 individu yang ditahan dipercayai mempunyai hubungan dengan Wanndy yang aktif merekrut anggota baru IS di Malaysia dan mengancam membunuh Perdana Menteri serta pegawai tertinggi polis.
Jumaat lalu, Khalid mencabar pejuang IS Malaysia di Syria pulang ke tanah air, susulan satu rakaman video menunjukkan pejuang IS Mohd Rafi Udin mengancam akan melancarkan serangan ke atas rakyat negara ini, termasuk ‘memenggal leher’ anggota polis di Bukit Aman.
0 Komen:
Catat Ulasan
APA Kata Anda?
Ada berita dan info menarik di tempat anda? Kongsikan di SINI....