Assalamualaikum Tan Sri,
1. Saya hanya mampu tersenyum dan menggeleng kepala apabila membaca kenyataan terbaru Tan Sri mengenai SOSMA, Khairudin Abu Hassan, Matthias Chang dan kehilangan berbilion ringgit.
2. Tan Sri menyatakan tidak membantah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) tetapi tidak bersetuju penahanan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dan Matthias Chang atas dakwaan mensabotaj ekonomi negara.
3. Kata Tan Sri lagi, tindakan mereka membuat laporan mengenai dakwaan salah laku 1MDB kepada pihak-pihak berkuasa dalam dan luar negara tidaklah boleh dikatakan sebagai satu tindakan sabotaj bawah Seksyen 124L Kanun Keseksaan, iaitu satu kesalahan keselamatan yang membolehkan penggunaan Sosma. Bukankah mereka sekadar melaksanakan tanggungjawab sebagai warganegara yang prihatin?
4. Saya tidak fikir Tan Sri begitu naif sehingga tidak nampak bagaimana tindakan mereka membuat laporan dan SIDANG AKHBAR SECARA BERTERUSAN DI DALAM DAN LUAR NEGARA telah memburukkan 1 Malaysia Development Berhad (1MDB), Perdana Menteri dan Malaysia.
5. Sebagai bekas Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Besar Johor, Tan Sri tentu tahu membezakan antara sabotaj ekonomi dengan tanggungjawab warganegara yang prihatin.
6. Kita tidak mahu melindungi sesiapa di dalam 1MDB sekiranya berlaku penyelewengan. Sudah banyak pihak membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis dan beberapa pihak berkuasa lain. Khairuddin Abu Hassan dan Mathias Chang juga telah membuat laporan kepada pihak berkuasa dalam negeri dan luar negara termasuk di Switzerland dan United Kingdom. Jika tidak percaya pihak berkuasa tempatan, apakah mereka juga merasakan pihak berkuasa Swiss dan UK dikawal oleh Perdana Menteri Mohd Najib Razak?
7. Tidak cukup dengan laporan mereka juga membuat sidang akhbar kepada media tempatan dan antarabangsa secara berterusan. Ini adalah satu sabotaj kepada ekonomi negara.
8. Tan Sri perlu ingat bahawa mereka masih tidak ditangkap sehinggalah mereka merancang untuk membuat satu lagi laporan kali ini kepada pihak berkuasa Amerika Syarikat pula. Mereka merancang untuk membuat laporan tersebut sempena kehadiran Perdana Menteri ke Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu dan pertemuan dengan pelabur-pelabur antarabangsa. Ketika negara dilanda krisis ekonomi dan matawang, apakah ini bukan satu tindakan mensabotaj ekonomi dan pentadbiran negara?
9. Kerajaan sedang berusaha untuk memulihkan 1MDB yang dibebani hutang terlalu besar iaitu sebanyak RM 42 Bilion, akibat pengambil alihan beberapa IPP (Penyedia Janakuasa Bebas). Untuk memulihkan syarikat ini ia memerlukan kestabilan dan kepercayaan pasaran. Sebaliknya dua “ekor” manusia ini secara berterusan menyerang 1MDB dan Perdana Menteri sehingga merencat usaha pemulihan syarikat dan juga ekonomi negara. Mereka mahukan 1MDB gagal supaya meruntuhkan ekonomi negara dan akhirnya memaksa Najib Razak berundur.
10. Menjawab pertanyaan Tan Sri, “Adakah 1MDB terlalu kebal sehinggakan pihak yang mengkritik dan membuat laporan terhadapnya didakwa di mahkamah?”, sudah tentu jawapannya tidak. Fakta dan kronologi jelas menunjukkan mereka tidak didakwa kerana membuat laporan ke atas 1MDB.
11. Tan Sri membuat kenyataan bahawa telah berlaku penyelewengan dan perompakan harta negara dengan jumlah berbilion ringgit. Ini merupakan satu tuduhan yang serius dari seorang bekas Timbalan Perdana Menteri yang masih memegang jawatan Timbalan Presiden dalam UMNO.
12. Malangnya, sehingga hari ini Tan Sri langsung tidak membuat sebarang laporan rasmi kepada SPRM dan Polis? Mengapa Tan Sri perlu berselindung di sebalik bidak-bidak cabuk seperti Khairudin Abu Hassan yang baru bebas muflis secara misteri; dan Mathias Chang yang saya fikir mempunyai simptom “paranoid personality disorder”.
13. Seorang yang berfikiran waras pastinya akan bertanya mengapakah Tan Sri Muhyiddin Yassin hanya berani membuat kenyataan akhbar, bukannya tampil membuat laporan dan menunjukkan bukti atas tuduhan yang dibuat.
14. Jika berani kerana benar seperti mana Tan Sri laungkan, mengapa Tan Sri sendiri sebagai pemimpin besar Umno tidak tampil membuat laporan dan menentang para petualang ini; sebaliknya Tan Sri berlindung di belakang dua orang manusia “paranormal” ini untuk berjuang?
15. Akhirul kalam, ada beza besar antara membuat laporan untuk siasatan penyelewengan dengan mengembara ke serata dunia memburukkan Perdana Menteri dan Malaysia. Apatah lagi ia dilakukan ketika ekonomi dunia dalam keadaan tidak menentu dan kerajaan mempunyai keutamaan untuk memulihkan 1MDB bagi mengelakkan ia menjadi beban seperti Perwaja, MAS dan Hicom.
Amin Yatim
Petaling Jaya (MYKMU.NET)
BBNews : Kura-kura dalam perahu, Hanya Tan Sri yang tahu...
0 Komen:
Catat Ulasan
APA Kata Anda?
Ada berita dan info menarik di tempat anda? Kongsikan di SINI....