KOTA KINABALU - Barisan Nasional (BN) mengekalkan pemerintahan Sabah dengan majoriti dua pertiga apabila menguasai 48 daripada 60 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) semalam.
BN Sabah, yang dipimpin oleh Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman, turut menyumbang 22 daripada 25 kerusi Parlimen di negeri itu untuk membolehkan BN menubuhkan kerajaan di peringkat pusat.
Bagaimanapun, BN Sabah kali ini kehilangan 12 kerusi Dun berbanding tiga pada PRU 2008.
PKR berjaya menembusi tujuh kawasan Dun iaitu Api-Api, Moyog, Kadamaian, Matunggong, Tamparulli, Klias dan Inanam manakala DAP, yang sebelum ini memiliki satu kerusi Dun, menambah empat kerusi iaitu Luyang, Kapayan, Sri Tanjong dan Likas.
Parti Reformasi Sabah (STAR) pula menang kerusi tunggal di Bingkor.
Walaupun hilang lebih banyak kerusi Dun, BN Sabah menambah dua lagi kerusi Parlimen kepada 22 berbanding 20 pada 2008.
BN Sabah gagal mempertahankan kerusi Parlimen Penampang apabila penyandang Tan Sri Bernard Dompok merangkap Presiden Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) tewas kepada calon PKR Ignatius Dorell Leijing dengan majoriti 10,216 undi.
Nasib sama menimpa Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP), Datuk Liew Vui Keong, yang gagal mempertahankan kerusi Parlimen Sandakan.
Liew, yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, ditewaskan oleh calon DAP, Wong Tien Fatt dengan majoriti 1,088 undi.
Wong Sze Phin pula mengekalkan kerusi Parlimen Kota Kinabalu, iaitu kerusi tunggal DAP di Sabah, dengan mengatasi calon BN Chin Tek Ming dan Michael Liew dari STAR dengan majoriti 18,959 undi.
Musa, yang juga Pengerusi BN negeri, pada sidang media di kediaman rasmi Ketua Menteri di Sri Gaya di sini, menyifatkan prestasi BN itu membuktikan rakyat masih menerima BN sebagai parti pemerintah.
"Saya dan rakan-rakan terharu dengan sokongan yang diberikan oleh rakyat Sabah dan berjanji tidak akan mensia-siakan mandat yang diberikan itu malahan kami akan bekerja keras bagi memenuhi kehendak rakyat dengan berkhidmat dengan lebih baik," katanya.
Sambil mengucapkan terima kasih kepada rakyat Sabah yang memberi kepercayaan kepada BN, Musa berjanji untuk memperbaiki corak pentadbiran bagi meningkatkan usaha membawa pembangunan di Sabah.
Mengenai kekalahan tiga kerusi Parlimen itu, katanya beliau menerima keputusan rakyat dengan hati terbuka.
"Yang penting kita telah bekerjasama dan kita akan membuat analisa dan kajian teliti untuk diperbaiki di kawasan yang kalah termasuk di DUN Api-Api yang diwakili Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Dr Yee Moh Chai.
--BERNAMA
0 Komen:
Catat Ulasan
APA Kata Anda?
Ada berita dan info menarik di tempat anda? Kongsikan di SINI....