Februari menjelma lagi. Anak muda khususnya yang sedang bercinta amat menantikan saat dan tarikh ini. "Valentine Day" yang dianggap sebagai "Hari Kasih Sayang" ditunggu-tunggu dengan penuh debaran.
Setiap tahun, tanggal 14 Februari, media-media massa akan mula mengiklankan sambutan Hari Valentine. Pelbagai acara dianjurkan, restoran-restoran, hotel-hotel, kedai-kedai bunga dan sebagainya akan mula mempromosi sambutan hari Valentine di premis-premis perniagaan mereka.
Dari manakah asal usulnya sambutan perayaan ini? Jika dicari di internet, kita akan menemui versi cerita yang berbeza-beza, yang mana tidak dapat diketahui mana satukah kisah yang sahih. Akan tetapi, secara jelasnya kita dapat melihat bahawa hari Valentine bukanlah daripada ajaran Islam, sebaliknya ia membawa unsur-unsur yang merosakkan akidah dan moral umat Islam, khususnya golongan muda.
Pertama: Ia merupakan satu budaya yang menyerupai bukan Islam. Hari Valentine merupakan perayaan yang dikaitkan dengan bukan Islam. Bahkan di dalam sebahagian tulisan, dinyatakan bahawa ia merupakan satu bid’ah yang direka-reka di dalam agama Kristian. Di dalam sumber yang lain dinyatakan bahawa ia berasal daripada kaum Roman kuno, dan ditiru oleh kaum Kristian. Pokoknya di sini, perayaan ini adalah milik bukan Islam, bahkan boleh jadi ia adalah satu bid’ah yang direka cipta di dalam ajaran Kristian.
Sedangkan meniru identiti Ahlul Kitab dilarang, inikan pula meniru bid’ah yang direka-reka di dalam agama mereka. Bahkan, jika ia bukan merupakan perayaan bukan Islam sekalipun, kita tetap dilarang menyambutnya, kerana ia merupakan satu hari yang terbina berasaskan maksiat kepada Allah, iaitu hubungan terlarang antara insan yang tidak halal. Kita bukan hanya dilarang meniru bukan Islam, bahkan kita dilarang meniru identiti ahli maksiat.
Sedangkan meniru identiti Ahlul Kitab dilarang, inikan pula meniru bid’ah yang direka-reka di dalam agama mereka. Bahkan, jika ia bukan merupakan perayaan bukan Islam sekalipun, kita tetap dilarang menyambutnya, kerana ia merupakan satu hari yang terbina berasaskan maksiat kepada Allah, iaitu hubungan terlarang antara insan yang tidak halal. Kita bukan hanya dilarang meniru bukan Islam, bahkan kita dilarang meniru identiti ahli maksiat.
Dalil tentang hal ini sangat banyak, antaranya;
Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wassalam bersabda: “Barangsiapa menyerupai sesuatu kaum, maka dia sebahagian daripada mereka” [HR Abu Daud no: 4031, Ahmad dan lain-lain. Shaikh al-Albani mensahihkannya di dalam Sahih Abi Daud]
Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wassalam sangat tegas untuk berbeza daripada identiti orang kafir, hatta di dalam bab keduniaan sekalipun.
Shaikh al-Islam al-Imam Ibn Taimiyyah Rahimahullah menyebutkan:
Terdapat kesepakatan (ijma’) tentang haramnya hukum meniru orang kafir di dalam perayaan mereka ketika zaman Sahabat radiallahu anhum ajmai’n [Iqtidha al-Sirat al-Mustaqim 1/454]. Anak murid beliau, al-Imam Ibn al-Qayyim al-Jauziyyah menyatakan bahawa terdapat ijma’ para ulama’ di dalam isu ini [Ahkam Ahl az-Zimmah 2/722-725].
Kedua: Objektif perayaan ini adalah untuk menyuburkan rasa cinta termasuk dengan orang bukan Islam. Ini jelas-jelas bertentangan dengan ajaran islam. Allah Subhanahu Wa Taala berfirman:
“Kamu tidak akan mendapati kaum yang beriman pada Allah dan hari akhirat, saling berkasih-sayang dengan orang-orang yang menentang Allah dan RasulNya, sekalipun orang-orang itu bapa-bapa, atau anak-anak atau saudara-saudara ataupun keluarga mereka” [al-Mujadilah 58:22].
Kata Ibn Taimiyyah Rahimahullah: “Allah menyatakan kepada kita bahawa tiada orang beriman yang akan mengambil orang kafir sebagai teman rapat mereka. Sesiapa yang mengambil orang kafir sebagai teman rapat mereka adalah bukan orang yang beriman. Meniru-niru mereka adalah salah satu bentuk cinta, maka ia adalah terlarang.” [al-Iqtidha’ 1/490]
Ketiga: Cinta yang dipromosi melalui hari Valentine adalah cinta kepada bukan mahram. Ia adalah satu salah satu jalan yang mendekatkan kita kepada zina. Kita dapat lihat bagaimana pada 14 Februari, pasangan bukan mahram akan asyik berdua-duaan, keluar bersama, merayakan bersama-sama di restoran-restoran, hotel-hotel. Kesemua ini dilakukan atas alasan untuk menzahirkan rasa cinta, sedangkan perlakuan itu hanya layak dilakukan seorang suami atau isteri kepada pasangannya yang halal sahaja, bukan kepada mereka yang bukan mahram.
Allah Subhanahu Wa Taala secara jelas menerangkan kepada kita agar menjauhi hal-hal yang mendekatkan kita kepada zina. Firmannya“Dan janganlah kamu mendekati zina, sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji dan yang buruk” [Al Isra’ 17: 32].
Tanggungjawab Muslim
Berdasarkan hujah-hujah yang telah dikemukakan di atas, terdapat beberapa kewajipan yang perlu dimainkan oleh umat Islam di dalam isu ini:
Pertama: Seorang Muslim tidak boleh menyambutnya, atau menyertai orang lain di dalam sambutan tersebut sama ada dengan menghadiri atau membantu mereka yang menyambutnya.
Al-Imam Az-Zahabi menyebutkan: Seandainya orang-orang Kristian dan Yahudi mempunyai sesuatu perayaan yang dimiliki mereka, maka tidak boleh seorang Muslim menyertai mereka (di dalam sambutan itu), sebagaimana dia tidak menyertai mereka di dalam agama ataupun arah kiblat solat” [Tasyabbuh al-Khasis bi Ahl al-Khamis]
Kedua: Seorang Muslim tidak boleh membantu sama ada umat Islam atau bukan Islam yang menyambutnya. Ini termasuklah menyediakan tempat sambutan, mengiklankan, menjual barangan yang berkaitan seperti kad ucapan, kek dan lain-lain. Ini kerana ia termasuk di dalam membantu mereka melakukan kemungkaran. Firman Allah Subhanahu Wa Taala:
“Bertolong-tolonglah kamu dalam melakukan kebajikan dan taqwa dan janganlah kamu bertolong-tolongan dalam perbuatan dosa dan permusuhan” [al-Maidah 5:2].
Ketiga: Seorang Muslim hendaklah mengingatkan saudara seIslam yang lain tentang larangan menyambut hari Valentine. Ibn Taimiyyah rahimahullah berkata:
“Sebagaimana kita tidak sepatutnya meniru mereka di dalam sambutan perayaan, maka kita juga tidak sepatutnya membantu umat Islam yang lain menyambutnya, bahkan dia sepatutnya diperingatkan untuk tidak melakukannya” [al-Iqtidha 2/519-520].
Peringatan: Kita bersama orang-orang yang kita cintai
Merayakan hari Valentine, merupakan satu bentuk pengagungan ke atas lagenda cinta yang dikaitkan dengan hari tersebut. Sudah jelas kepada kita latar belakang sejarahnya, walau dari versi mana sekalipun, adalah berasal daripada orang bukan Islam.
Di dalam sebuah hadis, Anas bin Malik Radiallahu ‘anhu menyatakan:
“Kami tidaklah pernah merasa gembira sebagaimana rasa gembira kami ketika mendengar sabda Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam: Engkau akan bersama dengan orang yang engkau cintai”
Anas Radiallahu ‘Anhu pun menyatakan:
“Maka aku mencintai Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wassalam, Abu Bakar, dan Umar. Aku berharap untuk bersama dengan mereka kerana cintaku pada mereka, walaupun aku tidak mampu beramal seperti amalan mereka” [Sahih al-Bukhari no: 3688]
Sumber : Klik Sini
Sumber : Klik Sini
0 Komen:
Catat Ulasan
APA Kata Anda?
Ada berita dan info menarik di tempat anda? Kongsikan di SINI....