Nuffnang

SUARA BELIA KIAN DOMINAN



UMUM menyedari istilah belia kian popular di negara ini. Jika sebelum ini belia banyak dikaitkan dengan fenomena sosial dan permasalahannya, namun istilah belia terus digunakan pada pelbagai bidang kehidupan.

Dengan jumlah populasi belia di negara ini mencecah 12 juta iaitu 42.8 peratus daripada keseluruhan 28 juta penduduk, sudah pasti kewujudan belia membentuk satu sinergi yang mampu mencorakkan landskap sosioekonomi dan politik negara.

Menyedari kepentingan belia terhadap kelangsungan negara, kerajaan melancarkan enam inisiatif Transformasi Belia Malaysia yang meliputi keperluan belia masa kini iaitu Parlimen Belia Malaysia, VyRec (ruang interaksi maya), MyIcon (ikon belia), MyCorp (sukarelawan belia Malaysia), MyPark (Pusat Sehenti Kegiatan Belia) dan The Leader (kepemimpinan belia).

Jika diamati keseluruhan enam inisiatif besar di atas, ia satu usaha radikal kerajaan untuk menyediakan ruang dan peluang untuk golongan belia mempertingkatkan peranan serta sumbangan kepada pembangunan negara.

Parlimen Belia Malaysia yang akan mengumpulkan individu belia berusia 25 tahun ke bawah dengan mewakili 222 kawasan Parlimen pasti akan mencipta sejarah sebagai platform belia menyuarakan pandangan terhadap isu semasa secara langsung.

Bagi Majlis Belia Malaysia (MBM), ia satu lonjakan buatnya untuk memastikan suara golongan belia terus didengari. Jika sebelum ini suara belia bergema di Majlis Perundingan Belia Negara, pasti nanti ia akan lebih hangat dan pelbagai melalui Parlimen Belia Malaysia.

Justeru, jika kini masih ada yang mendakwa suara orang muda tidak didengari (termasuk mahasiswa), ia adalah dakwaan melulu oleh sesetengah individu yang tidak sabar dan tiada ketahanan dalam memperjuangkan idealismenya. Hakikat golongan belia sedang mewarnai dan mempengaruhi rupa bentuk masyarakat bukan sahaja berlaku di Malaysia, malah di seluruh dunia.

Sinergi orang muda sentiasa dikaitkan dengan keupayaan idea baru, keupayaan menguasai ilmu terkini dengan berbantukan ICT. Jurang pemikiran kelihatan makin meluas seiring perbezaan usia seseorang individu.
Dalam julat umur belia sedia ada iaitu 15 hingga 40 tahun kini sudah wujud jurang seperti dalam soal minat, pilihan kerjaya, sikap dan perhubungan. Sudah pasti jurang ini makin jelas dan luas bagi golongan yang lebih berusia.

Pertembungan ini kadang-kadang mewujudkan konflik pemahaman yang tidak berkesudahan dan meletihkan. Sebagai contoh, saya pernah ditempelak seseorang melalui panggilan telefon sewaktu siaran langsung temuramah radio (pemanggil mungkin agak berusia – bukan belia) yang meminta agar isu belia tidak lagi diperkatakan kerana seolah-olah ‘orang lama’ sepertinya tidak berjasa dan tidak berguna lagi.

Hal sedemikian menginsafkan saya betapa pentingnya bagi kita untuk mencari titik pertemuan agar konflik seperti ini tidak berpanjangan. Jika tidak, kedua-dua pihak akan dihurung rasa curiga, prejudis dan permusuhan sehingga menidakkan manfaat yang sepatutnya diraih melalui satu bentuk perhubungan ‘menang-menang’ yang harmoni. Bentuk perhubungan yang berkesan di antara dua golongan ini ialah yang berasaskan sikap penghormatan dan keterbukaan. Orang muda mesti menghormati jasa dan sumbangan golongan lebih tua manakala kehadiran orang muda perlu diterima dengan dada terbuka.

Proses ini harus berterusan umpama membina laluan air yang mengalir dari puncak gunung yang mungkin berbeza laluannya, tetapi akhirnya bertemu di lautan.

Aliran air yang diurus dengan baik akan menzahirkan tanaman subur manakala aliran air yang diempang dan terus dikepung pasti melimpah dan mencetus bencana. Bagi memastikan belia memenuhi keperluan pembangunan negara, MBM menerapkan elemen 3K dalam usaha pembangunan belia iaitu Kepemimpinan, Kemahiran dan Keusahawanan.

Bagi tahun 2012 yang amat mencabar ini, kerajaan merancang bajet pembangunan belia yang teliti bagi memastikan belia dapat memainkan peranan bagi menjayakan gagasan transformasi negara. Dave Ulrich, Norm Smallwood dan Kate Sweetman dalam bukunya ‘The Leadership Code,’ 2008, menyatakan terdapat lima rukun harus dipatuhi untuk melahirkan pemimpin yang baik iaitu, i) membentuk masa depan, ii) menjadikan sesuatu usaha sebagai kenyataan, iii) menggembleng bakat masa kini, iv) membina generasi akan datang, dan v) membuat pelaburan kepada pembangunan diri.

Semua yang dinyatakan di atas adalah asas bagi memastikan belia aset paling bernilai demi kelangsungan dan pembinaan negara bangsa Malaysia. Namun sesuatu yang lebih penting juga ialah kesanggupan golongan belia untuk dibentuk dan dibimbing sehingga menjadi warga yang baik.
Dalam kerangka masyarakat Malaysia, belia akan dilihat unggul jika memenuhi ciri-ciri individu yang berilmu, tegas, rajin, tekun, proaktif, berbudi tinggi dan bersopan.

Sifat angkuh, kasar, melulu serta ganas akan meletakkan belia di kedudukan paling bawah dalam masyarakat. Kini, terpulang kepada belia untuk menentukan nilai yang ingin diletakkan padanya, sama ada menjadi harta paling bernilai atau beban menyusahkan masyarakat.


Mohamed Maliki Mohamed Rapiee
Penulis berkelulusan Sarjana Pendidikan (Bimbangan dan Kaunseling) USM

Sumber : Majlis Belia Malaysia (MBM)
Share this article

0 Komen:

Catat Ulasan

APA Kata Anda?
Ada berita dan info menarik di tempat anda? Kongsikan di SINI....

Nuffnang 3

MENARIK

BB Followers

 
Copyright © 2014 Belia Bangkit • All Rights Reserved.
Distributed By Free Blogger Templates | Template Design by BTDesigner • Powered by Blogger
back to top