Nuffnang

SIAPA YANG RUGI : Antara PAS, DAP Dan Orang Melayu


BERDASARKAN sejarah politik, Pas dan UMNO sememangnya ‘musuh politik’ sejak 1950-an lagi. Kedua-dua parti pernah bersatu seketika dalam Barisan Nasional (BN) selepas peristiwa 13 Mei 1969. Bagaimanapun ini tidak lama, pada 1978, Pas meninggalkan BN.

Sejak itu permusuhan politik antara kedua-dua parti induk Melayu tersebut berterusan ter­utamanya dalam usaha menguasai negeri di kawasan Pantai Timur seperti Kelantan, Terengganu dan Pahang manakala di utara pula melibatkan Kedah dan Perak.

Mulai 1990 sehingga hari ini Pas masih menguasai Kelantan, pernah sepenggal memerintah Terengganu pada 1999 dan Kedah pada 2008. Di Perak pula, Pas diangkat seketika menjadi Menteri Besar apabila pakatan pembangkang yang diketuai DAP menang dalam pilihan raya umum 2008.

Bagaimanapun dari semasa ke semasa, pengaruh politik Pas semakin melemah. Tindakan Pas bersekutu dengan DAP dalam pakatan pembangkang lebih banyak merugikan parti itu kerana mereka terpaksa mengikut telunjuk DAP yang disokong oleh PKR.

Kini Pas sudah sedar dan membuat keputusan meninggalkan pakatan pembangkang yang diberi nama baharu iaitu Pakatan Harapan tetapi ‘taikonya’ tetap sama iaitu DAP. Cuma kali ini, selain PKR, pakatan tersebut mempunyai dua parti serpihan baharu iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan PAN.

PPBM adalah parti serpihan UMNO manakala PAN adalah parti serpihan Pas. Kedua-dua parti akan bertanding kali pertama dalam pilihan raya umum akan datang. Ketika ini mereka sedang berusaha berunding dan menagih simpati DAP dan PKR untuk mendapat kerusi.

Walaupun Pas sudah tidak lagi berada dalam Pakatan Harapan namun mereka bukanlah sekutu politik UMNO. Sejak Pas ­meninggalkan pakatan itu, dalam soal berkaitan kepentingan orang Melayu dan umat Islam sudah ada perubahan.

Pas seperti mana kata Ketua Dewan Pemudanya, Nik Abduh Nik Abdul Aziz hanya bersedia bekerjasama dengan UMNO untuk perpaduan ummah dan agama manakala dalam pilihan raya, kata beliau: “Pas hanya melihat UMNO sebagai satu-satunya lawan mereka.”

Tidak mengapalah kalau Pas mahu terus ‘berperang’ dalam politik, tetapi apa yang lebih penting kedua-dua parti besar orang Melayu itu sudah menunjukkan persefahaman berkaitan isu yang wajib mereka bersatu. Justeru kenyataan Nik Abduh yang mengingatkan penyokong Pas supaya tidak menganggap UMNO sebagai ‘musuh sampai akhirat’ adalah satu pandangan yang bernas.

Orang Melayu di dalam kedua-dua parti itu sudah tidak mampu lagi terus berpecah-belah atau bermusuhan ketika parti Melayu lain yang berada di dalam Pakatan Harapan semakin tunduk kepada kehendak politik DAP.

PKR, PPBM dan PAN adalah parti yang dikuasai orang ­Melayu, tetapi kelicikan politik DAP ­telah memungkinkan ketiga-tiga parti itu terus bermusuh dengan UMNO. Malah ada antara mereka terlalu takut untuk bercakap soal agenda Melayu dan Islam kerana bimbang akan dibidas oleh DAP.

Apa yang berlaku kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin sudah menjadi bukti. Keikhlasan Presiden PPBM itu yang mencadangkan supaya Pakatan Harapan berteraskan Melayu ditolak mentah-mentah oleh pemimpin DAP. Malangnya, tidak ada pemimpin PPBM, PKR mahupun PAN yang bangun mempertahankan Muhyiddin walaupun mereka juga ialah orang Melayu. Keadaan itulah yang menyebabkan DAP tidak pernah takut untuk melaksanakan agenda politiknya biarpun di dalam Pakatan Harapan ada tiga parti dipimpin oleh orang Melayu.

Oleh itu, orang Melayu tidak boleh bergantung harap dengan ketiga-tiga parti berkenaan bagi memperjuangkan kepentingan mereka dan agama Islam. DAP sememangnya bijak berpolitik, mereka berusaha untuk berpura-pura tidak dominan dalam Pakatan Harapan. Mereka bermuka-muka berbaik-baik dengan pemimpin-pemimpin PPBM yang satu ketika dahulu musuh ketat mereka.

DAP sanggup berbuat demikian kerana mereka mahu memastikan orang Melayu terus berpecah-belah akibat perbezaan politik. ­Ternyata strategi mereka berjaya. Bagi tujuan itu juga, DAP sanggup ‘berkorban’ untuk memberikan jawatan Ketua Pembangkang kepada pemimpin Melayu iaitu Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail. Bagi mereka, jawatan itu tidak ­penting walaupun mereka mempunyai kerusi lebih banyak daripada PKR. 

Ini kerana DAP memahami PKR tidak akan berani melawan kehendak politik mereka. Pemimpin-pemimpin DAP beranggapan biarlah tidak ada jawatan asalkan ada kuasa. Inilah yang pernah mereka lakukan di Perak suatu ketika dahulu, walaupun yang menjadi Menteri Besar adalah daripada Pas, tetapi remote control pentadbiran negeri dikawal oleh mereka.

Sebab itulah, pemimpin-­pemimpin DAP tidak ghairah untuk memegang jawatan dalam Pakatan Harapan kerana mereka tahu mahu tidak mahu sama ada PKR,PPBM mahupun PAN tetap akan tunduk kepada mereka dan sekali gus memastikan orang Melayu tidak mampu untuk bersatu akibat berbeza fahaman politik.

Kesudahannya yang akan rugi adalah orang Melayu kerana mereka bagaikan ‘antan sama antan berlaga, ayam yang kenyang’ dan strategi DAP itu semakin di­sedari oleh Pas sebab itulah parti itu sedia berbaik-baik dengan UMNO demi kepentingan orang Melayu dan umat Islam.

Share this article

1 Komen:

  1. Melayu yang kena screw ni yang tiada hati perut sanggup bersengkongkol dgn cina Dap yng memang benci akan pemerintahan orang Melayu apalagi raja raja Melayu...mereka nak.jadikan Malaysia ni republik.. Itu belum.kes mereka nk mghalalkan semua perkara yang menyalahi Islam...lgbt..pluralism dan liberalism... Tak fahamlah Melayu screw ni..kat hati mereka ni ada Iman k tak

    BalasPadam

APA Kata Anda?
Ada berita dan info menarik di tempat anda? Kongsikan di SINI....

Nuffnang 3

MENARIK

BB Followers

 
Copyright © 2014 Belia Bangkit • All Rights Reserved.
Distributed By Free Blogger Templates | Template Design by BTDesigner • Powered by Blogger
back to top