Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri, Datuk Seri Zainal Abidin Osman dalam satu kenyataan bersama media semalam menolak dakwaan kononnya jentera parti itu menyogok pengundi ketika berkempen rumah ke rumah pada waktu malam.
Beliau mengakui bahawa jentera BN sememangnya berkunjung ke rumah pengundi pada waktu malam, namun pihaknya tidak melakukan perkara seperti yang didakwa oleh pihak pembangkang.
Zainal berkata, adalah tidak wajar mendakwa bahawa BN menyogok pengundi kerana sepanjang pertemuan, semua petugas hanya bersembang dan bertanya khabar sahaja.
"Pihak lawan tergugat apabila lihat jentera BN kerja siang malam, mereka tuduh kata kita beri rasuah."
"Memang jentera ada pergi ke rumah penduduk waktu malam. Itu pun kerana penduduk bekerja pada waktu siang dan kita tamatkan semua sebelum jam 10 malam kerana faham orang mahu berehat," katanya pada sidang media Pusat Operasi BN di Bukit Mertajam.
Beliau mengulas dakwaan Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli yang menuduh Barisan Nasional (BN) memberi rasuah ketika berkempen dari rumah ke rumah pada waktu malam.
Difahamkan, Rafizi telah membuat dakwaan berkenaan ketika beliau mengadakan ceramah di kawasan Bukit Mertajam, baru-baru ini.
Memetik kenyataan Rafizi ketika dalam sidang media di Penanti, semalam, beliau menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) supaya menbuat penyiasatan mengenai kempen jentera BN dari rumah ke rumah selepas jam 10 malam hingga 12 tengah malam.
"Kita bimbang kempen ini membawa unsur yang tidak sihat seperti pemberian duit untuk mendapatkan undi dan sebagainya kerana dijalankan selepas jam 10 malam ke atas. Kita minta SPR menyiasatnya," katanya. - Utaranews.com
0 Komen:
Catat Ulasan
APA Kata Anda?
Ada berita dan info menarik di tempat anda? Kongsikan di SINI....