Menghidu kekalahan ketika proses pengundian di Pejabat PKR Kemaman di Jalan Jakar, Chukai berlangsung, kem Rafizi membuat provokasi termasuk mengoyakkan kertas undi. Provokasi bertujuan untuk menghentikan proses pemilihan PKR Cabang Kemaman kelmarin kira-kira dua jam sebelum tempoh pengundian tamat jam 5 petang.
Calon Timbalan Ketua Cabang Kemaman, Lee Sheng Lim, berkata kekecohan bermula pada jam 11.30 pagi lagi apabila penyokong penyandang Ketua Cabang, Rafizi Ramli melihat pencabarnya, Mohd Ramlee Hamzah mendapat sokongan kuat daripada pengundi.
Beliau berkata, bermula daripada itu, Rafizi dan penyokongnya memulakan provokasi lisan dengan mendakwa jawatankuasa pemilihan tidak melakukan tugas dengan betul, selain mengeluarkan kata-kata kesat hingga berlaku pertikaman lidah antara dua pihak.
“Rafizi kemudian naik ke tempat pengundian dan marah-marah mengatakan kami tidak pandai bekerja. Selepas itu beliau turun semula ke bawah, sebelum beberapa penyokongnya naik dan mengoyakkan kertas undi.
“Kejadian itu mengejutkan dan mencetuskan suasana panik dalam kalangan pengundi. Kami tidak mampu berbuat apa-apa selain meminta mereka bertenang. Namun keadaan menjadi semakin kecoh hingga akhirnya proses pemilihan terpaksa dihentikan jam 2.45 petang.”
Pada pemilihan kelmarin, Rafizi yang juga penyandang sejak 2010 ditentang Mohd Ramlee selaku ahli biasa, manakala Sheng Lim, bekas naib ketua cabang Kemaman bertanding jawatan itu buat kali pertama.
"Kejadian ini amat memalukan kerana ia dimulakan oleh pemimpin PKR sendiri. Kalau pemimpin sendiri menunjukkan contoh tidak baik begini, bagaimana parti ini mampu menjadi parti yang baik untuk rakyat.
“Disebabkan masalah ini, pemilihan terpaksa ditangguhkan pada 10 Mei nanti. Kami amat berharap supaya Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) tidak melakukan pengundian semula bagi mereka yang sudah mengundi, sebaliknya hanya menyambung kembali proses pemilihan kepada ahli yang belum menunaikan tanggungjawab mereka,” katanya.
Sumber dalaman PKR yang enggan namanya disiarkan berkata, Mohd Ramlee menjadi saingan hebat Rafizi yang dilihat sebagai calon tidak disenangi rakyat dan didakwa hanya pandai berkata-kata, tetapi tidak pernah turun padang dan cakna masalah rakyat.
- SUMBER
0 Komen:
Catat Ulasan
APA Kata Anda?
Ada berita dan info menarik di tempat anda? Kongsikan di SINI....