GEORGETOWN - Sembilan orang cedera, seorang daripadanya parah dalam kejadian angin kencang yang melanda 21 kawasan di Pulau Pinang pada pukul 6.45 petang hari ini.
Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata kejadian itu mengakibatkan sebuah pemancar telekomunikasi di atas Menara Umno di Jalan Macalister di sini jatuh dan menghempap beberapa kenderaan yang diparkir di tepi jalan.
Katanya, tujuh kenderaan termasuk sebuah lori pikap rosak teruk akibat dihempap pemancar telekomunikasi sepanjang kira-kira 20 meter itu dan pemandu lori berkenaan cedera parah.
"Di daerah Timur Laut terdapat lapan tempat yang terlibat di mana ada yang pokok tumbang dan yang serius sekali di Jalan Macalister di mana antena (pemancar telekomunikasi) atas bangunan Menara Umno telah jatuh dan mengakibatkan seorang (pemandu lori pikap) cedera parah.
"Bagi daerah Seberang Perai Tengah ada dua tempat yang terlibat dan daerah Seberang Perai Utara ada 10 kawasan terlibat manakala di daerah Barat Daya melibatkan satu kawasan," katanya kepada pemberita di tempat kejadian di Jalan Macalister di sini malam ini.
Abdul Rahim berkata kejadian itu juga mengakibatkan paip bawah tanah di jalan berkenaan pecah.
Beliau berkata agensi kerajaan akan memberi bantuan segera bagi memulihkan keadaan dan beliau menyeru orang ramai agar memberi kerjasama kepada pihak berkuasa.
"Masyarakat jangan marah kepada keadaan lalu lintas yang sesak dan saya akan pastikan jalan laluan berjalan dengan lancar dalam masa yang singkat," katanya.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Lebuh Pantai Ismail Mohd Zain berkata pihaknya menerima panggilan daripada orang awam pada 6.55 petang melaporkan kejadian itu.
"Apabila sampai, kita dapati pemancar telekomunikasi di atas bangunan ini jatuh dan menghempap beberapa kenderaan. Yang cedera parah adalah daripada lori pikap yang membawa tong gas, yang lain-lain cuma cedera ringan.
"Buat masa ini keadaan kembali stabil cuma kita nak kosongkan kawasan ini dan nak tinjau bangunan. Setakat ini, pada zahirnya bangunan ini selamat kerana yang jatuh itu adalah alat komunikasi yang dipasang bukan struktur bangunan," katanya.
Saksi kejadian, Imam Masjid Pakistan Hafiz Mohamad Akhlaq, 32, berkata ketika kejadian beliau berada di dalam masjid sebelum mendengar bunyi kuat seperti gempa bumi.
"Nasib baik saya berada di dalam masjid kerana selalunya saya akan duduk di luar kawasan masjid sementara menunggu waktu Maghrib. Selepas mendengar bunyi kuat itu saya dapati antena telekomunikasi menghempap sebuah kereta," katanya.
Seorang lagi saksi yang turut berada di dalam masjid itu, Mohd Yasin Hamid, 59, berkata beliau bersyukur kerana pemancar telekomunikasi itu tidak menghempap masjid kerana masjid itu terletak di hadapan Bangunan Umno.
"Memang satu keajaiban kerana pemancar itu tidak jatuh menghempap masjid sebaliknya jatuh ke jalan raya," katanya. - Bernama
0 Komen:
Catat Ulasan
APA Kata Anda?
Ada berita dan info menarik di tempat anda? Kongsikan di SINI....