"Baru mereka tahu betapa pentingnya pertahanan yang dilakukan tentera dan polis. Saya tidak mahu masyarakat kita terlalu selesa, kita hendaklah mempunyai kesiapsiagaan pada peringkat optimum sesuai dengan konsep Hanruh iaitu pertahanan menyeluruh, rakyat keseluruhannya tanpa mengira latar belakang politik, kita hendaklah bersama-sama dengan tentera dan polis," katanya.
Buta terhadap peranan Angkatan Tentera Malaysia dan Polis Diraja Malaysia menyebabkan segelitir pihak memperlekeh, memberi komen negatif serta menghina pasukan keselamatan, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata tindakan pihak tidak bertanggungjawab itu juga kerana mereka dibutakan oleh matlamat politik sehingga tidak lagi menghargai pengorbanan serta jasa pasukan keselamatan dalam menjaga kedaulatan dan keselamatan negara.
"Pada hemat saya, soal pertahanan dan keselamatan jangan dipolitikkan, dalam soal keselamatan dan pertahanan, semua pihak sama ada kerajaan atau pembangkang harus bersatu hati untuk membantu angkatan tentera kita, polis kita, bukannya memperlekeh, memberi komen yang negatif dan menghina mereka.
"Mereka juga adalah manusia biasa seperti kita, mereka harus diberi semangat untuk mempertahankan negara," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis ramah mesra bersama warga Kem Briged Kelapan Infantri Pengkalan Chepa Khamis.
Sebagai contoh, Ahmad Zahid berkata dalam insiden pencerobohan bersenjata di Lahad Datu, Sabah, ketika permulaan operasi awal Mac lepas, keadaan adalah seperti biasa namun apabila berlaku pembunuhan oleh penceroboh, maka banyak kedai yang ditutup serta ramai tidak boleh berniaga.
Mengulas beberapa pegawai kanan tentera, termasuk yang berpangkat jeneral menjadi calon mewakili pembangkang pada pilihan raya umum ke-13 pada 5 Mei ini, Ahmad Zahid berkata mereka hanya kumpulan kecil, bermasalah semasa dalam perkhidmatan dan kini cuba memburukkan ATM.
"Ini masalah politik yang harus diselesaikan secara politik, kita tidak mahu ambil tindakan undang-undang walaupun kita boleh. Masalah politik, kita selesaikan secara politik... pengundi tolak mereka ini," katanya.
Ditanya kenyataan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat kebelakangan ini yang dilihat boleh memesongkan akidah umat Islam, termasuk solat orang Umno tidak mendapat pahala, Ahmad Zahid yang juga Naib Presiden Umno berkata 'fatwa' nyanyuk yang dikeluarkan Mursyidul Am PAS itu merugikan PAS.
"Lebih banyak Nik Abdul Aziz mengeluarkan fatwa, maka lebih baik untuk Barisan Nasional, saya harap beliau akan terus nyanyuk dan memberi fatwa yang pelbagai, tetapi jangan ambil peranan Allah SWT, soal dosa dan pahala bergantung kepada amal dan niat kita. Beliau beri pendapat mungkin kerana ilmu mantik tetapi tidak semua orang yang akan faham apa yang disebutkan. Cukuplah," katanya.
- BERNAMA
0 Komen:
Catat Ulasan
APA Kata Anda?
Ada berita dan info menarik di tempat anda? Kongsikan di SINI....