Nuffnang

KHABAR DARI AFGHANISTAN! ANAK MUDA MALAYSIA SUMBANG BAKTI

Baru-baru ini dunia telah dikejutkan dengan serangan Taliban yang melibatkan kecederaan and kematian di beberapa kawasan secara serentak di bandar Kabul, Afghanistan.
 



Suasana tegang ini terjadi hanya beberapa hari sebelum tiga sukarelawan MyCorps berlepas ke sana untuk kerja-kerja kemanusiaan. Namun ia langsung tidak menjatuhkan semangat mereka untuk  berkhidmat demi nama Malaysia dan berbakti kepada masyarakat Afghanistan dalam membawa mesej keamanan dan memperjuangkan hak-hak kemanusiaan sejagat.
 
Misi kemanusiaan ke Afghanistan yang diketuai oleh Mohd Ashraf Abd Rahman,31 bersama dua rakan setugas Mohd Azreen Hassan,29, Siti Zubaidah Samat,28 dan diiringi oleh Mohd Shahrulazilan Said,40  dari Malaysia Relief Agency memberikan fokus kepada inisiatif sokongan pendidikan di peringkat sekolah dan latihan kepimpinan kepada 90 belia dan ulama tempatan di beberapa tempat di serata Afghanistan.
 
Buat masa ini, empat daripada tujuh projek yang telah dijadualkan telah berjaya dilaksanakan di Kabul, Badakshan dan Bamyan walaupun berdepan dengan beberapa masalah yang kebanyakannya adalah isu keselamatan seperti pergerakan yang terhad dan ancaman serangan yang boleh berlaku pada bila-bila masa di mana-mana sahaja.
 
Antara dugaan dihadapi, mereka sering ditahan penguatkuasa dan perisik tempatan di pos-pos keselamatan dan merata tempat menyebabkan mereka terpaksa menyamar dengan berpakaian seperti orang tempatan untuk memudahkan semua urusan.
 
Mereka juga sempat ke pengkalan tentera New Zealand di bandar Bamyan yang menempatkan 40 tentera Malaysia pada satu-satu masa dan kebetulan berpeluang menyaksikan upacara penyerahan dan penerimaan tugas dari kumpulan MALCON 3 ke MALCON 4 yang dihadiri oleh pegawai-pegawai tertinggi tentera dan badan keselamatan luar negara yang bertempat di Bamyan dan juga tempatan.
 
Perjalanan dari Kabul ke Bamyan merupakan salah satu perjalanan yang berisiko tinggi dan menurut Komander MALCON 3, Leftenan Kolonel Nordin, pasukan ini merupakan kumpulan NGO pertama yang melawat mereka di Afghanistan.
 
Tujuan utama MyCorps bertemu MALCON adalah untuk membincangkan kemungkinan kerjasama yang boleh dijalinkan di Bamyan di masa hadapan memandangkan MALCON bertugas dalam bidang perubatan dan pergigian yang juga merupakan salah satu cabang kemanusiaan.
 
Pasukan MyCorps Afghanistan selamat pulang ke tanah air 7 Mei 2012 dengan iltizam untuk terus menyambung sumbangan  bakti mereka kepada negara yang masih bergolak itu demi membantu rakyatnya keluar dari kemelut peperangan melalui pendidikan yang berterusan.

Sumber : KBS
Share this article

0 Komen:

Catat Ulasan

APA Kata Anda?
Ada berita dan info menarik di tempat anda? Kongsikan di SINI....

Nuffnang 3

MENARIK

BB Followers

 
Copyright © 2014 Belia Bangkit • All Rights Reserved.
Distributed By Free Blogger Templates | Template Design by BTDesigner • Powered by Blogger
back to top