#MH17 : Apa Yang Perlu Anda Tahu!!



Pesawat Malaysia Airlines penerbangan MH17 yang menuju ke Kuala Lumpur dari Amsterdam jatuh terhempas di timur Ukraine dekat dengan sempadan Rusia.Pesawat itu sebelumnya hilang daripada radar semasa melalui wilayah bergolak. 

Laporan awal menyebut pesawat itu dipercayai ditembak jatuh oleh kumpulan pemberontak bersenjata yang pro-Rusia. Semua penumpang dilaporkan terbunuh.





Imej dari Flight Radar yang menunjukkan lokasi akhir perhubungan pesawat MH17 dengan pusat kawalan. - AstroAWANI/FlightRadar


Apa yang kita tahu tentang MH17?

Pesawat itu membawa 280 penumpang dan dikendalikan oleh 15 anak kapal. Ia adalah pesawat jenis Boeing 777-200ER, model yang sama dengan pesawat penerbangan MH370dari Kuala Lumpur ke Beijing yang hilang pada 8 Mac lalu dan masih gagal dikesan sampai hari ini.

Penerbangan ini berlepas dari Lapangan Antarabangsa Schipol di Amsterdam pada pukul 12.15 tengahari waktu tempatan (6.15 petang waktu Malaysia). Pesawat itu dijadual tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada pukul 6.10 pagi ini.

MAS mengesahkan daripada 298 orang itu, 45 orang adalah rakyat Malaysia, 154 orang adalah rakyat Netherlands, 27 dari Australia, 12 dari Indonesia, 9 dari United Kingdom, empat masing-masing dari Jerman dan Belgium, tiga dari Filipina serta satu dari Kanada.



Serpihan ekor pesawat MH17 yang ditemui di dalam ladang jagung berhampiran lokasi terhempasnya pesawat malang itu. - AFP PHOTO/DOMINIQUE FAGET


Pesawat penerbangan MH17 ini didaftar dengan nombor pendaftaran 9M-MRD. Ia adalah pesawat Boeing 777 yang ke-84 yang dikeluarkan oleh syarikat itu. Pesawat itu terhempas genap 17 tahun selepas memulakan penerbangannya yang pertama pada 17 Julai 1997. Pesawat itu diserahkan kepada MAS pada 29 Julai 1997.

Ini adalah nahas besar yang kedua yang dialami oleh Malaysia Airlines dalam masa empat bulan.


Bagaimana nahas berlaku?

Pesawat penerbangan MH17 gagal dikesan lebih kurang empat jam selepas tinggal landas. Ia ketika itu terbang pada ketinggian 10,000 meter. Pesawat itu hilang sebelum memasuki ruang udara Rusia. Malaysia Airlines mengesahkan pesawat itu tidak membuat sebarang panggilan kecemasan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Kerajaan Ukraine dan kumpulan pemberontak Republik Rakyat Donetsk pro-Rusia yang berperang di wilayah itu sama-sama menafikan bertanggungjawab menembak jatuh pesawat itu. Mereka sebaliknya saling tuduh-menuduh.

Ukraine mendakwa pesawat itu ditembak jatuh oleh peluru jarak sederhana daripada pelancar Buk buatan Rusian. Ia sebelum ini mengatakan tentera Rusia membekal senjata canggih kepada kumpulan pemberontak tersebut.



Serpihan pesawat MH17 yang ditemui di lokasi nahas. -AFP PHOTO/DOMINIQUE FAGET


Pemimpin kumpulan pemisah, Alexander Borodai pula menuduh tentera udara Ukraine menembak jatuh pesawat berkenaan. Ukraine menafikan tuduhan itu.

Najib menegaskan sekiranya benar pesawat itu ditembak jatuh, Malaysia mahu pihak yang bertanggungjawab dibawa ke muka pengadilan dengan segera.


Apa yang berlaku selepas nahas MH17?

Hampir semua syarikat penerbangan antarabangsa mengumumkan mengelak laluan yang merentas ruang udara Ukraine. Antaranya termasuklah syarikat penerbangan Lufthansa, Air France, Turkish Airlines, Transaero, British Airways, Air India, Jet Airways, Aeroflot dan KLM.

Kumpulan pemisah mengumumkan sedia menggencat senjata sekurang-kurangnya tiga hari bagi membolehkan operasi pasca nahas, lapor agensi berita Reuters yang memetik maklumat daripada Agensi Penerangan Rusia (RIA).

Kumpulan pemisah juga dilaporkan telah menemui kotak hitam pesawat dan akan menyerahkannya kepada Rusia.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

APA Kata Anda?
Ada berita dan info menarik di tempat anda? Kongsikan di SINI....