"LESEN KOPI" : Polis Tahan 4 Lelaki


"Polis merampas beberapa dokumen daripada suspek iaitu lesen memandu, cukai jalan serta barang lain seperti komputer riba dan pencetak dipercayai digunakan untuk membuat dokumen palsu itu.

Dalam operasi tersebut, 4 lelaki disyaki terbabit dengan sindiket pemalsuan lesen memandu dan cukai jalan, yang giat beroperasi di Pulau Pinang dan Perak ditahan dalam Ops Camar, Selasa lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pulau Pinang ACP Ramli Mohd Noor berkata dalam serbuan 1 hingga 5 pagi itu, 2 suspek ditahan di 2 rumah di Nibong Tebal dan susulan penahanan itu 2 lagi diberkas di sebuah rumah di Parit Buntar, Perak pada hari sama.

"Sebanyak 7 lesen memandu palsu yang siap dan kelihatan seperti asli turut dirampas daripada suspek berusia 22 dan 45 tahun itu," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang, di George Town hari ini.

Beliau berkata siasatan awal mendapati sindiket berkenaan beroperasi di rumah suspek sejak 8 tahun lalu dengan menawarkan harga antara RM100 dan RM800 bagi setiap dokumen palsu.

Ramli berkata semua suspek bekerja dalam sektor swasta dan mengambil masa antara 1 dan 2 minggu untuk menyiapkan dokumen yang ditempah melalui orang tengah atau ejen. 

"Setakat ini polis kenal pasti lebih 50 individu dipercayai menggunakan khidmat sindiket itu dan sebelum tindakan selanjutnya, polis berharap mereka yang pernah berurusan dengan mereka untuk tampil membantu siasatan," katanya.

Selain dokumen Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), suspek juga dipercayai memalsukan dokumen pengenalan diri iaitu Mykad dan Mykid. 

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun, denda atau sebatan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

APA Kata Anda?
Ada berita dan info menarik di tempat anda? Kongsikan di SINI....