HIDAYAH : Membongkar Rahsia Satu Keluarga Peluk Islam


Rasa cinta pada Islam dan keinginan mendesak untuk mempelajari lebih mendalam agama itu, membuka hati satu keluarga Cina di sini memeluk Islam hari ini.

Chong May Koi, 50 tahun, seorang peruncit, isterinya, Tan Kuan Neo, 48, pekerja di syarikat swasta dan anak-anak, Ronny Chong Kuan Fah, 24, Joan Chong Mei Neo, 19 dan Mary Ann Chong May May, 17, berkata, mereka sekeluarga memeluk Islam bukan dipaksa tetapi atas kerelaan hati.

Chong dengan nama Islamnya, Mohd. Chong Abdullah berkata, dia sekeluarga telah mengikuti Islam sejak beberapa tahun lalu dan tiga tahun terdekat ini, kami benar-benar mengikuti secara mendalam mengenai Islam.

''Agama Islam memberi ketenangan pada diri saya dan keluarga, lagi pun kami semuanya telah berpuasa sejak tiga tahun lalu, walaupun sebelum itu belum memeluk agama Islam lagi.

''Jadi pada tahun ini dan tarikh 1 Januari 2016, kami bersepakat anak beranak untuk memeluk agama Islam dan menjadi umat Nabi Muhammad s.a.w serta mengikut ajaran sunnah dan hadis,'' katanya yang tinggal di Kempas dekat sini.

Isterinya, Tan yang menggunakan nama Siti Aishah Abdullah berkata, dia telah mempelajari beberapa potong ayat al-Quran serta mengucap dua kalimah syahadah dengan jelas tanpa pelat.

''Saya boleh berbahasa Melayu dengan baik kerana berasal dari keluarga baba di Melaka dan kami bergaul dengan ramai orang Melayu dan mereka banyak mengajar kami cara kehidupan Islam,'' katanya.

Anak-anaknya, Ronny yang menggunakan nama Amir Chong Abdullah, Joan (Nurul Nadirah Abdullah) dan Mary (Nurul Nadiah Abdullah) berkata, mereka masuk Islam bukan mengikut bapa atau ibu, tetapi atas kerelaan hati.

''Kami tidak dipaksa oleh mereka tetapi rasa tertarik dengan ajaran Islam. Ia menyenangkan,'' kata abang sulung, Amir.

Nurul Nadirah menuntut di Universiti Tun Abdul Razak (Unitar) di Kuala Lumpur, sementara Nurul Nadiah kini menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Keluarga ini diislamkan oleh Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam (Penyelaras Saudara Baru) Bahagian Dakwah, Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ), Ustaz Latif Juffri di pejabat Persatuan Cina Muslim Malaysia cawangan Johor di Bandar Baru Uda, di sini, hari ini.

Menurut Ustaz Latif, keluarga tersebut akan mengikuti beberapa kelas untuk memantap fardu ain termasuklah praktikal solat, berwuduk, bersuci dan kelas Iqra.

Tambahnya, keluarga Mohd. Chong merupakan yang pertama diislamkan tahun ini dan JAIJ berazam untuk mengislamkan lebih 500 orang lagi.

Pada majlis itu, keluarga Mohd. Chong turut diberikan hadiah berupa sejadah, songkok, telekung dan buku agama, selain wang zakat saudara baru setiap seorang.

3 ulasan:

  1. Terbaik...Alhamdulillah....Semoga Keluarga Mohd Chong Abdullah dalam lindungan Allah sentiasa.
    Tabik spring buat Al Jupri....

    Dari Mohd Azmi

    BalasPadam
    Balasan
    1. Yup... mudah-mudahan segala urusannya dipermudahkan selepas ini.

      Padam

APA Kata Anda?
Ada berita dan info menarik di tempat anda? Kongsikan di SINI....