PALSU : 7 Kontraktor TM Ditahan SPRM


Seremban – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan tujuh kontraktor pemasangan produk Telekom Malaysia (TM) dipercayai mengemukakan borang dan tuntutan palsu bagi mendapatkan kemudahan internet.

Pengarah SPRM Negeri Sembilan Datuk Shaharom Nizam Abd Manap berkata kesemua suspek berusia antara 24 dan 43 tahun itu ditahan di pejabat SPRM kira-kira 10 malam tadi.

“Suspek disyaki mengemukakan borang permohonan pelanggan untuk melanggan perkhidmatan internet yang mengandungi butiran palsu kepada pihak TM melalui sebuah syarikat ejen jualan berdaftar dengan TM.

“Mereka melakukan perbuatan itu bagi mendapatkan kebenaran TM untuk menikmati kemudahan telekomunikasi yang disediakan oleh TM,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Shaharom Nizam berkata siasatan awal mendapati pemasangan tidak dibuat di alamat yang terdapat pada borang permohonan tersebut.

“Suspek juga disyaki membuat penipuan dengan menyatakan pemasangan dibuat terhadap alamat dalam borang permohonan sedangkan nama dan nombor kad pengenalan pemohon tidak wujud dan telah disahkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara.

“Siasatan awal juga mendapati ada penghuni alamat itu bukan nama pemohon sebenar seperti dalam borang permohonan dan tidak pernah ada pemasangan produk TM oleh mana-mana pihak setakat ini atas nama dalam borang permohonan,” katanya.

Beliau berkata SPRM sudah mendapatkan perintah tahanan reman di Mahkamah Majistret di sini pagi tadi, terhadap semua suspek selama lima hari bermula hari ini hingga Ahad.

Kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, yang boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak lebih lima kali ganda nilai butiran palsu atau RM10,000 yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan, lapor Bernama.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

APA Kata Anda?
Ada berita dan info menarik di tempat anda? Kongsikan di SINI....