Anggota Pasukan Polis Marin (PPM) Lans Koperal Zakiah Aliep, 26, akan menjalani rawatan psikologi untuk menentukan keadaan emosinya sebelum boleh kembali bertugas.
Beliau yang dibebaskan hari ini selepas diculik selama hampir lapan bulan oleh kumpulan pengganas dari selatan Filipina juga mungkin akan ditukarkan ke unit lain.
“Dia sudah pasti berada dalam keadaan trauma dan sebarang keputusan kerjayanya akan ditentukan berdasarkan nasihat pakar psikologi.
“Bila dia akan mula bertugas dan unit mana akan ditempatkannya akan diputuskan kemudian,” kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selepas Konvensyen UMNO Perak, Sabtu.
Menurutnya, apa yang terjadi kepada Zakiah seharusnya dijadikan iktibar, agar semua anggota polis lebih berhati-hati sewaktu melaksanakan tugas mereka yang amat berisiko.
“Anggota polis perlu ingat yang ‘jerat tidak akan lupakan pelanduk’ dan justeru itu mereka haruslah berhati-hati dan bersedia pada setiap masa.
“Terima kasih saya ucapkan kepada semua yang bertungkus berusaha dalam membebaskan Zakiah,” katanya.
Sementara itu, Kerajaan Sabah merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada pasukan keselamatan yang berusaha sedaya upaya sehingga berjaya membebaskan Lans Koperal Zakiah Aleip yang diculik sejak Julai tahun lalu.
Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman, berkata beliau bagi pihak kerajaan negeri bersyukur dengan kepulangan Zakiah selepas sekian lama menjadi tahanan kumpulan pengganas di selatan Filipina.
"Kita bersyukur dengan usaha berterusan kerajaan menerusi perundingan, berkat doa semua pihak dan kesabaran serta ketabahan ahli keluarga maka usaha membebaskan beliau berhasil.
Kerajaan negeri juga merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada pauskan keselamatan kita yang berusaha sedaya upaya untuk membebaskan Zakiah," katanya ketika mengumumkan pembebasan Zakiah di Sri Libaran di sini, pagi tadi.
Musa berkata, beliau sudah menghubungi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengenai berita pembebasan itu dan mengucapkan terima kasih atas usaha pasukan keselamatan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
APA Kata Anda?
Ada berita dan info menarik di tempat anda? Kongsikan di SINI....