KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang memantau dan akan bertindak tegas terhadap individu, kumpulan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang cuba memainkan sentimen keagamaan dalam sebarang medium bagi memastikan keharmonian negara terpelihara.
Menterinya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, KDN melalui Bahagian Penerbitan dan Pencetakan Al-Quran serta Bahagian Keselamatan dan Ketenteraman Awam memantau semua aktiviti itu dan berikan maklum balas melalui saluran tindakan secara profesional oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Selain itu, katanya, beliau juga mengadakan pertemuan dengan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, semalam mengenai isu sensitif yang dibangkitkan melalui media sosial.
“Mana-mana agama yang cuba dikutuk adalah perkara sensitif yang boleh merosakkan keharmonian kepelbagaian agama di negara kita. Untuk maklumat semua, Akta Hasutan masih wujud dan masih berkuat kuasa.
“Kita mengalu-alukan apa yang dilontarkan oleh Perdana Menteri menyatakan jika Akta Keharmonian Nasional diwujudkan kelak bagi menggantikan Akta Hasutan maka roh, semangat dan perkara tersirat dalam Akta Hasutan sudah dijanjikan Perdana Menteri untuk kita kekalkan.
“Siasatan juga boleh dilakukan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) apabila ia sampai ke peringkat tindakan, pihak polis akan bertindak,” katanya pada sidang media selepas majlis berbuka puasa di Masjid Bukit Aman di sini, hari ini.
Turut hadir pada majlis disertai kira-kira 300 anggota, pegawai dan pegawai kanan polis ialah Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.
Mengulas hasil perbincangan dengan Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Dr Ahmad Zahid berkata, pihaknya percaya kementerian berkenaan mampu melakukan tindakan termasuk menutup laman sosial atau blog yang boleh mengancam keharmonian negara.
Baru-baru ini, negara dikejutkan dengan tindakan pasangan Alvin Tan Jye Yee dan Vivian Lee May Ling yang mencetuskan kemarahan umat Islam dengan mempersenda Islam melalui Facebook dengan memaparkan gambar mereka `berbuka puasa’ dengan sup rusuk babi.
- SUMBER
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
APA Kata Anda?
Ada berita dan info menarik di tempat anda? Kongsikan di SINI....