RUMAH PERTAMA : GOLONGAN MUDA TERUS DIBANTU

Golongan muda khususnya mereka yang merancang memiliki rumah buat pertama kali pasti gembira dengan tumpuan utama Kerajaan melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang merencana bukan sahaja rumah mampu malah mudah miliki.

Buat permulaan, di bawah Bajet 2013, sejumlah RM1.9 bilion diperuntukkan untuk membina 123,000 rumah mampu milik di lokasi strategik seluruh negara. Bagi memudahkan pemilikan rumah, mereka yang membeli rumah pertama yang bernilai sehingga RM400,000 layak diberi pelepasan yuran duti setem sekurang-kurangnya 50 peratus sehingga akhir 2014.





Ini sekaligus menunjukkan kerajaan komited menyediakan peluang pemilikan rumah sendiri kepada semua peringkat masyarakat, terutama golongan muda, pada ketika harga rumah sekarang ini di luar kemampuan mereka yang berpendapatan sederhana.

Tiga jabatan kerajaan telah diberi kepercayaan untuk merealisasikan hasrat itu iaitu Jabatan Perdana Menteri yang menguruskan Perumahan Rakyat 1 Malaysia (PR1MA), Jabatan Kewangan melalui Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) dan Jabatan Perumahan Negara.


PENDAPATAN SEDERHANA

Seperti yang dijanjikan, kerajaan kini berusaha memudahkan golongan berpendapatan sederhana dari kawasan bandar memiliki rumah sendiri yang berharga antara RM150,000 dan RM300,000 melalui program PR1MA.

Ini dilakukan melalui kerjasama dengan pemaju perumahan swasta untuk membina 80,000 rumah mampu milik di lokasi utama negara seperti Kuala Lumpur, Shah Alam, Johor Baharu, Seremban dan Kuantan yang akan dijual dengan harga 20 peratus lebih murah berbanding harga pasaran.

Di Johor Baharu misalnya, PR1MA telah mengenalpasti beberapa lokasi tanah di Larkin, Tampoi, Kulaijaya, Plentong dan Pasir Gudang untuk membina 8,000 unit rumah mampu milik.

SPNB pula menerima peruntukan RM320 juta untuk membina 22,855 unit rumah termasuk apartmen kos rendah dan sederhana di bawah program 'Rumah Mesra Rakyat' dan 'Rumah Mampu Milik'.

Program 'Rumah Mesra Rakyat' misalnya akan memastikan sejumlah 21,000 unit rumah berharga hanya RM65,000 seunit akan dibina pada 2013, yang mana pembeli akan menikmati subsidi sebanyak RM20,000 dan dua peratus lagi tambahan subsidi terhadap kadar faedah.

Tanpa mengabaikan golongan muda berpendapatan rendah, Jabatan Perumahan Negara pula menerima peruntukan sebanyak RM543 juta bagi membina 45 projek Perumahan Rakyat (PPR) yang melibatkan pembinaan 20,454 unit rumah baru menggunakan sistem bangunan perindustrian.

Untuk membantu kakitangan sektor awam yang tergolong dalam kategori itu, kerajaan mengkhususkan 20 peratus daripada jumlah unit baharu PPR selain satu peratus kuota khas untuk golongan orang kelainan upaya (OKU).

Apapun, pembeli dijamin penjimatan yang sangat besar memandangkan setiap unit akan dijual dengan harga sehingga RM40,000 sedangkan harga pasarannya ialah RM120,000 seunit.


MENGHIDUPKAN PROJEK TERBENGKALAI

Selain memastikan pembinaan ratusan ribu rumah mampu milik untuk golongan muda bekerjaya, kerajaan juga komited untuk membantu menghidupkan semula kes rumah terbengkalai.

Selain memperjuangkan nasib pembeli dan menyediakan lebih banyak rumah, kerajaan mahu menghapuskan projek-projek terbengkalai yang menjadi satu pemandangan menyakitkan mata yang boleh memberi pandangan buruk kepada pelabur dan pelancong asing. Antara 2010 dan Disember 2012, usaha gigih KPKT telah berjaya menyelesaikan 118 projek perumahan terbengkalai swasta.

Lantas, kementerian akan terus mengatur strategi bagi menangani isu tersebut termasuk melalui insentif cukai khas kepada syarikat swasta bagi memastikan pemaju menyiapkan projek yang mereka laksanakan.

Insentif cukai khas itu termasuk kepada bank yang akan menerima pengecualian cukai terhadap pendapatan daripada faedah yang diterima daripada pemaju projek terbengkalai, pemaju akan menerima potongan berganda terhadap faedah pinjaman, manakala kontraktor dan pembeli rumah asal akan mendapat pengecualian duti setem.

Apapun, kementerian percaya strategi itu akan menggalakkan pemaju menghidupkan semula projek yang terbengkalai memandangkan pihak bank dijangka akan lebih bersedia untuk menyediakan pinjaman bagi memastikan hasrat itu dapat ditunaikan.

Kaedah ini dijangka mampu menyelamatkan sekurang-kurangnya 30 projek perumahan terbengkalai sekaligus memperjuangkan nasib sehingga 8,000 pembeli rumah.


URUS SISA PEPEJAL

Tahun ini, selain memastikan penyediaan rumah mampu milik kepada golongan muda berpendapatan rendah dan sederhana, KPKT juga memberi tumpuan khas kepada pengurusan sisa pepejal. Pengurusan sampah sarap akan diberi keutamaan memandangkan negara tidak lagi dapat bergantung kepada pembuangan sampah di tapak pelupusan sampah sedia ada.

Kementerian telah mengkaji cara yang lebih canggih dan mesra alam iaitu pilihan teknologi pengurusan sampah moden menggunakan loji pembakaran sampah yang serba canggih sebagaimana yang digunakan di negara maju.

Sumber dari Unit Komunikasi Korporat KPKT mengesahkan bahawa satu tender antarabangsa akan dibuka bagi mendapatkan satu keputusan teknologi yang paling sesuai dan mesra alam untuk digunapakai.

Buat permulaan, dua loji insinerator dirancang dibina masing-masing di Kuala Lumpur dan di Johor Baharu, selepas meneliti dan berpuas hati dengan jaminan keselamatan serta memastikan ia tidak berkaitan dengan loji nuklear.


SEPAKAT MEMBAWA BERKAT

Perancangan lain KPKT untuk tahun ini termasuk projek pembangunan landskap yang menguntungkan masyarakat kini dan masa depan, termasuk menambah empat lagi taman awam di Kangar, Alor Star, Sandakan dan Labuan, melaksanakan fasa kedua pemasangan kamera litar tertutup di 25 kawasan PBT, mewujudkan pelan tindakan perubahan tandas awam serta menaiktaraf zon-zon rekreasi keluarga.

Satu lagi penambahbaikan oleh KPKT yang dikira amat signifikan dan akan diteruskan tahun ini ialah program My Beautiful Neighbourhood (MyBN) di bawah Strategi Lautan Biru Nasional Ketujuh atau National Blue Ocean Strategy (NBOS).


NBOS ialah satu tindakan meningkatkan sistem penyampaian projek atau idea kreatif melalui usaha sepakat antara pelbagai kementerian, jabatan atau agensi kerajaan, Pihak Berkuasa Tempatan serta pihak swasta.

Apapun, program MyBN antara lain berjaya membaikpulih lapan projek rumah pangsa awam, membina semula lima rumah terbakar, menaiktaraf lapan projek kemudahan infrastruktur dan rumah pangsa awam.

Ia juga berjaya membaiki dan mengindahkan semula lanskap dan tempat awam di 33 lokasi, menganjurkan aktiviti gotong royong di 36 lokasi dan banyak lagi kempen pembersihan dan kesedaran awam berkaitan KPKT.

Lebih penting, MyBN telah berjaya menyuntik semangat sukarelawan di kalangan penduduk terutama belia rumah pangsa untuk terlibat dalam menyelesaikan isu kebersihan, penyelenggaraan infrastruktur dalam dan luar bangunan, taman rekreasi, gelanggang sukan dan seumpama.

Dengan begitu banyak bantuan yang disediakan, terpulang kepada generasi muda untuk merebut sebaik-baiknya peluang keemasan itu bukan sahaja untuk memiliki rumah milik sendiri malahan menikmati persekitaran yang bersih, cantik dan hijau.

-- BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

APA Kata Anda?
Ada berita dan info menarik di tempat anda? Kongsikan di SINI....