“Saya berpaut pada mangkuk tandas dan lihat seluruh atap rumah diterbangkan angin kencang,” kata mangsa ribut Jefri Agong, 38.
Menurutnya, dalam kejadian kira-kira jam 5 pagi itu, dia sedang tidur dan hanya tersedar selepas serpihan siling jatuh terkena kepalanya.
“Mujur saya tidak cedera kerana serpihan siling yang hempap kepala saya tidak besar,“ katanya ketika ditemui di Kampung Permata, dekat sini, semalam.
Dia yang tinggal seorang diri, kemudiannya segera menghubungi kakak angkat yang tinggal berhampiran bagi meminta bantuan, namun talian terputus.
Kata Jefri, angin ribut yang semakin kencang menyebabkan seluruh bahagian rumahnya bergegar seperti di dalam bot.
“Saya terus keluar dari bilik bagi mencari tempat perlindungan kerana semakin banyak siling yang runtuh.
“Saya cuba berpaut pada tiang rumah tetapi keadaan rumah bergegar ketika itu, saya pun terus berpaut pada mangkuk tandas bagi selamatkan diri,” katanya.
Jelasnya, tubuhnya menggigil melihat bumbung rumah diterbangkan angin.
“Ribut dan angin kencang itu terus berlarutan kira-kira setengah jam sebelum keadaan menjadi reda.
“Dua penduduk kampung datang ke rumah saya selepas ribut reda bagi memberikan bantuan,” katanya.
Dalam kejadian ribut awal pagi semalam, enam rumah di kampung tersebut serta sebuah rumah di Kampung Sri Dungun mengalami kerosakan.
Sementara itu, Ketua Kampung Kawasan 1 Mukim Pontian, Kamiden Abd Salam berkata, bencana ribut itu adalah pertama kali dialami penduduk di situ.
“Kesemua rumah yang terjejas mengalami kerosakan pada bumbung rumah, bagaimanapun tiada kemalangan jiwa yang dilaporkan.
“Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah datang untuk buat penilaian jumlah kerosakan yang dialami.
“Keluarga yang terjejas menerima sumbangan daripada Timbalan Ketua Umno Bahagian Pontian, Datuk Ahmad Maslan yang turut mengadakan tinjauan,” katanya.
- SINAR
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
APA Kata Anda?
Ada berita dan info menarik di tempat anda? Kongsikan di SINI....