Keputusan Penuh Piala Axiata : Malaysia 3 - 1 Thailand

Malaysia merangkul kejuaraan sulung Kejohanan Badminton Piala Axiata 2013 setelah mengalahkan Thailand 3-1 pada perlawanan akhir di Stadium Badminton Kuala Lumpur, Cheras, di sini Ahad malam.

Bagaimanapun, kekalahan pemain perseorangan wanita Sonia Cheah pada perlawanan pertama tidak melunturkan semangat barisan pemain lain yang tidak menghadapi masalah untuk menyumbang mata.

Cheah, yang diharap dapat menyemarakkan semangat juang skuad negara pada perlawanan pembukaan, terpaksa akur kepada pemain nombor lapan dunia Ratchanol Intanon dengan keputusan 16-21 dan 17-21.

Beregu campuran nombor tiga dunia Goh Liu Ying dan Chan Peng Soon menceriakan skuad negara apabila berjaya menyamakan kedudukan dengan mengatasi pasangan Sudket Prapakamol dan Saralee Thoungthongkam, 21-16 dan 21-15.

Pemain nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei meletakkan Malaysia di hadapan apabila dengan mudah mengalahkan Tanongsak Saensomboonsuk, 21-12 dan 21-18.

Kemenangan dicapai apabila Malaysia mengumpul pungutan mata ketiga menerusi pasangan beregu lelaki nombor dua dunia, Koo Kien Keat dan Tan Boon Heong yang menundukkan lawan, Boonsak Ponsana dan Songphon Anugritayawon dengan 21-10 dan 21-17.

Ketua jurulatih perseorangan negara, Rashid Sidek berkata kehadiran Chong Wei telah menaikkan semangat pemain lain untuk memungut mata.




"Beregu campuran kita agak sukar untuk menang pada kebiasaannya kerana pasukan lain lebih kuat berbanding kita, namun kemenangan itu memberikan saya satu kejutan besar.

"Daren Liew dan Chong Wei Feng masih belum konsisten dalam permainan mereka namun saya yakin kehadiran Chong Wei akan menyuntik semangat pada kejohanan Piala Sudirman nanti," katanya kepada pemberita selepas tamat perlawanan itu.

Pada edisi tahun lepas, Malaysia hanya layak ke separuh akhir.

Terdahulu, dalam perlawanan penentuan tempat ketiga, pasukan pilihan Asia mengalahkan Indonesia 3-1.

Mata pertama pilihan Asia diperoleh menerusi Tai Tzu Ying yang mengalahkan Lindaweni Fanetri, 21-18 dan 22-20.

Ini diikuti Lee Hyun Il yang mengalahkan Dionysius Hayom Rumbaka, 21-19, 16-21 dan 21-6, serta beregu lelaki Bao Chun Lai dan Zheng Bo mengalahkan Hendra Setiawan/Mohammad Ahsan 21-12 apabila perlawanan terpaksa dihentikan kerana Mohammad Ahsan mengalami kecederaan.

Indonesia memperoleh kemenangan tunggal menerusi gandingan Debby Susanto dan Muhammad Rijal yang mengalahkan Ashwini Ponnappa dan Tarun Kona, 16-21, 21-16 dan 21-15 dalam acara beregu campuran.

Juara membawa pulang US$400,000 (RM1.24 juta) manakala naib juara menerima US$200,000 (RM620,000).

Pasukan di tempat ketiga dan keempat masing-masing menerima habuan US$150,000 (RM465,000) dan US$100,000 (RM310,000).

- BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

APA Kata Anda?
Ada berita dan info menarik di tempat anda? Kongsikan di SINI....