Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengajak
golongan muda di negara ini menolak ideologi baru bawaan pakatan
pembangkang, khususnya berkaitan keberanian mempertikaikan perkara yang
terkandung dalam Perlembagaan negara.
Menyifatkan perbuatan tersebut sebagai cuba “menjahanamkan negara”,
beliau berkata tindakan mempertikaikan apa yang dilakukan kerajaan
seperti yang termaktub dalam perlembagaan, yang didakwa tidak adil
kepada rakyat oleh pembangkang, merupakan satu tohmahan yang sengaja
diputar belit untuk mengelirukan rakyat.
“Mereka telah membawa ideologi baru dengan mempersoalkan banyak
perkara yang telah kita terima selama ini, persoalkan sebahagian besar
peruntukan dalam Perlembagaan Negara dengan menyatakan bahawa BN tidak
berlaku adil kepada semua kaum dalam negara.
“Itu semua tohmahan. Sebab itu saya nak mengajak anda semua untuk
menentang mereka ini yang merupakan puak-puak yang hendak menjahanamkan
negara,”
Kecenderungan pembangkang memutarbelitkan fakta
seperti isu Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) serta
menuntut supaya kebebasan diberikan kepada kumpulan biseksual dan
transgender tidak harus dibiarkan kerana tuntutan sedemikian akan
memberi masalah kepada rakyat dan negara.
Katanya hasil putar belit dalam isu PTPTN, pakatan pembangkang
berjaya mempengaruhi generasi muda dan mahasiswa untuk turun berhimpun
dan berkhemah di Dataran Merdeka sedangkan pada hakikatnya mereka
diperdaya.
Golongan muda terutamanya Pemuda BN perlu tampil menjadi benteng bagi
mempertahankan Negara daripada menjadi bahan tohmahan pihak berkenaan
yang semakin lantang kebelakangan ini.
“Dalam isu PTPTN di mana anak-anak muda diajak untuk pergi berhimpun
di Dataran Merdeka. Saya ikuti perkembangannya sudah beberapa hari
tetapi tidak ada orang sambut pun, malu muka mereka kerana ditipu oleh
pihak pembangkang.
“Jadi, kalau mereka nak membawa budaya songsang dan putar belit ini,
maka Pemuda BN harus tentang mereka habis-habisan dan jangan biarkan
mereka ini meruntuhkan sistem hidup yang telah kita bina dan bangunkan
di Malaysia selama ini,” katanya.
Mengenai sokongan terhadap BN di Wilayah Persekutuan, Muhyiddin
berkata tahap sokongan dan penerimaan masyarakat terhadap BN telah
meningkat berbanding pada pilihan raya umum tahun 2008 hasil
transformasi yang dibuat oleh Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Presiden
Umno, Pengerusi BN yang juga Perdana Menteri.
Timbalan Perdana Menteri berkata Wilayah Persekutuan, sebagai pintu
dan tingkap kepada negara, berada dalam situasi yang agak istimewa
berbanding negeri lain dan berdasarkan semangat yang ditunjukkan Pemuda
dan jentera parti, beliau yakin BN akan kembali menguasai kerusi di
wilayah itu.
“Kalau sekarang ini saya lihat semangatnya memang berkobar-kobar,
jadi tak payah kita tanya bila pilihan raya, hari ini pun boleh, besok
boleh, sebulan dan setahun lagi pun boleh… yang penting semangat yang
ada harus dipertahankan sehingga sampai masa yang difikirkan sesuai
untuk pilihan raya diadakan,”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
APA Kata Anda?
Ada berita dan info menarik di tempat anda? Kongsikan di SINI....