UMNO Bahagian Kubang Pasu sedia bekerjasama dengan badan bukan
kerajaan dan agensi-agensi kerajaan dalam menganjurkan pelbagai program
untuk golongan belia bagi memantapkan lagi generasi muda.
Naib ketua UMNO bahagian Zulfitri Yaacob berkata UMNO Kubang Pasu
telah melaksanakan banyak program untuk generasi muda sepanjang tahun
lepas antaranya acara sukan dan mencambah ilmu pengetahuan.
“Kami mahu golongan belia dan remaja aktif dengan aktiviti berfaedah
agar mereka terhindar daripada terbabit dengan gejala tidak sihat
seperti merempit, dadah dan ketagihan air ketum.
“Golongan belia perlu diberi perhatian serius kerana mereka adalah
harapan bangsa untuk terus membina negara mencapai tahap negara maju,”
katanya berucap mewakili ketua UMNO bahagian Datuk Mohd Johari Baharom
merasmikan pertandingan bola sepak 7-sebelah Taman Tunku Sarina di sini,
hari ini.
Pertandingan untuk peringkat umur bawah 15 tahun merebut piala Ahli
Parlimen Kubang Pasu itu menawarkan hadiah wang tunai berjumlah RM2,000
berserta piala.
Ia disertai 36 pasukan.
Beliau berkata pejabat Ahli Parlimen Kubang Pasu akan memberi bantuan
sebanyak RM12,000 untuk membaiki padang bola sepak Taman Tunku Sarina
yang diasas dua tahun lepas.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
APA Kata Anda?
Ada berita dan info menarik di tempat anda? Kongsikan di SINI....