TU DIA!!! KEHEBATAN BELIA DALAM AL-QUR'AN DAN HADIS

FIRMAN ALLAH Yang bermaksud: “Wahai anak-anak Adam! Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada kamu (bahan-bahan untuk) pakaian menutup aurat kamu, dan pakaian perhiasan; dan pakaian yang berupa  takwa itulah yang sebaik-baiknya.  Yang demikian itu adalah dari tanda-tanda (limpah kurnia) Allah (dan rahmat-Nya kepada hamba-hamba-Nya) supaya mereka mengenangnya (dan bersyukur).” (S. Al-A’raaf: 26).

 
Penjelasan dan peringatan Allah SWT ini seharusnya mendorong setiap Muslim untuk mencapai darjat takwa terutama sekali golongan muda yang diistilahkan sebagai belia iaitu kumpulan yang berusia 15 hingga 40 tahun. Ia bersesuaian dengan kedudukan serta peranan mereka sebagai aset atau harta negara yang penting dalam pelbagai aspek pembangunan ummah dan Negara.

Belia yang dianggap sebagai golongan yang bersemangat dan teruja untuk melakukan sesuatu adalah penentu kepada kejayaan serta hala tuju program dan dasar yang direncana oleh pemerintah.

Mari bersama-sama kita renungkan sepotong hadis Rasulullah S.A.W sebagai penyuntik motivasi:

عن أبي هريرة رضي الله عنه عن النبي صلى الله عليه وسلم قال : ” سبعة يظلهم الله في ظله يوم لا ظل إلا ظله ، إمام عادل وشاب نشأ في عبادة الله ، ورجل قلبه معلق بالمساجد ، ورجلان تحابا في الله اجتمعا عليه وتفرقا عليه ، ورجل دعته امرأة ذات منصب وجمال فقال إني أخاف الله . ورجل تصدق بصدقة فأخفاها حتى لا تعلم شماله ما تنفق يمينه ، ورجل ذكر الله خالياً ففاضت عيناه ” متفق عليه


“Ada tujuh macam orang yang akan dinaungi oleh Allah dalam naunganNya pada hari yang tiada naungan melainkan naunganNya sendiri (yakni hari kiamat), iaitu :

1) Imam (pemimpin) yang adil.
2) Pemuda yang membesar (sejak kecilnya) dalam beribadat kepada Allah.
3) Orang yang hatinya tergantung (sangat memerhatikan) kepada masjid-masjid.
4) Dua orang yang saling cinta-mencintai kerana Allah, keduanya berkumpul atas keadaan sedemikian itu dan keduanya berpisah atas keadaan sedemikian itu pula.
5) Orang lelaki yang diajak oleh wanita yang mempunyai kedudukan dan berparas cantik, lalu ia berkata: “Sesungguhnya saya ini takut kepada Allah,” (demikian pula sebaliknya, iaitu wanita yang diajak lelaki lalu bersikap seperti di atas)
6) Orang yang bersedekah dengan suatu sedekah lalu disembunyikan sedekahnya itu sehingga seolah-olah tangan kirinya tidak tahu apa yang dinafkahkan oleh tangan kanannya.
7) Orang yang mengingat pada Allah di waktu keadaan sunyi lalu melelehlah airmata dari kedua matanya.” (Muttafaq ‘alaih)

Kehebatan dan sumbangan golongan belia juga tercatat di dalam al-Quran.  Allah SWT merakamkannya melalui kisah Ashabul Kahfi yang berani melawan raja yang zalim demi mempertahankan akidah. Firman Allah yang bermaksud :

"Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad) perihal mereka dengan benar; sesungguhnya mereka itu orang muda  yang beriman kepada Tuhan mereka, dan Kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk. Dan Kami kuatkan hati mereka (dengan kesabaran dan keberanian), semasa mereka bangun (menegaskan tauhid) lalu berkata: Tuhan kami ialah Tuhan yang menciptakan dan mentadbirkan langit dan bumi; kami tidak sekali-kali akan menyembah Tuhan yang lain daripada-Nya; jika kami menyembah yang lainnya bermakna kami memperkatakan dan mengakui sesuatu yang jauh dari kebenaran.” (S. Al-Kahfi: 13-14)

Malah, kehebatan oramg muda turut menyerlah semasa Nabi SAW menyiarkan Islam.  Orang mudalah yang mula-mula beriman dan menyokong baginda. Generasi muda seperti Saidina Ali, Saidina Uthman Ibni Affan, Abdul Rahman bin Auf, Ibnu Zubair, Ibnu Abbas dan lain-lain lagi menjadi penggerak kepada perubahan masyarakat bermula di Makkah sehingga berkembang ke Madinah.

Mereka yang juga merupakan sahabat Rasulullah SAW berjuang dan berjihad menegakkan daulah islamiah dengan penuh istiqamah tanpa rasa jemu dan putus asa.
 
Di samping tokoh-tokoh terbilang berkenaan, sejarah juga turut mencatatkan kehebatan dan ketangkasan Usamah bin Ziad yang berusia 18 tahun dalam memimpin bala tentera menyerang kerajaan Rom.  Manakala Muhammad al-Fateh yang berusia 21 tahun pula membuka Kota Istanbul (Constantinople) di Turki.

Dr Yusuf Qaradawi menyatakan: “Bila mana kita hendak melihat bentuk negara pada masa depan, lihatlah generasi belia pada hari ini, kiranya golongan belia pada hari ini adalah dari kalangan yang berakhlak dan berhemah tinggi, tentunya negara kita akan datang adalah sebuah negara yang aman sejahtera.”
 
Sehubungan itu, golongan belia hari ini hendaklah mengelakkan diri daripada terbabit dengan sebarang kegiatan atau kelakuan yang bertentangan dengan ajaran agama dan norma-norma hidup beragama, bermasyarakat dan bernegara.  

Sebaliknya, para belia perlu memainkan peranan proaktif untuk menjadi penggerak nadi bangsa sebagai khalifah di bumi, membina dan membangun jati diri dari segi rohani dan jasmani di samping berperanan secara bijaksana mendukung misi mengajak kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran. Peranan dan tanggungjawab ini selaras dengan tuntutan Allah SWT melalui firman-Nya yang bermaksud :


“Dan perintahkanlah keluarga kamu serta umatmu mengerjakan sembahyang, dan hendaklah engkau tekun bersabar menunaikannya.  Kami tidak meminta rezeki kepadamu, (bahkan) Kamilah yang memberi rezeki kepadamu.  Dan (ingatlah) kesudahan yang baik adalah bagi orang yang bertakwa.” (S. Thaahaa: 132).

Ayuh! Bersama-sama kita berusaha untuk merubah keadaan ini dan mengembalikan keagungan Islam pada masa dahulu yang dipacu oleh remaja-remaja seperti Ali b Abi Talib, Zaid b Tsabit, Abdullah b Umar, Mus’ab b Umair, Abdullah b  Zubair, dan ramai lagi generasi pewira Islam yang terdiri daripada golongan muda.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

APA Kata Anda?
Ada berita dan info menarik di tempat anda? Kongsikan di SINI....