Selama puluhan tahun, Tun Dr. Mahathir Mohamad serta Lim Kit Siang bertikam lidah mengenai siapa yang lebih perkauman dan mengharapkan penyokong masing-masing memberi kesetiaan tanpa tandingan.
Bagaimanapun, menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), segala pendirian diterbalikkan dan Presiden PPBM itu menjadikan Penasihat DAP tersebut sebagai ‘teman baharu’ semata-mata kerana hendak menumbangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Mungkin dalam hal begini, lagu Hati Ku Luka Lagi daripada Black Dog Bone wajar ditujukan kepada para penyokong kedua-dua pemimpin veteran itu kerana kepercayaan mereka selama ini telah dikhianati.
Bendahari Agung Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Muhamad Ridhwan Muhamad Rosli berkata, kedua-dua Dr. Mahathir serta Kit Siang langsung tidak memperdulikan hati dan perasaan penyokong mereka apabila secara tiba-tiba menganggap segala persengketaan dapat dilupakan.
“Tun Dr. Mahathir pernah menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun dan Kit Siang juga sudah puluhan tahun menjadi Ahli Parlimen, jadi dalam pertembungan kedua-dua individu ini sudah banyak penyokong mereka yang luka kerana mempertahankan pemimpin mereka.
“Kita kena ingat, walaupun luka itu sudah sembuh, kesan parut itu masih ada lagi, apa yang dilakukan Dr. Mahathir serta Kit Siang adalah tindakan yang mementingkan diri sendiri dan mengkhianati kepercayaan para penyokong mereka selama ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Sementara itu, jelas Muhamad Ridhwan, beliau berpandangan kerjasama parti-parti dalam Pakatan Harapan adalah amat rapuh dan hanya ditunjangi oleh parti DAP yang memperjuangkan fahaman sempit Malaysian Malaysia.
“Pakatan Harapan hanya mahu mengalahkan Barisan Nasional (BN), mereka tidak memperdulikan soal rakyat mahupun pembinaan negara bangsa, sekarang ini perkara-perkara kecil pun mereka sukar dapat titik persetujuan,” katanya. - UTUSAN ONLINE
Seorang negarawan seperti Tun Dr. Mahathir Mohamad harusnya bijak dalam menjaga maruah serta nama baik, bukan membenarkan reputasi itu dipijak-pijak sesuka hati walaupun oleh sekutu dan pengikut sendiri.
DI MANA MARUAH MAHATHIR?
Apa guna sumbangan Dr. Mahathir selama 22 tahun memimpin kerajaan dan negara dahulu jika akhirnya tergadai begitu sahaja akibat bersekongkol dengan DAP hari ini.
Presiden Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Datuk Azwanddin Hamzah berkata, agak menyedihkan apabila Dr. Mahathir sanggup diperlakukan sedemikian rupa semata-mata ingin meneruskan cita-cita peribadi.
"Biarpun maruahnya dipijak-pihak dan Dr. Mahathir sendiri seperti terpaksa tunduk mengikut kemahuan DAP, itu tidak lagi penting bagi beliau.
"Fokus utama beliau adalah menjatuhkan kerajaan sedia ada dan pada masa untuk kepentingan politik anak dan keluarganya,” katanya ketika dihubungi Utusan Online, di sini hari ini.
Pada April tahun lalu, bekas Ketua DAP Bahagian Teluk Intan, Hew Kuan Yau memberitahu kepada penyokong-penyokong DAP bahawa Dr. Mahathir merupakan individu yang jahat seperti watak jahat Cina, Shek Kin selain terlibat dalam banyak rasuah.
Kuan Yau yang dikenali sebagai Superman turut menyatakan dalam ceramah perhimpunan haram Bersih 5 itu bahawa Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) ini adalah 'permainan' terakhir Dr. Mahathir dan sedang dipergunakan oleh Penasihat DAP, Lim Kit Siang.
Dalam perkembangan sama, Azwanddin turut menyifatkan Dr. Mahathir ibarat sebuah kereta lembu yang digunakan oleh pemimpin-pemimpin DAP.
"Dahulu Dr. Mahathir tegas menyatakan andai DAP kuasai negara, pasti orang Melayu akan dipijak-pijak dan kini maruahnya pula yang dipijak oleh pemimpin parti cauvinis itu," katanya.
Kuan Yau yang terbabit dalam kontroversi video 'Melayu skru Melayu' turut dilaporkan akhbar Sunday Star kelmarin dengan mengajak seluruh penyokong DAP 'menunggang' Dr. Mahathir bagi menjatuhkan kepemimpinan UMNO dan Datuk Seri Najib Tun Razak pada PRU-14.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
APA Kata Anda?
Ada berita dan info menarik di tempat anda? Kongsikan di SINI....