KECEWA DAN DIKHIANATI : Yusuf Azmi Tinggalkan PPIM


Pengarah Unit Tindakan Khas (UTK) Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Yusof Azmi secara rasmi meninggalkan PPIM apabila mengambil keputusan mengundurkan diri daripada perjuangan bersama NGO itu setelah lapan tahun berkhidmat.

Pengumuman itu dibuat oleh Yusof sendiri disaksikan Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nazim Johan menerusi satu sidang media khas berlangsung hari ini.

Yusof dalam sidang media berkenaan melahirkan rasa kecewa dan terkilan terhadap insiden yang berlaku baru-baru ini sehingga mencemarkan nama baik PPIM.

Menurutnya, dia rasa dikhianati kerana difitnah oleh pihak yang selama ini diberi pertolongan dengan ikhlas.

“Saya buat keputusan untuk tidak lagi bersama PPIM. Saya hanya akan memenuhi jemputan untuk ceramah dan sebagainya tetapi tidak untuk sebarang kes-kes aduan seperti yang saya lakukan selama ini. Saya tidak mampu untuk teruskan perjuangan dengan PPIM adalah kerana pengkhianatan yang berlaku.

“Saya mahu teruskan kehidupan seperti biasa fokus dengan perniagaan, serta meluangkan masa bersama isteri dan anak-anak. Saya sudah ada perancangan untuk beri makan kucing. Bina penempatan untuk bela nasib kucing-kucing terbiar. Sekurang-kurangnya saya tahu kucing-kucing ini tidak akan gigit saya balik,” katanya.

Yusof turut menafikan mendapat tekanan politik yang menyebabkan dia membuat keputusan untuk mengundur diri.

Sebaliknya ia lebih kepada rasa kecewa terhadap pihak yang selama ini dianggap seperti keluarga sendiri.

“Saya beri pinjam pada pengadu saya ingat sudah lebih pada juta dan tidak pernah kita minta balik bagi pinjam RM3,000, RM5,000, RM10,000 bila kira-kira balik dah juta. Kita tidak harap apa-apapun tapi janganlah gigit dan bunuh saya balik,” katanya.

Mengulas lanjut, Yusof berkata, dia sudah memaafkan empat individu yang sebelum ini mendakwa berlaku penyelewengan wang ketika pengurusan kes-kes ah long yang dikendalikannya.

“Saya berpegang begini, walaupun dalam keadaan kita teraniaya, jangan kita berlebih-lebih. Mereka bersalah, tetapi takkan lah saya nak buat sehingga mereka dipenjarakan.. saya bukan jenis manusia begitu. Saya sudah maafkan mereka. Mereka juga sudah hentikan perkara-perkara ini,” katanya.

Sementara itu, Nazim berkata, keputusan yang dibuat Yusof telah dibincangkan dan PPIM sedia menerima keputusan itu bagi menghormati permintaan Yusof.

“Yusof seorang budak yang degil. Macam mana dia degil untuk bantu orang lain walaupun dia sendiri terpaksa susah. Saya sudah pujuk pun dia tidak mahu. Namun PPIM sentiasa terbuka menerima Yusof sekiranya dia berubah fikiran nanti,” katanya

SUMBER

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

APA Kata Anda?
Ada berita dan info menarik di tempat anda? Kongsikan di SINI....