UMUR PERSARAAN : Mencari Rasional CUEPACS Di Sebalik Umur 62 Tahun


TIDAK memadaikah umur persaraan penjawat awam kini pada 60 tahun? Haruskah ia dilanjutkan lagi sehingga kepada 62 tahun?

Tetapi inilah yang sedang diusahakan oleh Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs).

Cadangan ini sebenarnya telah dikemukakan pada 2015 bertujuan melanjutkan had umur persaraan daripada 60 kepada 62 tahun atas alasan ia perlu dalam situasi ekonomi negara yang tidak menentu.

Cuepacs dijadual bertemu dan berbincang dengan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa berhubung perkara ini, sebelum sebarang keputusan muktamad diambil.

Namun isunya, wajarkah cadangan Cuepacs ini dilayan? Apakah Cuepacs belum puas hati dengan hakikat bahawa sebelum ini sudah tiga kali had umur persaraan penjawat awam dilanjutkan. Pada 2001 umur persaraan penjawat awam dilanjutkan daripada 55 tahun kepada 56 tahun.

Tujuh tahun kemudian pada 2008, had umur ini dilanjutkan daripada 56 tahun kepada 58 tahun. Empat tahun kemudian pada 2012 sekali lagi had umur persaraan ini dilanjutkan daripada 58 tahun kepada 60 tahun.

Kini Cuepacs mahu had umur ini dilanjutkan kepada 62 tahun. Adakah wajar untuk terus meminta kerajaan melanjutkan had umur bersara hingga seolah-olah tiada nokhtah?

Cuepacs seharusnya tidak hanya memikir untuk melanjutkan umur bersara penjawat awam, tetapi mesti juga memikirkan kesan rantaian atau chain reactions akibat permintaan mereka, khususnya daripada aspek pasaran tenaga kerja.

Melanjutkan umur persaraan bermakna peluang-peluang pekerjaan baharu dalam sektor awam tertutup atau tertangguh. Ini kerana tanpa persaraan, pengambilan pekerja baharu juga terbeku sedangkan peluang-peluang pekerjaan baharu pula terhad.

Selain itu peluang kenaikan pangkat di kalangan penjawat awam itu sendiri akan tertangguh. Ini kerana selagi penjawat di peringkat atasan belum bersara, mereka yang di lapisan bawah juga sukar untuk naik pangkat.

Cuepacs harus sedar ini bukan era tahun 60-an atau awal 70-an atau sebelumnya di mana tawaran kerja lebih banyak daripada bakal penyandang. Ketika itu ramai pelajar universiti sudah ditawarkan kerja sebelum pun menamatkan pengajian. Lulusan universiti, kolej atau sekolah menengah memang mudah mendapat kerja.

Tapi senario kini sudah jauh berlainan. Jumlah pencari pekerjaan jauh lebih ramai daripada tawaran kerja. Setiap tahun universiti awam dan swasta melahirkan ribuan graduan dalam pelbagai bidang dan jumlah ini terus bertambah dari tahun ke tahun.

Adalah lumrah kini graduan-graduan dalam pelbagai disiplin masih menganggur selepas beberapa tahun menamatkan pengajian. Hanya segelintir yang bernasib baik mendapat kerja dalam tempoh singkat selepas meninggalkan menara gading.

Apakah makna semua ini? Jawapannya mudah iaitu permintaan jauh melebihi tawaran. Ruang pekerjaan khususnya dalam sektor awam kian sendat sedangkan ramai yang ingin memasukinya. Pastinya sukar untuk menembusi ruang sempit ini.

Justeru jika Cuepacs memberi alasan pelanjutan had umur perasaran wajar atas kedudukan ekonomi yang tidak menentu, sedarilah realiti ini, iaitu ramai yang sedang mencari kerja.

Cuepacs jangan hanya memikirkan ‘ekonomi’ mereka tetapi fikirkan juga ‘ekonomi’ yang masih teraba-raba mencari kerja ini.

Bayangkanlah betapa semakin parahnya keadaan ini jika Cuepacs asyik mahu terus meminta had persaraan penjawat awam dilanjutkan. Ramai tenaga kerja baharu tidak dapat memasuki pasaran dan keadaan ini akan terus berganda setiap tahun.

Fikirkan juga faktor daya kerja dan daya saing pekerja jika had umur persaraan dilanjutkan. Pada usia 62 tahun misalnya, adakah mereka ini masih berdaya maju dan mampu meningkatkan produktiviti jabatan di mana mereka bekerja?

Mungkin ada antara mereka yang masih bertenaga. Tetapi dibimbangi lebih ramai yang sekadar menjadi penumpang atau ‘kayu mati’ yang sudah tidak memberi banyak sumbangan dan tidak produktif. Mereka sekadar datang bekerja dan menerima gaji. Apakah kita mahu penjawat awam seperti ini?

Adalah lebih baik mereka yang telah mencapai taraf warga emas ini memberi laluan kepada tenaga kerja baharu yang lebih segar, aktif dan produktif. Tetapi berapa ramaikah yang sedia berbuat demikian kerana mereka ada lesen untuk bekerja sehingga umur 62 tahun?

Justeru Cuepacs perlu bersikap rasional ketika membuat tuntutan. Jangan sampai menutup peluang mereka yang sedang berbaris menunggu untuk berkhidmat dalam sektor awam. Ingatlah, mereka ini mungkin anak, cucu atau saudara mara penjawat awam itu sendiri.

Peningkatan kerjaya adalah impian setiap pekerja. Tetapi peluang mereka untuk meningkat juga terhad jika orang atasan masih enak duduk di kerusi masing-masing. Orang bawahan hanya boleh mengintai mereka yang di atas tetapi tidak dapat sampai ke tempat mereka.

Hakikat ini mesti disedari oleh Cuepacs. Jangan diabaikan peluang orang bawah naik pangkat akibat umur persaraan dilanjutkan. Dibimbangi ini boleh menjejaskan semangat kerja yang selanjutnya boleh membantutkan produktiviti mereka.

Sehubungan itu kerajaan seharusnya membuat pertimbangan bijak terhadap permohonan Cuepacs ini. Had umur persaraan pada usia 60 tahun kini sudah mencukupi. Tidak perlu hendak dilanjutkan kepada 62 tahun pula.

Dibimbangi jika permintaan ini dilayan, pada tahun-tahun mendatang akan ada pula permintaan dinaikkan kepada umur persaraan kepada 64 tahun misalnya. Di manakah nokhtahnya?

3 ulasan:

  1. KESIAN KEPADA ANAK-ANAK KITA SEMUA YG TELAH BERTUNGKUS-LUMUS BELAJAR DI PUSAT PENGGAJIAN TINGGI ....DAH KELUAR TAK ADA KERJA.....

    KITA YANG DAH BERUMUR NIE DAH DIBERIKAN UMUR PENCEN 60, DAH SEPATUTNYA BEREHAT DAN MEMIKIRKAN DUNIA YANG SATU LAGI UTK MASA HADAPAN PULA....

    BalasPadam
    Balasan
    1. Cuepacs sepatutnya membuat tuntutan naik gaji bukanya naikkan umur persaraan 60 kepada 62 ke ... Presiden Cuepacs lebih baik letak jawatan..

      Padam

APA Kata Anda?
Ada berita dan info menarik di tempat anda? Kongsikan di SINI....