DAESH : Lagi Rakyat Malaysia Terkorban! Berbaloikah?


Dua rakyat Malaysia yang dipercayai menganggotai kumpulan militan Daesh dikatakan terbunuh dalam pertempuran dengan askar Filipina di wilayah selatan Mindanao malam tadi.
Menurut sumber, Abduraman Asmawi dari Kelantan dan Dr. Kamsa Yahya yang berasal dari Kedah merupakan antara 13 anggota militan tersebut yang terbunuh.

Sumber tersebut berkata, militan dari Indonesia, Sheikh Ayman Marjuki dan Sheikh Ahmad Belfaki yang berasal dari Arab Saudi dipercayai turut terkorban dalam pertempuran di pekan Marawi yang terletak di tengah-tengah Mindanao.

Sementara itu, nasib bekas pensyarah Universiti Malaya, Dr. Mahmud Ahmad yang bekerja dengan pemimpin Abu Sayyaf, Isninon Hapilon dan dipercayai turut berada di wilayah berkenaan masih belum diketahui.

Operasi askar Filipina di selatan negara itu semakin dipergiat selepas Presidennya, Rodrigo Duterter mengisytiharkan pemerintahan tentera di wilayah-wilayah di situ sebagai usaha menghapuskan militan Abu Sayyaf dan Daesh. - UTUSAN ONLINE

Dalam perkembangan lain, Militan Daesh mengaku bertanggungjawab dalam insiden serangan di perhentian bas Jakarta, yang mengorbankan tiga anggota polis dan mencederakan 12 yang lain. 

"Militan Daesh bertanggungjawab menyerang perhimpunan polis Indonesia di Jakarta itu," kata agensi berita rasmi kumpulan itu, Amaq. Ia adalah serangan paling merbahaya di Indonesia sejak Januari 2016, yang menyebabkan lapan orang terbunuh, empat daripadanya penyerang. - REUTERS

Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak berkata, serangan keganasan terbaharu di Jakarta kelmarin selepas kejadian yang berlaku di Manchester membuktikan puak-puak pengganas akan melakukan tindakan tidak me­ngira sempadan, bangsa dan kepercayaan masyarakat.

Sambil mengutuk tindakan keganasan tersebut, Perdana Menteri berkata, setiap kekejaman yang dilakukan seharusnya memperkuatkan tekad semua pihak untuk menangani ancaman keganasan.

Beliau menjelaskan, walaupun pengganas cuba untuk menakut-nakutkan melalui tindakan kejamnya, kita tidak perlu gentar dengan mereka.

“Saya amat jijik dengan kejadian serangan yang berlaku di Jakarta semalam. Rakyat Malaysia bersatu bersama rakyat Indonesia ketika ini. Ingatan dan doa kami bersama keluarga yang terjejas.

“Sudah tiba masanya untuk kita bersatu walaupun tindakan keganasan itu bertujuan meme­cahbelahkan kita,” katanya dalam Facebook beliau hari ini.

Sekurang-kurangnya dua orang terbunuh dalam letupan bom ke atas terminal bas di Kampung Melayu, Jakarta Timur de­ngan orang awam turut dilapor tercedera dalam kejadian yang menyaksikan dua letupan berlaku dalam tempoh lima minit.

Letupan dipercayai dilakukan pengebom bunuh diri kira-kira pukul 9 malam waktu tempatan (10 malam waktu Malaysia).

Dua hari lalu, sekurang-kurangnya 19 terbunuh dan 50 yang lain cedera dalam serangan bom di Manchester Arena ketika berlangsungnya konsert penya­nyi, Ariana Grande.

Sementara itu menerusi Twitter, Perdana Menteri berkata, Malaysia mengutuk serangan yang berlaku di bandar Marawi, selatan Filipina oleh kumpulan militan yang dikaitkan dengan Daesh sehingga mengorbankan sekurang-kurangnya 21 orang termasuk ketua polis tempatan yang telah dipenggal lehernya.

Menurutnya, negara akan memberi sokongan penuh kepada Filipina untuk berdepan situasi genting itu dan berharap serangan yang berlaku tidak menjejaskan proses keamanan di Mindanao yang masih berlangsung.

“Malaysia mengutuk serangan di bandar Marawi oleh kumpulan dikaitkan dengan Daesh yang menyebabkan kematian pasukan keselamatan dan orang awam yang terpaksa dipindahkan.

“Negara mempunyai keyakinan penuh terhadap FIlipina dan akan menawarkan sokongan penuh dalam hal ini. Krisis yang berlaku ini diharap tidak menjejaskan proses keamanan di Min­danao,” katanya.

1 ulasan:

  1. Salah faham ttg jihad dn salah tfsir trhadap bentuk perjuangan yg dituntut dlm Islam.

    BalasPadam

APA Kata Anda?
Ada berita dan info menarik di tempat anda? Kongsikan di SINI....