PRK Tanjong Datu : Menanti Ketetapan SPR, Pengganti "Tok Nan?"


Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas pada Khamis ini berhubung Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Datu di Sarawak, kata Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah.
Pengerusinya berkata, SPR menerima pemakluman rasmi daripada Speaker DUN Sarawak, Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar berhubung kekosongan kerusi DUN Tanjong Datu itu hari ini, berikutan kematian penyandangnya yang juga Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem, pada 11 Januari lepas.

Beliau berkata, mesyuarat itu akan membincangkan perkara berkaitan urusan PRK DUN Tanjong Datu, termasuk tarikh penting seperti hari penamaan calon, pengundian awal, pengundian serta daftar pemilih yang akan digunakan dalam PRK itu.

“Mesyuarat itu juga akan membincangkan persiapan lain yang diperlukan bagi melaksanakan pilihan raya itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mesyuarat khas itu akan diadakan di Ibu Pejabat SPR, Menara SPR, bermula 9.30 pagi.

Adenan meninggal dunia di Pusat Jantung Sarawak di Kota Samarahan, akibat komplikasi jantung pada usia 72 tahun, Rabu lalu.

Pada Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-11, Mei tahun lalu, Adenan yang mendapat 6,360 undi mengalahkan calon PKR, Jazolkipli Numan yang meraih 468 undi, dengan majoriti 5,892 undi. Calon PKR itu hilang deposit.

Adenan adalah penyandang kerusi Tanjong Datu sejak PRN 2006.

Siapa yang bakal "mewarisi" Tok Nan?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

APA Kata Anda?
Ada berita dan info menarik di tempat anda? Kongsikan di SINI....