FITNAH : Dalang Lagakan Najib Dengan Ketua Menteri Sarawak Diburu!!!


Polis petang semalam menerima satu laporan berhubung posting dalam media sosial sebelum ini yang cuba melaga-lagakan Ketua Menteri, Datuk Amar Abang Johari Abang Openg dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Datuk Dev Kumar, berkata aduan itu diterima pada jam 3 petang semalam di Balai Polis Sentral di sini dan polis memulakan siasatan mengesan individu terbabit yang turut menyamar sebagai Abang Johari.


Katanya, polis menyiasat kes itu mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Satu posting media sosial muncul sebelum ini kononnya Abang Johari memberi “amaran” kepada Perdana Menteri.

Pejabat Ketua Menteri, dalam reaksi segera Selasa lalu menafikan Abang Johari pernah mengeluarkan kenyataan seperti yang didakwa.

Dev berkata usaha sedang dilakukan untuk mengesan penulis posting terbabit yang mencetuskan rasa kurang senang banyak pihak.

Dalam kenyataan Selasa lalu, Pejabat Ketua Menteri menafikan bahawa Ketua Menteri pernah membuat apa-apa pernyataan dan mengikut apa-apa cara, termasuk pada semua isu-isu lain yang dibangkitkan di dalamnya, dan menganggap ia satu percubaan yang tidak bertanggungjawab untuk memburuk-burukkan nama baik Ketua Menteri.

“Ia juga dilakukan pihak tidak bertanggungjawab bertujuan mewujudkan ketegangan hubungan baik antara negeri dengan Kerajaan Persekutuan,” kata kenyataan itu. – BH Online


KENYATAAN PEJABAT KETUA MENTERI SARAWAK

Pejabat Ketua Menteri Sarawak hari ini “menafikan” bahawa Ketua Menteri, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg pernah membuat sebarang kenyataan, kononnya memberi amaran kepada pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak agar tidak memberi alasan untuk melambatkan penurunan kuasa ke Sarawak mengikut kuasa yang diberikan kepada Negeri dalam Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian Malaysia 1963.

Jelas kenyataan yang dikeluarkan oleh pejabat tersebut petang tadi, Abang Johari tidak pernah membuat sebarang penyataan dalam apa cara pun dan ketika pun berhubung isu-isu yang dibangkitkan.

“Posting itu sebaliknya dianggap sebagai satu percubaan yang tidak bertanggungjawab, yang bertujuan untuk memburuk-burukkan nama baik Ketua Menteri.

“Ia juga sebagai cubaan untuk mencetuskan ketegangan dalam hubungan baik negeri dan Kerajaan Persekutuan, dengan niat yang hanya diketahui oleh penulisnya.”

Dalam “berita palsu” yang ditularkan, Abang Johari dikatakan mahu menggunakan kapasitinya sebagai Ketua Menteri Kerajaan Sarawak yang diistilah setaraf kuasa Perdana Menteri dalam kepimpinan Kerajaan Persekutuan, memberi kata dua kepada Kerajaan Pusat agar tidak berdolak dalih dalam pelaksanaan perjanjian Malaysia 1963 (MA63).


Jika enggan menghormati segala yang telah disepakati dan telah termeterai dalam dokumen itu, Abang Johari didakwa berkata: “Saya tiada lagi pilihan lain selain mahu bubarkan parti Barisan Nasional di bumi Sarawak dan seterusnya akan menubuhkan kerajaan negara Sarawak yang baharu, dari kalangan parti-parti politik tempatan Sarawak sendiri.

Para pemimpin ini dakwanya lagi, akan memimpin serta bersama-sama mengemudi Kerajaan Sarawak dalam kabinetnya tanpa ada campur tangan kuasa kerajaan dari luar Sarawak dan ia juga untuk kepimpinan kerajaan generasi masa datang Sarawak.

Fitnah itu mendakwa lagi, Ketua Menteri keenam itu akan menghormati jasa pengasas serta penubuh Sarawak iaitu Sir Rajah James Brooke dan akan melakukan sesuatu berhubung banyak kesalahan fakta sejarah sebenar Sarawak yang telah diputar belit.

“Malah saya lihat semakin menjadi-jadi dilakukan oleh pihak yang berkepentingan politik di negara ini sehingga sanggup untuk memperbodoh anak bangsa Sarawak dengan momokan fakta sejarah putar alam,” tulisnya lagi.

Ini merupakan fitnah pertama yang dikaitkan dengan Abang Johari sebagai Ketua Menteri Sarawak.

Abang Johari mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri pada 13 Januari lalu.

2 ulasan:

  1. Takut dgn bayang2 sendiri.

    BalasPadam
  2. Lepas baca surat tu, memang takda siapa akan percaya, surat itu datang dari Abang Haji Johari. Ayat-ayatnya semua tergantung, yakini ayat yang tidak lengkap walaupun diletak titik, Jelas, surat datang dari orang low class macam Jamal Jamban.

    BalasPadam

APA Kata Anda?
Ada berita dan info menarik di tempat anda? Kongsikan di SINI....