KUALA LUMPUR: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) bersedia
memasarkan minyak masak kepada pengguna melalui rangkaian peruncitannya
di seluruh negara sekiranya masalah kekurangan bekalan bahan itu masih
berterusan.
Pengerusinya, Tan Sri Badruddin Amiruldin berkata ini bagi memastikan
rakyat termasuk peniaga tidak mempunyai masalah mendapatkan bekalan
minyak masak.
“Dahulu ketika terjadi krisis bekalan gula, kerajaan pernah salurkan
stok gula untuk kita jual di pelbagai rangkaian niaga kita termasuk di
pasar tani dan sebagainya.
“Jika sekarang masalah bekalan minyak masak dalam pasaran berterusan,
Fama bersedia memasarkan dan mengedarkan minyak masak jika kerajaan rasa
kita patut bertindak demikian,” katanya ketika menutup program ‘MyBest
Buy’ di Dewan Undangan Negeri Kuang, dekat sini, Ahad.
Beliau berkata Fama Negeri Melaka telah mula memasarkan minyak masak di
beberapa pasar tani negeri itu semalam dan sambutan rakyat amat
menggalakkan.
Badruddin berkata FAMA mampu menjual minyak masak dengan harga lebih
rendah daripada harga pasaran kerana agensi itu mendapat harga terus
dari kilang.
Beberapa lokasi seluruh negara dilaporkan mengalami kekurangan minyak masak dipercayai disorok setelah kerajaan mengumumkan penstrukturan semula Skim Penstabilan Harga Minyak Masak mulai 1 November lalu.
Sementara itu, Badruddin berkata sehingga 31 Oktober lalu Fama telah membuka 81 lokasi program ‘MyBest Buy’ di seluruh negara termasuk 20 di Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Ia merupakan platform memasarkan pelbagai barangan keperluan segar pada harga lima hingga 20 peratus lebih rendah daripada harga pasaran bagi membantu penduduk menangani kenaikan kos sara hidup.– Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
APA Kata Anda?
Ada berita dan info menarik di tempat anda? Kongsikan di SINI....